Sunday, July 29, 2007

 

MENTALITI SIHAT

Pada hujnga mnggu ini aku berada di Taman Rekreasi Gunung Lambak, Kluang, mengelolakan kursus kepimpinan pelajar, yang dihadiri 44 orang pemimpin pelajar Tingkatan Empat sekolah-sekolah menengah daerah Kluang.

Taman Rekreasi Gunung Lambak merupakan pusat peranginan dan rekreasi terbuka di daerah Kluang yang dilengkapi dengan kolam renang, restoran, dewan makan, bilik seminar, dormatari dan beberapa buah chalet. Diliputi oleh rimbunan pokok kayu menghijau membentuk sebuah hutan kecil menjadikan keadaan sekeliling aman dan nyaman. Sunyi dari kebisingan dan heruk pekuk bandar walaupun kedudukannya tidaklah jauh dari bandar Kluang. Cuma sekali sekala kesunyian ini pada waktu petang dihingarkan oleh suara beberapa ekor monyet yang bergayutan di dahan-dahan keliling chalet, dan kadang-kadang mengintai-ngintai kalau-kalau ada makanan yang boleh dijadikan habuan perutnya. Agaknya di hutan pun sudah tidak ada buah atau bahan-bahan makanan untuk monyet.

Keadaan keliling memang cukup tenang. Kesunyian sekitar turut diriuhkan oleh bunyi serangga yang mengasyikkan telinga mendengarnya. Cuma pada awal pagi keriuhan itu mula menjadi semakin jelas dan menyeluruh.

Sewaktu kami yang berkursus sibuk ke surau untuk solat Subuh, laluan ke puncak Gunung Lambak di hadapan surau itu sudah riuh oleh bunyi tapak kaki sekali sekala diselangi suara orang berbual sesama sendiri. Bunyi itu datangnya dari kumpulan orang-orang yang berjalan atau berjoging turun naik gunung ini. Aktiviti ini berterusan hingga kira-kira jam 9.30 pagi, dan kemudian bermula kembali pada jam 4.30 petang hingga jam 7.00 malam.

Aku perhatikan ada pelbagai aktiviti yang mereka lakukan. Ramai yang berjalan atau berjoging secara biasa, tetapi ada juga yang berjalan secara amengundur. Entah dari mana mereka belajaar teknik pergerakan fizikal serupa itu, aku tidak tahu. Ada jua yang berjalan dengan menggayungkan badan ke kiri dan ke kanan sambil kedua-dua belah tangannya memegang dua ketul batu bata. Tidak ketinggalan juga yang membuat tai chi sama ada secara persendirian atau berkumulan.

Aku perhatikan juga, hampir 95% yang menjalankan aktiviti ini terdiri dari satu kaum, iaitu kaum Cina. Yang Melayu adalah seorang dua di celah-celah kaum Cina yang banyak turun naik bukit itu. Sepanjang aku di situ, aku tidak pula melihat adanya kaum India.

Aku terus perhatikan bahawa kaum Cina yang berjalan dan berjoging itu merentasi pelbagai peringkat umur, bermula dari yang baru belajar berjalan hinggalah warga emas yang sudah menghadapi masalah untuk berjalan dengan selesa.

Aku membuat kesimpulan bahawa orang Cina sesungguhnya bukan sekadar komited dan bersungguh-sungguh dalam bidang ekonomi, tetapi juga bersedia untuk memelihara kesihatan diri dan kemantapan fizikal untuk terus sihat dan dilihat sihat.

Ke manakah mentaliti orang-orang Melayu tentang dirinya? Tentang kesihatannya?

Thursday, July 26, 2007

 

KANDAS DI TANDAS

Kebelakangan ini aku sering berulang alik dari Johor Bahru ke Mersing kerana urusan program khatan beramai-ramai yang akan diadakan di Endau pada 18 - 21 Ogos akan datang, kelolaan bersama IKLAS dan Persatuan Perubatan Islam Malaysia (Russia Students' Chapter). Program ini dinamakan Sunathon 2007.

Biasanya dalam perjalanan itu aku berhenti di Rehat dan Rawat Jamaluang untuk membasahkan tekak dan menyenangkan diri. kadang-kadang dalam perjalanan pergi, kadang-kadang sewaktu pulang, dan kadang-kadang kedua-dua sewaktu pergi dan kembali. Dua tiga kali berbuat demikian, aku tidak menghadapi apa-apa masalah.

Pada minggu lepas, seperti biasa aku singgah di situ untuk "melawat" tandas dan mengambil wuduk kerana kebetulan waktu itu sudah masuk waktu Maghrib. Sedang aku melangkah ke bilik air, aku mendengar suatu suara dalam gelap, "Encik, kena bayar masuk bilik air."

