Thursday, June 21, 2007

 

KERBAU MEMBAWA LUMPUR

Tidak sukar untuk memahami kenapa kini orang Melayu dipersendakan dan dipandang serong oleh sebahagian bukan Melayu sekiranya kita rajin mentelaah gelagat sebahagian kecil pemimpin-pemimpin kita dalam politik. Mereka inilah yang secara tidak langsung banayak diberi fokus dan ditonjolkan oleh media massa, bukan sebagai tokoh atau wira, tetapi sebagai badut yang sekadar pandai membuat orang ketawa melalui aksi dan ucap kata mereka yang tidak berisi, bukan berfikir.

Tidak lama lagi akan berlangsung Pilihanraya Umum peringkat negeri dan kebangsaan. Banyak petanda yang boleh kita jadikan petunjuk. Sejauh mana kita orang Melayu sudah bersedia mempersiapkan diri menghadapi cabaran besar ini?

Pada 16 Jun yang lalu, aku terlibat mengurus Seminar Integriti Politik Negeri Johor di Perbadanan Produktiviti Negara (National Productivity Coperation), Bandar Baru Uda, Johor Bahru, yang dianjurkan ole Barisan Nasional Johor, Institut Integriti, Kepimpinan danLatihan Semangat (IKLAS) dan Institut Integriti Malaysia (IIM). Tiga tokoh penting muncul memberikan ceramah mereka, iaitu YB Dato' Shahril Abdul Samad (Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru dan Ahli Parlimen), Profesor Dato' Dr. Shamsul Amri Baharudin (Pengarah IKON, Universiti Kebangsaan Malaysia), dan Datuk Dr. Map Tap Saleh (Presiden IIM). Seminar diakhiri dengan perasmian oleh YAB Dato' Haji Abdul Ghani Othman, Menteri Besar Johor.

Dari pengamatanku, ada beberapa hal yang menarik tentang seminar itu. Yang pasti, persoalan yang dikemukakan oleh ketiga-tiga panel itu memang menarik, bahkan mencabar dan merangsang minda dan emosi. Sungguh! Tetapi aku amat terkedu apabila mengenang bangsaku berasaskan gelangat pemimpin-pemimpin bangsaku dalam perhimpunan seramai kira-kira 300 orang itu. Pemimpin UMNO memang banyak berbanding dengan pemimpin MCA, MIC dan Gerakan.

Aku kagum dengan penyertaan MIC. Majlis bermula pada jam 9.00 pagi, tetapi jam 8.00 pagi mereka sudah datang memenuhi kaunter pendaftaran. Jam 8.30 pagi kerusi-kerusi di bahagian hadapan sudah dipenuhi dengan pemimpin-pemimpin MIC. Dan mereka kelihatan cukup berdisiplin. Pemimpin-pemimpin UMNO yang datang semacam tidak berminat kerana sebahagian mereka lebih suka bersembang-sembang sambil merokok di luar dewan sehinggalah juru acara membuat pengumuman bahawa majlis akan dimulakan tidak lama lagi. Mereka mengambil tempat di belakang-belakang, hampir dengan pintu keluar masuk.

Yang anihnya pemimpin-pemimpin utama UMNO tidak banyak yang kelihatan sewaktu forum diadakan. Yang anihnya juga, semasa soal jawab dibuka, yang banyak mengemukakan soalan adalah pemimpin-pemimpin MIC berbanding dengan pemimpin-pemimpin UMNO. Adakah ini menggambarkan kualiti kepimpinan dalam UMNO? Aku tidak pasti kerana walaupun aku sebagai anggota Perkhidmtan Awam mahu tidak mahu perlu menyokong parti yanga memerintah, namun aku tidak pernah sehingga kini menjadi ahli dan melibatkan diri dalammana-mana parti politik.

Ada sebilangan kecil UMNO yang datang tetapi keluar balik apabila didapati YAB Menteri Besar tidak ada. Hanya apabila YAB Menteri Besar sampai, maka tiba-tiba sahaja pemimpin-pemimpin utama UMNO nampak batang hidungnya.