Aku tidak menghiraukan sangat suara itu. Aku memang tahu bahawa bayaran 20 sen dikenakan untuk masuk ke tandas , kerana ada disediakan mangkok pungutan wang di pintu masuk tandas tersebut dengan kenyataan bayarannya tertampal di dinding. Seperti biasa, aku campakkan wang syiling 20 sen dan terus masuk ke tandas. Aku menghidu bau yang kurang menyenangkan - busuk dan hancing. Biasanya tidak begitu.

Oleh kerana sudah terlalu lama menahan kencing, aku tanpa berlengah memancutkan air kencingku ke mangkuk tandas. Malangnya paipnya tidak keluar air, kecuali ada sebiji beldi yang mengadnungi sedikit air di dalamnya. Air itulah yang aku gunakan untuk membersihkan hadas kecilku.

Lebih malang lagi, apabila aku ingin mengambil air sembahyang di surau brsebelahan, air juga tidak ada. Aku kembali ke sebuah gerai berdekatan dan bertanyakan tempat mengambil wuduk.

"Tak apalah, encik ambil air sembahyang tempat saya ni. " kata seorang perempuan pertengahan umur, yang bekerja gerai itu. Mungkin dia tuan punya gerai tersebut.

"Kenapa?"

"Paip air di surau dah kena potong."

"Kenapa?"

"Inilah masalahnya, encik. Orang yang diamanahkan pungut duit, tak bayar duit air. Bekalan kena potonglah."

"Siapa?"

"Ala, siapa lagi. Orang kitalah. Malas nak cakap."

Dengan hati yang hiba, aku megambil wuduk lalu solat Maghrib. Selepas itu aku duduk makan malam di gerai makcik yang baik hati itu sambil berbual-bual melepaskan lelah dan marah.

Demikianlah kisah bagaimana aku terkandas di tandas. Sebenarnya kisah serupa ini bukanlah kejadian pertama yang kualami di negaraku sendiri. Sudah banyak kali. Kebanyakan disebabkan oleh tandas yang tidak terurus dan kotor dengan bau yang amat tidak menyenangkan hidung. Di tandas awam, di restoran, di kios petrol, di sekolah, malah di masjid dan di surau, kebanyakan tandas bagaikan tidak terurus. Rata-rata kotor dan berbau busuk. Mengapakah begitu?

Berlainan dengan di luar negara, terutama di Canada, Jepun, Singapura dan Amerika Syarikat yang pernah aku lawati. Aku pernah tinggal setahun setengah di Amerika Syarikat bersama-sama keluarga kerana belajar. Dan tandas awam di sana cukup bersih dan kemas, sehinggakan kalau kita hendak sembahyang di dalam tandas, kita semacam tidak merasa ragu-ragu terhadap kebersihannya. Begitu sekali halnya. Sedap mata memandang. Selesa hidung menghidu. Tenang hati dan perasaan.

Aku teringat satu peristiwa yang melucukan. Seorang anakku yang aku masukkan belajar di Tahun Tiga sebuah sekolah rendah di Seremban sekembalinya dari Amerika Syarikat sering ingin segera pulang ke rumah selepas tamat sekolah, semata-mata kerana hendak membuang air kecil yang disimpannya lima enam jam. Sebabnya, dia tidak sanggup membuang air kecing di sekolahnya kerana tandas di sekolahnya kotor dan busuk, berbanding dengan tandas sekolahnya di Amerika Syarikat yang luas, bersih, kemas dan ceria.

Apa yang patut kita buat? Adakan kempen? Adakan kursus khas macam kursus perkahwinan? Kenakah denda? Masukkan dalam kurikulum sekolah?

Aku tidak ada jawapan yang pasti!

Tuesday, July 24, 2007

 

AKHBAR SAMPAH

Akhbar berbahasa Melayu pernah memainkan peranan penting meniupkan semangat perjuangan bangsa, mempertahankan maruah dan mendaulatkan kewibawaan. Akhbar Melayu menjadi lidah rasmi bangsa, menuturkan kata-kata bernas yang dapat memimpin bangsa ke arah memantapkan jati diri. Dato' Onn Jaafar bersandarkan akhbar pimpinannya menyatukan bangsa dalam kesatuan yang sejati, di samping "meledakkan jerangkap samar" kepada penjajahan Inggeris. Dan selepas itu, bertahun-tahun lamanya Utusan Melayu menyatukan jiwa raga orang-orang Melayu dalam satu semangat, satu muafakat, satu gerak dan satu tindak.

Sehinggalah Utusan Melayu disaingi dengan UtusanMalaysia yang sifatnya lebih terbuka sebagai sebuah akhbar untuk seluruh penduduk Malaysia berbilang kaum. Lama kelamaan, UtusanMelayu terpinggir dan akhirnya tenggelam bersama-sama tulisan Jawi, kerana kini sifatnya sekadar sisipan mingguan kepada Utusan Malaysia. Di samping itu, Berita Harian pula muncul dan saling mencari tempat bersama-sama Utusan Malaysia.

Kehadiran dua akhbar tulisan Rumi dalam bahasa Melayu serentak merupakan satu perkembangan yang sihat sekiranya semangat keMelayuan terus bertahan. Orang Melayu seharusnya tetap menjaga kepentingan bangsa Melayu. Itu janji Allah. Allah berfirman: "Tidak berubah sesuatu kaum itu kecuali kaum itu sendiri mengubahnya."

Pada peringkat permulaan, kelunturan semangat belum nampak terhakis dengan adanya "orang-orang kuat" di dalam akahbar-akhbar tersebut yang jiwanya dan semangatnya berteraskan Melayu seperti Melan Abdullah, Ibrahim Fikri, A.Samad Ismail, Haron Hasan dan sebagainya.

Sekarang akhbar-akhbar berbahasa Melayu bukan lagi hak orang Melayu, tetapi juga tidak berminat memperjuangkan bangsa Melayu. Sepatah kata A.Samad Ismail sendiri, akhbar-akhbar Melayu kini adalah sampah, yang ceritanya banyak menunjukkan aib orang Melayu sendiri. Hiburan ditonjolkan, pendidikan dipinggirkan. Cerita rogol, mat rempit, ragut, bunuh, buang bayi, berkhalwat dan sebagainya menjadi fokus, sementara kecemerlangan, kemuliaan budi pekerti, semangat juang, memburu ilmu, meningkatkan kemahiran dan sebagainya merupakan cerita-cerita yang jarang disiarkan.

Orang Cina dengan akhbar berbahasa Cina. Orang India dengan akhbar berbahasa India. Di situ jiwa raga dan suara hati mereka. Di situ juga medan perjuangannya. Di samping itu, akhbar-akhbar berbahasa Inggeris juga berpihak kepada mereka - Cina dan India. Apakah akhbar-akhbar berbahasa Melayu juga berpihak kepada Cina dan India? Dan orang Melayu dihidangkan dengan berita, cerita dan rencana sampah, dengan semangat yang habis tertumpah.

Aku merasa amat sedih dan pilu mengenangkan nasib bangsaku di tanahairnya sendiri. Atas nama globalisasi dan libralisasi, maruah bangsa sanggup digadaikan, martabat bangsa sanggup dike sampingkan, perjuangan bangsa bukan landasan.

Wahai pemimpin bangsa, kembalikanlah kecemerlangan akbhar-akhbar berbahasa Melayu sebagai wadah perjuangan bangsa. Sekolahkanlah pendokong akhbar-akhbar tersebut dengan semngat Melayu dan perjuangan Melayu - pengarangnya, wartawannya, editornya, pemberitanya.

Akhbar berbahasa Melayu, di manakah agenda Melayunya?

Tuesday, July 17, 2007

 

KUASA BUKAN UNTUK MENGHUKUM

Beberapa hari lalu sebuah akhbar arus perdana melaporkan betapa seorang exco sebuah kerjaan negeri tergelak besar menerima surat daripada seorang yang sudah letih kononnya menjadi nabi untuk orang Melayu dan mencabar Yang Berhormat ini mencari penggantinya. Aku yang membaca berita itu pun turut tergelak sama.

Esoknya exco yang sama dilaporkan pula dengan kenyataan yang lain. Dia menuduh Ashari Mohamad, bekas pemimpin Al-Arqam menulis buku yang kandungannya untuk menghidupkan semula pertubuhan itu, dan mengagung-agungkan dirinya sendiri. Apabila ditanya pemberita sama ada dia sudah membaca buku tersebut, dia kata dia belum baca lagi, tetapi dengan bangga mengatakan dia yakin bahawa itulah kandungan buku tersebut. Kenyataannya membuatkan aku ketawa lebih besar lagi. Agaknya ketawa aku jauh lebih besar daripada ketawanya. Ashari sendiri pun agaknya turut tergelak besar jika dia membaca berita itu. Ketawa aku bukan kerana aku menyokong Ashari, jauh sekali dari pengikut Al-Arqam. Tetapi yang membuatkan aku ketawa ialah telatah pemimpin politik ini yang membukakan kejahilannya sendiri.

Aku pernah berhadapan dengan situasi yang sama. Aku pernah dituduh komunis semata-mata kerana aku menulis kisah tentang Mat Indera dalam sebuah buku tokoh terbitan organisasi tempat aku bekerja. Tulisanku itu berdasarkan kajian bahan-bahan bercetak dan temu bual serta pemerhatian dan perbandingan. Penasihat penerbitan tersebut, Profesor Emeritus Datuk Abu Bakar Hamid setuju rencana itu diterbitkan bagi menggalakkan orang ramai berfikir, di samping untuk dijadikan asas bagi kajian selanjutnya.

Bukan sebarangan orang yang membuat tuduhan itu. Antara mereka termasuk dua orang yang membuatkan aku bukan tergelak, tetapi sedih sesedih-sedihnya kerana mereka orang yang berilmu dan berkuasa. Seorang yang menuduh itu ialah seorang profesor sejarah, dan seorang lagi ialah senator dengan Ph.D luar negara.