Jadi soalnya, patutkah kita marah jika bukan Melayu menyindir, memperlekehkan, mempersenda, malah menghina kita orang Melayu, sedangkan kita sendiri sememangnya mempunyai gelagat demikian. Biarpun tidak ramai, tetapi mereka mempunyai kedudukan istimewa dan penting. Memanglah, kerbau seekor membawa lumpur semua terpalit.

Soalnya juga: Ke mana kita hendak hantar kerbau seperti itu di kalangan bangsa kita?

Sunday, June 17, 2007

 

HARI BAPA

Hari ini aku menerima SMS daripada anak-anak mengucapkan Selamat Hari Bapa. Di luar kesedaranku rupanya hari ini, 17 Jun adalah hari yang diiktiraf oleh Malaysia sebagai Hari Bapa. Hari Bapa di Malaysia adalah hari Ahad minggu ketiga bulan Jun, dan tahun ini hari tersebut jatuh pada 17 Jun. Terima kasih kerana ucapan tersebut. Selain anak-anak, aku telah menerima ucapan dari seorang teman akrab dari Seremban. SMS yang dikirim antara lain berbunyi: "Happy Father's Day. Be the best father lillahi-taala." Aku terkedu. Namun begitu, aku tidak lupa mengucapkan terima kasih kepadanya.

Pada umumnya pengorbanan bapa tidak dilihat oleh anak-anak sehebat pengorbanan ibu. Kemungkinan kerana bapa tidak mengandungkan anak. Kemungkinan juga kerana bapa tidak melahirkan anak. Dan bapa juga tidak membesarkan anak dari segi susuan, penjagaan dan pemeliharaan secara langsung. Tugas bapa banyak di luar rumah, di tempat kerja. Kerana itu, masa anak-anak sejak dilahirkan lebih banyak bersama ibu. Hal itu barangkali memungkinkan ikatan, ingatan, hubungan dan perhargaan antara anak dengan bapa dan antara anak dengan ibu agak berlainan. Itulah kelebihan ibu, tetapi bagiku tidak pula mengurangkan kelebihan bapa. Sebenarnya masing-masing mempunyai kelebihan yang tersendiri sebab mereka saling melengkapi antara satu sama lain sebagai pasangan suami dan isteri, ibu dan bapa.

Dalam budaya Melayu, pengorbanan bapa terhadap anak kurang diberi perhatian, malah jarang mendapat penghormatan. Dalam himpunan karya sastera Melayu, peranan bapa jarang ditonjolkan. Sebaliknya ibu diketengahkan sebagai tokoh yang berwibawa dan mempunyai kekuatan tersediri. Siapakah yang diungkapkan sebagai watak ideal dalam Batu Belah Batu Bertanggup, Si Tanggang, Malim Kundang dan Bawang Putih Bawang Merah kalau tidak ibu yang mempunyai kekuatan dan ketahanan diri yang begitu kukuh? Sumpahan ibu begitu hebat sehingga antaranya menyebabkan anak menjadi batu seperti dalam Si Tanggang. Barangkali kerana itu juga, Pak Pandir digambarkan sebagai seorang bapa yang jahil apabila diberi tugas menjaga anak telah memandikan anaknya dengan air panas sehingga menyebabkan anak itu meninggal dunia.

Pembacaanku menemukan sejarah kewujudan Hari Bapa. Mengikut sejarah, Hari Bapa dikesan sejak tahun 1839 bagi mengenang kematian 123 lelaki dalam peperangan Iransop. Hari Bapa pada zaman moden mula diadakan pada 5 Julai 1908 di Fairmont, West Virginia, USA sebagai satu acara keagamaan dalam agama Kristian, hasil asperasi sambutan Hari Ibu.

Hari Bapa digerakkan sebagai sambutan sedunia apabila Sonora Smart Dodd mengadakan sambutan ulang tahun pada tahun 1910 bagi mengenang bapanya, William Jackson Smart, seorang veteran Perang Saudara Amerika Syarikat yang secara bersendirian membesarkan enam orang anaknya. Tarikh yang dipilih sebagai Hari Bapa yang pertama diadakan secara rasmi ialah pada 19 Jun 1910.