Ramai teman yang membaca tulisanku itu mengucapkan tahniah, kerana menurut mereka, aku melihat kisah Mat Indera dari satu perspektif yang berbeza. Tetapi bagi mereka yang tidak membaca rencanaku mengatakan aku mengagung-agungkan komunis dan menyanjung perjuangannya. Masya-Allah. Tidak ada satu perkataan pun yang dalam tulisanku itu merujuk sebagai mengagungkan komunis, sebaliknya kutukan terhadap komunis yang aku buat. Tulisanku itu sebenarnya mengutuk komunis.

Kebetulan aku bertemu dengan orang yang hebat menghentam aku - seorang profesor sejarah. Aku tanya dia, “Profesor dah baca ke tulisan saya tu?”

“Dah!” jawabnya ringkas.

“Cuba tunjukkan bahagian mana dalam tulisan tu yang saya ni komunis?

Dia jadi teragak-agak dan cuba mengelak. Sebaliknya, dia dengan penuh emosi menceritakan betapa kejamnya Parti Komunis Malaysia membunuh orang dan merosakkan harta benda rakyat. Dan aku akur. "Bapa saya seorang polis pada zaman darurat," dia bercerita hal lain yang tidak ada kaitan dengan persoalan pokok yang kami bincangkan. Dalam hatiku, kenyataan yang mengatakan bahawa bapanya seorang polis itu adakah satu kajian ilmiah? Atau dorongan emosi?

Aku tanya dia, "Adakah saya menceritakan kebaikan Parti Komunis Malaysia, Profesor? Adakah saya menyanjungi mereka? Profesor tunjukkan di mana dalam tulisan saya itu yang saya tidak mengutuk mereka?" Akhirnya dia mengaku bahawa dia sebenarnya belum pun membaca buku yang dirujuknya itu. Dia cuma membaca tajuk tulisan aku itu sahaja. Aku sungguh sedih mendengar jawapannya itu, lantas aku kini hilang penghormatanku tentang kepakarannya sebagai profesor sejarah. Aku menyimpan perasaan curiga terhadapnya. Kata hatiku, rupanya dia tidak ikhlas dalam kerjayanya. Rupanya ada udang di sebalik batu dalam segala usahanya. Maaf, mungkin ini prasangka buruk semata-mata.

Tetapi bagiku, itulah peribadi yang ada pada sebahagian pemimpin kita kini. Mereka menjatuhkan hukuman kepada sesiapa sahaja walaupun tanpa usul periksa. Sebabnya, mereka berkuasa. Memang bukan semuanya begitu, tetapi yang sedikit ini silap-silap boleh menjual negara, menggadai maruah bangsa, tetapi merekalah yang berkuasa. Berapa ramaikah lagi yang begitu?

Ingatanku: Kuasa itu amanah Allah. Kuasa bukan untuk menghukum orang lain sewenang-wenangnya. Gunakanlah kuasa itu dengan berhemah dan penuh keinsafan. Kuasa itu Allah pnjamkan kepada kamu buat sementara waktu sahaja. Peliharalah dengan sempurna. Dan Allah boleh tarik kuasa itu pada bila-bila masa dan memberikannya pula kepada orang lain.

Tetapi yang lebih penting, janganlah jatuhkan orang lain dengan memfitnah semata-mata untuk kepentingan diri sendiri. Sesungguhnya memfitnah lebih jahat daripada membunuh.

Aku merasa betapa kerdilnya ku. Aku insaf. Dalam keinsafan ini, aku muhasabah diri: Berapa banyakkah kuasa yang ada padaku telah aku gunakan untuk menghukum? Sejauh manakah aku sudah menghukum orang lain, termasuk anak-anakku sendiri, tanpa maklumat dan bukti yang sahih dan cukup? Moga-moga Allah ampunkan aku!

Monday, July 16, 2007

 

ALLERGIC

Aku berpeluang bertemu semula bekas ketuaku di Kementerian Pendidikan, Dato’ Haji Jumaat Mohd. Noor di Seminar Jati Diri Johor pada 6 – 8 Julai 2007 yang lalu. Pada malam perasmian seminar oleh YB Tuan Haji Ahmad Zahri Jamil, kami memakai baju Melayu Teluk Belanga lengkap. Sewaktu bersalaman, dia menegurku dalam ketawa, “Kau berani pakai baju ni ya, Mail? Bagus! Bagus!!”

Aku bertanya hairan, “Kenapa?”

“Di KL ramai orang kita allergic warna hijau,” jawabnya. Aku agak dia merujuk baju Melayu Johor berwarna hijau yang aku pakai itu.

“Kenapa?” soalku lagi buat-buat tidak faham.

“Hijau kan warna PAS. Tak ingat apa dah jadi logo Petronas?”

Kata-kata itu mengingatkan aku tentang polimek berpanjangan warna hijau putih yang terdapat pada logo Petronas. Akhirnya logo itu diubahsuai seperti yang terdapat kini kerana orang-orang UMNO takut logo itu seperti logo bulan PAS.

Aku teringat juga pada suatu peristiwa yang melucukan yang berlaku sewaktu aku bertugas di Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan akhir tahun 1990-an. Sebuah sekolah menengah bersiap sedia untuk menyambut lawatan seorang Perdana Menteri, antaranya dengan mengecat semula bili-bilik darjah yang telah pudar catnya. Tugas mengecat dan memilih warna yang digunakan diserahkan kepada kelas berkenaan.

Dua hari sebelum lawatan, seorang wakil rakyat tempatan yang ada jawatan penting dalam kerajaan Pusat datang meninjau persiapan sekolah. Dia terperanjat besar bagaikan hendak pengsan apabila melihat salah sebuah bilik darjah dicat dengan warna hijau. Dia lantas memberi kelas tersebut wang tunai RM 200.00 untuk membeli cat bagi menukar warna diding kelas tersebut dengan warna selain hijau. Pelik kan? Namun itulah mentaliti pemimpin kita.

Tiga empat hari yang lalu, anakku Idham yang baru balik dari menemui seorang pemimpin UMNO di Putrajaya masuk ke rumah dengan marah-marah. Aku hairan. Tujuannya menemui pemimpin itu untuk mendapatkan pertolongan tajaan bagi program berkhatan beramai-ramai anjuran persatuannya – Persatuan Perubatan Islam Islam – bertukar menjadi perkara lain pula. Tajaan yang diharapkan tidak berapa sen sangat, tetapi pertanyaan pemimpin itu yang bukan-bukan pula. Antaranya dia bertanya, “Kenapa namakan persatuan itu Persatuan Perubatan Islam? Tak boleh Persatuan Perubatan saja? Senang sikit nak beri tajaan.”

Hai, begitukah? Apa silapnaya nama Islam sehingga begitu sangat digeruni? Adakah orang yang beragama Islam cukup allergic dengan nama Islam itu sendiri? Adakah ini mentaliti pemimpin-pemimpin kita yang memperjuangkan Islah Hadhari? Aku amat keliru dibuatnya.

Aku tidak dapat jawapan yang pasti. Tetapi itulah yang kini diperhatikan oleh orang biasa sepertiku terhadap para pemimpin kita. Mereka terlalu allegric dengan nama-nama yang sejati dan sebati dengan dirinya, seperti Melayu, Islam, Bumiputera dan lain-lain. Kalau boleh, mereka tidak mahu menggunakannya. Macam mereka takut dengan bayang-bayang sendiri.

Kritikan ini bukan bermakna aku memusuhi mereka. Aku cuma berharap mereka menjadi pemimpin tulen bangsa dan Negara, yang bukan sahaja ada pendirian, tetapi yang penting, ada ilmu. Kalau tidak ada ilmu, fikirannya bercelaru, keputusannya tidak menentu, rakyat hilang pandu, dan bangsa terkulai layu.Mahukah kita?

Wednesday, July 11, 2007

 

YANG KITA TAK SUKA, ITULAH YANG DATANG MENERPA

Kita tidak suka, tetapi itulah yang datang pada kita.
kita tidak mahu, tetapi itulah yang kita dapat.
Kita tidak hendak, tetapi itulah yang kita miliki.
Sesungguhnya ada yang tersembunyi dari apa yang datang.
Sesungguhnya ada yang terlindung dari apa yang kita dapat.
Sesungguhnya ada yang tersirat dari apa yang kita miliki.
Dan Allah mengajar kita erti bersyukur.
Dan Allah mengajak kita membugar minda fikir.
Kita terus merendah diri bertafakur.
Insya-Allah, kita tidak akan tersungkur.

Aku ingin berkongsi beberapa kisah yang berlaku di sekitar diriku. Pertama, entah kenapa dahulu aku paling benci pada Pusat Perkembangan Kurikulum (PPK). Aku kutuk institusi penting Kementerian Pendidikan itu habis-habisan. Sehinggakan apabila aku ditukarkan bertugas di sana, aku segera ingin menolak. Aku memberontak. Sepanjang aku bertugas itulah kali pertama dan terakhir aku menolak arahan pertukaran. tetapi Datuk Abdul Aziz Ismail (Allahyarham), Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan berjaya memujuk aku. Antara lain, dia berkata kepadaku, "Kau pergi dulu. Tenguk dulu. Kalau tak suka, nanti jumpa saya balik. OK?" Dengan hati yang berat, aku pergi melaporkan diri ke PPK. Sehari ... seminggu ... sebulan ... setahun ... aku mula seronok da bahagia bertugas di situ. Akhirnya aku bertugas di PPK selama sebelas tahun, satu tempoh yang paling panjang dalam perkhidmatanku dengan kerajaan. Aku gembira dapat bertugas di situ walaupun aku terpaksa setiap hari berulang alik dari Seremban ke Kuala Lumpur.