Bunga ros diiktiraf sebagai bunga rasmi Hari Bapa. Warna merah dipilih untuk bapa yang masih hidup, sementara warna putih untuk bapa yang sudah meninggal dunia.

Apa pun, Hari Bapa bukan tradisi masyarakat Melayu. Hari Bapa juga bukan tuntutan dalam agama Islam. Namun begitu, umat Islam sentiasa diajar untuk terus menerus mentaati, menghormati dan menghargai kedua-dua ibu dan bapa sepanjang masa tanpa mengira hari dan waktu.

Itulah tuntutan agama yang diamanahkan kepada anak. Apakah pula tuntutan terhadap bapa?Tenas Effendy dalam bukunya Ungkapan Tradisional Melayu Riau (DBP, 1989) mengungkapkan ciri-ciri bapa yang sempurna sebagai berikut:

Pertama bapa budak
yang tahu anak bininya
tahu salah dengan silih
tahu adat dengan pusaka
tahu tunjuk dengan ajar
tahu unjuk dengan beri
tahu rumah tangganya
tahu suku sakatnya
tahu tempat tegaknya
tahu diri tahu bebannya.

Dalam budaya Melayu, ada satu peribahasa yang amat berkaitan, iaitu "Sayangkan isteri, tinggal tinggalkan, sayangkan anak, tangan tangankan". Peribahasa ini seolah-olah memberi saranan bahawa seorang bapa yang baik ialah seorang lelaki yang mempunyai nilai kasih sayang yang tinggi terhadap isteri dan anak-anak, yang bersedia keluar rumah untuk mencari rezeki dan mengajar anak-anak melalui pengajaran yang agak keras disiplinnya. Ungkapan "tinggal tinggalkan" dan "tangan tangankan" itu bagi tidak menunjukkan makna "keterlaluan", tetapi lebih merujuk kepada aspek pengajaran yang terancang dan sistematik.

Nampakanya saranan ini semacam ada persamaan dengan maksud Hadis Nabi dalam konteks mendidik anak-anak untuk bersolat. Ada unsur pendidikan yang terancang dan sistematik. Begitukah?

Aku belum mendapat jawapan yang pasti, terutama apabila pendekatan psikologi amat ditonjolkan sedangkan soal disiplin anak kini nampaknya tetap menjadi masalah yang sukar terurai. Namun begitu, aku tetap teringat bapaku Haji Adnan, yang didikan "kerasnya" itu telah menghasilkan seorang anak bernama Ismail seperti yang hadir dengan agak selesa dalam kehidupan yang dinikmatinya kini. Aku amat menghargai dan menghormati peranannya dalam hidupku. Aku hadiahkan Al-Fatihah kepada Allahyarham, moga-moga Allah meletakkan rohnya di kalangan roh orang-orang yang beriman. Amin!

Yang pasti, kepimpinan melalui teladan adalah resipi yang paling mujarab dalam membina hubungan dalam keluarga. Soalnya: sejauh mana aku?

Thursday, June 14, 2007

 

TAMAN NEGARA ENDAU-ROMPIN

Taman Negara Endau-Rompin seluas 80,000 hekter di sempadan negeri Johor dan negeri Pahang menyimpan khazanah alam semula jadi yang unik dan tersendiri. Pada petang 6 Jun yang lalu, aku bersama-sama tiga orang teman sepejabat meredah jalan kayu balak yang berliku, berdebu dan tidak rata dari Kahang untuk sampai ke Pusat Pelawat, Taman Negara Endau-Rompin. Perjalanan sejauh 56 kilometer itu memakan masa selama dua jam. Nasib baik kesan hujan baru turun sewaktu kami melalui jalan tersebut menyebabkan debu berkurangan. Tujuan kami bersusah payah masuk ke kawasan itu ialah untuk meninjau persediaan tempat bagi Program Latihan Untuk Pengajar (Training for Educators) yang akan jabatan kami jalankan pada 14 - 17 Jun ini.