Kedua, Semasa remaja aku sering disogokkan dengan cerita-cerita negatif tentang Negeri Sembilan, adat istiadatnya dan orang-orangnya. Antara kata-kata yang menghantui aku termasuk: "Jangan kahwin orang Negeri Sembilan, nanti harta kamu habis dikikis dan kamu keluar rumah sehelai sepinggang. Jangan kahwin orang Negeri Sembilan, nanti kamu kena masuk suku. Jangan kahwin orang Negeri Sembilan, nanti kau diguna-guna. Jangan makan makanan di Negeri Sembilan, nanti kamu kena santau. Ingat pantun orang Jelebu?"

Ke Jolabak ke Jolobu;
Tuai padi tiga tangkai.
Bila terkeno komat Jelebu;
Kalau tak mati, badan merasai.

Justeru aku memang tak ingin berkahwin dengan orang Negeri Sembilan. Tetapi apa yang berlaku? Aku diperintahkan bertugas ke Negeri Sembilan selesai sahaja pengajianku di Universiti Malaya, walaupun aku memohon penempatan ke Johor atau Melaka. Bayangkan, semua teman sengeri balik bertugas ke Johor, aku seorang terpelanting ke Negeri Sembilan. Tetapi di Negeri Sembilan itulah aku segera mendaki kejayaan kerjayaku, dan kemudiannya aku meniti usia dewasa, berkahwin dan berkeluarga dengan orang Negeri Sembilan dan seterusnya bermustautin di sana. Pelik bukan?

Ketiga, menurut cerita isteriku, dia semasa kecil amat benci dan meluat dengan orang keturunan Jawa, kerana kebetulan di kampungnya ada satu keluarga Jawa yang amat daif dan merempat. Dalam hatinya dia menyimpan satu azam bahawa dia tidak pernah ingin untuk bersuamikan sesiapa daripada keturunan Jawa. Selisih malaikat 44, katanya. Entah di mana silap agaknya, keturunan Jawa yang dibenci itu kini menjadi teman sebiliknya sejak 32 tahun yang lalu, sehingga bersamanya dia menjadi ibu kepada tujuh orang anak.

Demikian kebesaran Allah. sebabnya barangkali kita disuruh bersederhana dalam kehidupan kita. Kalau sayang, jangan melampau-lampau sayang. Entah esok atau lusa, kita naik benci. Tetapi kalau benci, jangan melampau-lampau benci. Entah esok atau lusa, kita jatuh sayang.

Itulah kenikmatan yang Allah beri kepada kita. Kita syukur!

Friday, July 06, 2007

 

RUMAH KEDUA


Kita menyara hidup kita dengan bekerja. Bekerja menjana pendapatan. Pendapatan itu kita gunakan untuk memenuhi keperluan kita seperti perlindungan, makan minum, kesihatan, kasih sayang dan sebagainya.
Untuk itu, kebanyakan kita keluar rumah untuk bekerja, sama ada dengan kerajaan atau pihak swasta. Sekurang-kurangnya selama lapan jam kita berada di tempat kerja kita pada setiap hari, melakukan kerja-kerja yang berkaitan dengan tugas yang dipertanggungjawabkan kepada kita. Bagaimanakah perasaan kita selama tempoh bekerja itu? Adakah kita ceria? Adakah kita murung? Adakah kita bahagia? Adakan kita sangsara? Adakah kita suka? Adakah kita duka?
Ingat, ditolak masa yang kita habiskan dalam perjalanan dan waktu kita tidur, sebenarnya masa kita berada di rumah dan masa kita berada di pejabat adalah seimbang. Kira-kira lapan jam sehari. Ertinya, tempat kerja itu adalah rumah kedua kita. Rumah pertama, tempat tinggal, dan rumah kedua, tempat bekerja.
Jika kita ingin hidup bahagia, kita mesti pastikan kita mesti merasa gembira di kedua-dua rumah kita. Kalau di rumah kediaman kita, kita selalu ceria, gembira dan sukacita, jangan lupa untuk menjadikan rumah pejabat kita juga demikian. Bagaimana? Hiaskan tempat kerja dengan suasana yang menyenangkan hati, menyejukkan mata memandang, menyedapakan telinga mendengar. Ertinya, tempat kerja mesti bersih, cantik, selamat dan sihat dari segi orangnya dan persekitarannya.
Senangi dan sayangi orang-orang di sekililing anda, dan mereka akan menyayangi anda. Dan anda akan gembira di tempat kerja ada, rumah kedua anda. Rumahku syurgaku. Tempat kerjaku syurgaku.

Monday, July 02, 2007

 

MEMRANGKAI SENI VISUAL




Sejak di sekolah rendah lagi, aku memang berminat dalam seni lukis. Aku menjual beberapa keping lukisanku kepada teman-teman mengaji di rumah dengan harga lima sen sekeping. Lukisan itu disempurnakan dengan pensil warna di atas sekeping kertas lukisan berukuran 6 inci x 6 inci. Sewakatu aku berada dalam Darjah Lima, seorang guru memintaku menyediakan lukisan untuk alat bantu mengajarnya. Seingat aku, aku melukis beberapa ekor binatang secara berasaingan - ayam, lembu, kambing, itik dan lain-lain. Namun minatku dalam lukisan kurang mendapat perhatian daripada bapaku, seorang imam masjid. Menurutnya, melukis manusia dan binatang dilarang. Katanya, makhluk yang dilukis itu nanti meminta kita nyawa. Jadi aku sering am enyorok-nyorok apabila melukis manusia atau haiwan.
Di sekolah menengah aku juga cemerlang dalam seni lukis. Aku beroleh gred A untuk Lukisan dalam SRP, tetapi keputusanku dalam mata pelajaran Lukisan peringkat SPM kurang menyerlah. Entah di mana dan kenapa silapnya, aku cuma mendapat C3.
Sewaktu di Tingkatan Empat dan Tigkatan Lima, aku berjinak-jinak dengan cat minyak. Dan seorang guru penolong kanan bernama Eric Yeow mengupah aku melukis dua lukisan cat minyak untuknya - satau lukisan pemandangan menjemur ikan kering di tepi pantai, dan satu lagi lukisan longgokan buah rambutan yang merah menyala. Semasa Tingkatan Lima di Sekolah Datuk Abdul Razak, Tanjung Malim, aku mendapat tempat pertama dalam Pertandingan Melukis Poster Hari Kemerdekaan bagi daerah Tanjung Malim.
Sewaktu di Tingkatan Enam, Sekolah Alam Shah, Kuala Lumpur, aku menjadi Ahli Jawatankuasa Kelab Seni Lukis. Di situ aku belajar melukis dengan guru seni lukis sekolah yang bernama Idris Salam. Aku terus terlibat dalam bidang seni lukis sewaktu di Maktab Perguruan Lembah Pantai, melalui Kelab Seni Lukis. Dua kali mengambil bahagian dalam pameran lukisan peringkat maktab, dan beberapa buah lukisanku dibeli oleh beberpa orang pensyarah, termasuk Mutapha Kamil Yasin dan Nordin Bachik. Beberapa pelukis MPB kektika itu ialah Sarim Mustajab, Ahmad Sulaiman, Abdul Razak "King", Rahmat Saripan, Haris Fadzilah, Ramli Chik, Ismail Abdullah, Saranom Kalimon, dan Mahmud Naim. Hatiku kembang gembira apabila Syed Ahmad Jamal memuji lukisan abstarakku berjodol Gerak Khas, yang menggambarkan kewujudan rumah-rumah haram di Kampung Kerenchi, Lembah Pantai.
Aku juga turut mengambil bahagian dalam Pameran Lukisan Pelukis-Pelukis Muar pada tahun 1968. Antara yang terlibat dalam pameran tersebut ialah Salleh Hamzah, Ahmad Abas, Abdul Shukor Ismail, dan Kasmin Mohamad. Pada tahun yang sama Majlis Belia Daerah Muar mengadakan pameran dan pertandingan lukisan, dan aku menggondol tiga hadiah pertama untuk lukisan abstark, pemandangan dan gubahan fikiran. Matlob telah menulis tentang diriku dan penglibatanku dalam bidang ini dan disiarkan semuka penuh di Utusan Melayu.
Walaupun aku taerdidik sebagai guru Bahasa Melayu dan Sejarah, minatku dalam seni lukis menyebabkan aku turut mengajar mata pelajaran tersebut apabila aku bertugas di Sekolah Menengah Semerah (1967 - 1967) dan Sekolah Menengah Mantin (1972). Pada ketika itu, aku bercita-cita untuk menjadi seorang pelukis terkenal dan mendalami bidang ini di luar negara. Namun harapan itu tidak kesampaian, dan aku kini menjadikan seni lukis sekadar aktiviti pada masa lapang bagi meluahkan perasaan dan kreativiti.
Apapun, dalam kerjayaku sebagai seorang pendidik, aku pernah mengetui Bidang Seni dan Kesihatan di Pusat Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pendidikan, yang di dalamnya terangkum seni visual. Pada masa itu, aku sempat terlibat dalam penggubalan sukatan pelajaran mata pelajaran Seni Visual Sekolah Menengah dan Sekolah Rendah. Ketika itu aku banyak meanghasilkan logo. Antaranya aku memenangi ciptaan logo untuk Persatuan Perpustakaan Sekolah-Sekolah Negeri Sembilan, dan Yayasan Guru Malaysia. Saya juga diberi peluang mencipta logo Asia Pacific Group UNESCO Paris.
Aku bersyukur beberapa orang anakku kini menyambung minatku dalam diri mereka. Kesemua keempat-empat orang yang mengambil mata pelajaran Pendidikan Seni peringkat SPM telah mendapat A. Mudah-mudahan mereka terus berjaya dan bergembira dengan penglibatan mereka dalam bidang ini.