Ya, hari ini 14 Jun 2007. Aku sekali lagi akan ke Taman Negara Endau-Rompin. Dijangka kira-kira 40 orang akan terlibat dalam program ini.

Bagi aku, ini adalah kali ketiga aku meredah jalan kecil sempit melintasi Estet Mutiara, Kampung Punan dan Kampung Peta sebelum sampai ke pintu masuk Pusat Pelawat dan Pusat Penyelidikan Taman Negara. Kali pertama ialah pada awal April 2000 kerana mengadakan majlis pencambahan fikiran (brainstorming) merancang pelaksanaan IKLAS. Kali kedua ialah pada tahun 2002 bersama-sama dengan peserta pelajar untuk pertandingan melukis peringkat kebangsaan bagi pelajar-pelajar sekolah menengah seluruh Malaysia.

Terkesan oleh keunikan dan kehebatan Taman Negara Endau-Rompin ini, aku sempat menukilkan sebuah sajak seperti berikut:

ENDAU-ROMPIN

Allah mengangkat tinggi martabatmu
menganugerahkan dunia dengan khazanah
di tengah-tengah hutan belantara
sebuah taman semula jadi unik dan lengkap
ada mistri tidak terungkap.

Demikian sebuah Taman Negara Endau-Rompin
sebuah kota kehidupan yang gagah berdiri
dengan susun atur hidup yang tersendiri
ada ungas, ada serangga, ada mergastua
ada sungai, ada bukit, ada tasik, ada paya
ada pohon merimbun, ada batang bersilang
tinggi mencapai awan, rendah menutup bumi
bersepadu menghimpun kekuatan bersama
menyimpan riuh dalam sepi mengasyikkan
menyimpul kenikmatan dalam kebahagiaan
mendakap harmoni yang berpanjangan.

Taman Negara Endau-Rompin
pintu masukmu dipagari Kampung Peta
Orang Hulu yang brzaman mengenal erti syukur
memeliharamu tidak sekadar seadanya
malah menjadi teman akrab yang setia
mengawal keselamatan flora fauna
menjaga kehidupan air dan darat
kekal sebagai khazanah warisan.

Taman Negara Endau-Rompin
kau bertuah ada manusia mengenang jasa
membangunkanmu bagi manfaat bersama
betapa gagahnya Gunung Jening
betapa uniknya Jeram Upeh Guling
betapa nyamannya Padang Temambong
betapa indahnya Buaya Sangkut
betapa tenangnya Sungai Jasin
betapa berguanya Tasik Biru
airnya brkhasiat sebagai ubat.

Taman Negara Endau-Rompin
jangan ada sesiapa mencemburui kehebatanmu
lantas tanpa segan silu membawa teknologi baru
permukaanmu digondolkan, lanskapmu dimusnahkan
menjadikan kau terus riuh dalam kesepian
menyimpan luka yang berterusan
tidak lagi menjadi taman penghias alam
tidak lagi melakar sebuah ketenangan
tidak lagi sumber ilmu pengetahuan.

Taman Negara Endau-Rompin
sekali aku berpayah mengunjungimu
semacam tidak bersedia untuk pulang
walaupun sudah berhari-hari aku bertandang.

ISBIHA

Johor Bahru, 4 April 2000

Wednesday, June 13, 2007

 

SUNATAN @ SUNATHON

Dalam masyarakat Melayu Islam, bersunat atau berkhatan adalah satu peristiwa penting yang mesti dihadapi oleh seseorang kanak-kanak lelaki. Biasanya upacara ini dilakukan pada ketika kanak-kanak itu berusia 10 hingga 12 tahun. Pada kebiasaannya, seseorang kanak-kanak yang berusia dalam lingkungan 10 hingga 12 tahun sudah khatam al-Quran, dan majlis berkhatan disempurnakan sekaligus dengan majlis khatam al-Quran. Kanak-kanak sering dimomokkan bahawa selagi dia tidak khatam al-Quran, dia tidak boleh dikhatankan. Selain memenuhi tunutan agama, berkhatan ini dianggap sebagai lambang menunjukkan zaman peralihan dari kanak-kanak kepada remaja. (Sebenarnya berkhatan juga diperlukan kepada kanak-kanak perempuan, tetapi jarang diperkatakan kerana kelazimannya kanak-kanak perempuan dikhatankan secara senyap-senyap oleh Mak Bidan dalam tempoh kira-kira sebulan selepas kelahirannya.)