 

SEMINAR JATI DIRI JOHOR

LATAR BELAKANG

Tinggal empat hari lagi Seminar Jati Diri Johor menjelang. Segala perhatian ditumpukan untuk menjayakan program ini, terutama dari segi penyertaan dan kertas kerja. Cemas ada, gementar pun ada. Namun begitu, Yayasan Warisan Johor dan Fakulti Pengurusan dan Pembangunan Sumber Manusia, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang mengelolakan program anjuran Kerajaan Negeri Johor tetap menaruh harapan yang tinggi untuk memastikan kejayaan seminar ini.

Sesungguhnya Johor telah mewarisi sejarah dan tamadun Melayu yang panjang. Ini terserlah dengan pengwujudan Kesultanan Melayu Johor, yang merupakan kesinambungan Kesultanan Melayu Melaka yang musnah disebabkan kehadiran penjajah Portugis pada tahun 1511. Signifikannya, Johor telah mencetuskan suatu tamadun Melayu yang gagah, gemilang dan perkasa dalam semua bidang kehidupan yang diwarisi sehingga kini sebagai jati diri Johor.

Jati diri adalah himpunan segala pengenalan diri yang dikongsi bersama oleh setiap individu dengan orang lain dalam masyarakatnya sejak dilahirkan. Jati diri bukan sekadar berfungsi membentuk kelakuan individu berkaitan dengan kebersamaan dalam kehidupan bermasyarakat, tetapi juga sebagai pendorong, penggerak dan peledak dalam memelihara dan mempertahankan harga diri dan maruah agama, bangsa dan tanah air.

Dalam konteks ini, kefahaman dan penghayatan terhadap pelbagai aspek tentang jati diri Johor perlu diperluas terutama di kalangan anak negeri Johor melalui penyebaran dan pengembangan ilmu. Seminar ini merupakan salah satu usaha bagi mencapai hasrat tersebut.

Sehubungan itu, dalam negara kita menyambut ulang tahun kemerdekaan yang ke-50, adalah amat wajar dan bertepatan sekali Seminar Jati Diri Johor diadakan. Ia adalah suatu manifestasi untuk mempertahankan keperibadian nasional di kalangan rakyat dalam suasana masyarakat dunia sedang diasak dengan ancaman globalisasi.

OBJEKTIF
Untuk mempertemukan para penggiat seni budaya dengan para ilmuan dalam satu kegiatan intelektual.

Untuk mencari kesatuan pemikiran di kalangan para penggiat seni budaya dan para ilmuan tentang jati diri Johor melalui peprbincangan dan percambahan fikiran.

Untuk menghasilkan penulisan ilmiah yang menyeluruh tentang jati diri Johor untuk diterbit dan diedarkan secara meluas di seluruh negara.

Untuk menyokong usaha-usaha kerajaan Johor bagi merealisasikan hasrat membangunkan bandaraya Johor Bahru sebagai Kota Budaya dengan fungsinya sebagai pusat perhimpunan budaya, pusat konvensyen, pusat perdagangan dan pusat pelancongan.

Untuk menanamkan semangat jati diri Johor melalui program pengembangan ilmu yang tersusun dan berterusan.

PEMBENTANGAN
Pengertian dan Konsep Jati Diri Johor – Profesor Datuk Dr. Zainal Kling
Kesultanan dan pemerintahan - Profesor Dr. Abdullah Zakaria Ghazali

Politik – Datuk Johan Jaffar
Pemikiran – Datuk Dr. Hassan Ahmad
Daerah dan Wilayah – Tuan Haji Kassim Thukiman
Penduduk - Profesor Madya Dr. Noriah Mohamad
Kebudayaan - Prof. Emiritus Datuk Abu Bakar Hamid
Sastera dan Persuratan – Tuan Haji Md. Ismail Zamzam
Bahasa – Profesor Dr. Awang Sariyan
Ekonomi – Profesor Madya Dr. Durrishah Idrus
Agama – Professor Dr. Abd. Jalil Borham
Pendidikan - Profesor Dr. Rahimah Abdul Aziz
Sosiobudaya - Profesor Madya Datuk Zainal Abidin Borhan
Busana – Profesor Madya Dr. Siti Zainon Ismail

TARIKH DAN TEMPAT

Seminar ini akan diadakan pada 6 hingga 8 Julai 2007, di Hotel Selesa, Johor Bahru. Dijangka 250 ahli akademik, para ilmuan, penggiat budaya dan pelajar IPT akan menghadiri majlis ilmu ini.



This page is powered by Blogger. Isn't yours?

Subscribe to Posts [Atom]