Pada awal cuti sekolah yang lepas, ramai kanak-kanak lelaki bersunat atau berkhatan. Berkhatan dilakukan sendirian oleh keluarga atau dibuat secara kumpulan dalam masyarakat. Di setengah-setengah tempat, berkhatan ini dijalankan secara beramai-ramai bertujuan untuk menambahkan kemeriahan dan keseronokan. Ia juga bertujuan untuk mengurangkan rasa cemas atau takut di kalangan mereka yang berkhatan itu.

Kini berkhatan dianggap perkara biasa. Dengan kemudahan kaedah perubatan moden, berkhatan dilakukan dengan mudah dan ringkas oleh doktor bertauliah. Bawalah sahaja anak itu ke hospital atau klinik, dan selepas beberapa minit sahaja hujung kulit di pangkal kemaluan lelaki sudah hilang dipotong menampakkan kepala kemaluan. Sakitnya tidak terasa. Beberapa hari selepas itu luka pada kemaluan pun sembuh. (Tiga orang anak lelakinya dikhatankan oleh Dr. Abdullah di Klinik Abdullah, Ampangan, Seremban dengan bayaran RM 70.00 seorang tanpa sebarang majlis khusus kecuali jamuan makan istimewa pulut kuning dalam keluarga. Dino berkhatan sewaktu usianya 11 tahun, sementara Izwan dan Idham berkhatan serentak sewaktu masing-masing berusia 10 dan 9 tahun.)

Keadaan ini berlainan jika dibandingkan dengan keadaan 50 atau 60 tahun yang lalu. Berkhatan satu peristiwa besar seseorang kanak-kanak yang perlu dibesarkan. Berkhatan disempurnakan oleh seorang yang bergelar Tok Mudim, yang memang terkenal dengan kepakarannya dalam kerja "potong memotong" ini. Tok Mudim akan melaksanakan tugasnya menggunakan kaedah tradisi dengan peralatan-peralatan tertentu yang khusus untuk tujuan tersebut. Oleh kerana bilangananya amat terhad dan pekerjaannya juga dianggap rumit, seseorang Tok Mudim perlu ditempah awal-awal untuk dia menjalankan tugasnya. Dia hanya boleh melaksanakan tugasnya bagi seorang dua sahaja bersunat dalam sehari, dan lazimnya dilakukan pada waktu awal pagi. Tetapi yang lebih utama, berkhatan dilakukan sebagai satu upacara penting dalam hidup seseorang yang disertai oleh upacara-upacara lain yang berkaitan.

Aku teringat bagaimana aku dikhatankan sewaktu umurku 12 tahun pada tahun 1957. Sehari sebelum berkhatan, ibu bapaku membuat kenduri besar menjemput seluruh orang kampung. Balai didirikan. Penanggah juga didirikan. Rewang dijalankan. Pasukan ghazal mengadakan persembahan. Aku dipakaikan bagai seorang pengantin dan kemudian diarak berkompang dan berbunga manggar dari jarak 500 meter dari rumahku. Sampai di halaman rumah, aku disambut bukan sahaja dengan pencak silat, tetapi juga ibuku menaburkan wang syiling lima sen menyebabkan kanak-kanak berebut-rebut untuk mendapatkan syiling-syiling yang bertaburan di atas tanah. Kata ibuku, perbuatannya sebagai tanda kesyukuran kejayaan aku sebagai anaknya dengan meraikan dan memeriahkan kanak-kanak.

Aku dengan dua orang pengapitku terus naik ke atas balai yang sudah penuh dengan para jemputan. Aku masih ingat, Mislan Ithnin dan Tukimin Paijan menjadi pengapitku. (Mereka berdua adalah teman mengaji al-Quran di rumah dan sebaya dari segi umur.) Selepas duduk di tempat yang dikhaskan, aku pun mula membaca ayat-ayat al-Quran yang ditetapkan dalam majlis khatam ql-Quran itu. Tok Imam mengakhiri majlis dengan membaca Doa Khatam al-Quran. Setelah tamat majlis, para jemputan dihidangkan makanan dan berjamu secara ambeng dan pulang dibekalkan dengan bunga telur. Bagi para jemputan terpilih, mereka juga diberi sebungkus barkat (bungkusan nasi lengkap berlauk pauk sebagai buah tangan).

Kemeriahan khatam dan khatan ini sama hebatnya dengan majlis perkahwinan. Barangkali kerana aku anak lelaki tunggal, ibu bapaku menjalankan upacara ini agak berlebihan sedikit. Aku sendiri tidak pasti. Tetapi selepas majlis khatam al-Quran, pada sebelah malamnya, ada lagi majlis lain berlangsung di rumah. Di atas balai, orang-orang lelaki berkompang kemplingan beramai-ramai hingga subuh, semntara di atas rumah, orang perempuan mengadakan majlis berzanji dan marhaban. Memang sungguh meriah. Aku disuruhnya tidur awal. Tetapi bagaimana suruhan itu dapat aku laksanakan dalam suasana kemeriahan begitu rupa. Kemeriahan itu turut menghalang aku daripada tidak turut serta hingga larut malam.

Keesokan subuhnya aku sudah dibangunkan dan diminta berendam di dalam perigi. Sejuknya bukan main. Kononya perbuatan itu bertujuan untuk melembutkan kulit kemaluan aku supaya tidak susah untuk dipotong nanti.

Selepas memakai aku baju kurung baharu dengan kain pelekat baharu, aku pun dibawa ke halaman rumah lalu didudukkan di atas kerusi di atas pangkuan seseorang yang mengangkangkan kedua-dua belah kakiku dan memegang tanganku. Aku tidak ingat siapa yang memangku aku pada ketika itu. Aku diminta pejamkan mata.

Sebaik-baik sahaja mata kupejamkan, bunyi kompang dan orang berselawat pun kedengaran bergema memecah kesunyian pagi. Dalam keadaan riuh rendah yang bercampur baur itu, aku terasa seketika sedikit kepedihan di atas kemaluanku, dan apabila paluan kompnag berhenti aku dimaklumkan bahawa aku sudah selamat dikhatankan. Pada waktu itu, kesakitan tidak terasa sangat. Selepas itu pada setiap pagi dan petang aku merawat lukaku sendiri dengan penuh cermat mengikut arahan ibuku. Antaranya membasuh luka bersih-bersih, menyapu ibu kuning di atas luka dan membalutnya dengan daun sirih yang sudah dilayukan sebelum membungkusnya dengan kain putih. Antara pantang larangnya ialah tidak boleh melanggar bendul pintu. Berkat kesabaran dan ketelatenan merawat luka, seminggu selepas itu, luka pada kemulanku pun sembuh dan aku pun sudah boleh bergerak bebas seperti biasa.

Demikianlah bersunat atau berkhatan secara tradisi yang kini sudah tinggal kenangan sahaja. Aku tidak pasti sama ada masih wujud atau tidak kaedah berkhatan sebegini rupa pada ketika ini. Tok Mudin pun mungkin sudah tidak wujud lagi. Yang pasti, pada percutian sekolah pada bulan Ogos yang akan datang, satu majlis berkhatan beramai-ramai akan diadakan di Endau, Mersing. Aku terlibat dalam aktiviti ini.

Aktiviti ini dianjurkan oleh Persatuan Perubatan Islam Malaysia (Islamic Medical Association of Malaysia), kependekannya IMAM, pada 18 Ogos 2007 dalam satu program khidmat komuniti pada 17 - 20 Ogos 2007. Program ini dinamakan Sunathon 2007, merujuk kepada sunat atau khatan beramai-ramai. Kalau dalam bahasa Jawa dipanggil Suntan sahaja.

Mengikut perancangannya, seramai 100 orang kanak-kanak akan dikhatankan dalam program yang dikelolakan bersama oleh IMAM Cawangan Pelajar Russia dan Institut Integriti, Kepimpinan dan Latihan Semangat (IKLAS) dengan kerjasama Pejabat Daerah Mersing. 200 pelajar perubatan Islam Malaysia yang kini sedang belajar di IPTA di dalam dan di luar negara dan 20 orang doktor bertauliah akan terlibat dalam parogram ini. Anakku Khairil Idham yang kini pelajar perubatan di Russian State Medical University menjadi penyelarasnya.

Semoga program ini berjalan dengan lancar dengan bantuan, sokongan dan kerjasama semua pihak yang berkaitan, dan dengan taufek dan hidayah Allah mudah-mudahan dipermudahkan segala urusan serta terhindar dari sebarang halangan dan kepayahan. Kepada Allah doa dipohonkan dan kepada Allah kami berserah.

Monday, June 11, 2007

 

PEMANDU TEKSI

Sebahagian hidupku banyak kuhabiskan dalam perjalanan. Sepanjanag sebelas tahun aku bertugas di Kementerian Pelajaran, aku berulang alik sejauh 150 km dari rumahku di Seremban ke tempat kerja di Kuala Lumpur. Kadang-kadang aku memandu sendiri kenderaanku, kadang-kadang aku berkongsi kenderaan dengan kawan-kawan, tetapi kebanyakan perjalanan aku dipermudahkan dengan menaiki bas khas. Ada masa-masa tertentu apabila aku tertinggal bas khas, aku menaiki bas ke Puduraya, kemudian menyambung perjalanan ke tempat kerja dengan menaiki teksi.
Begitu juga halnya apabila aku ditukarkan bertugas dari Seremban ke Johor Bahru, dan kemudian dari Johor Baharu ke Melaka, aku banyak sekali berjalan, terutama pada hujung minggu. Hal ini demikian kerana aku diperintahkan bertukar pada pertengahan tahun dan isteriku seorang guru hanya dibenarkan berpindah sekolah pada awal tahun. Kerana itu, aku terpaksalah berulang alik setiap minggu dari kediaman sementara di tempat kerja ke rumah tempat tinggal isteri dan anak-anak. Kisah perjalanan ini belum lagi termasuk sewaktu aku bertugas di luar daerah ke merata tempat di seluruh negara kerana menghadiri mesyuarat, mengikuti kursus, memberi ceramah dan sebagainya.

Sebulan selepas bersara wajib dari Perkhidmatan Awam pada tahun 2000, aku bekerja pula secara kontrak dengan Kerajaan Negeri Johor. Apabila aku bertugas di Johor Bahru sejak lebih tujuh tahun yang lalu, keluargaku tidak berpindah sama. Mereka sudah begitu selesa dengan persekitaran hidup di Seremban. Aku terpaksa pula berulang alik dari Johor Bahru ke Seremban dan sebaliknya hampir saban minggu. Kebanyakan perjalanan menggunakan bas ekspres. Biasanya aku pulang ke Johor Bahru menaiki bas terakhir pada jam 11.00 malam hari Ahad, yang akan sampai di Terminal Bas Larkin kira-kira jam 2.00 pagi Isnin. Dari situ aku mengambil teksi ke Jalan Mariamah, dengan kadar tambang biasa untuk waktu malam sebanyak RM8.00.

Sepanjang tempoh itu, banyak pengalaman dapat kukutip tentang pemandu teksi. Sempena Tahun Melawat Malaysia 2007, aku ingin berkongsi maklumata tentang pemandu teksi yang dianggap sebagai "duta kecil" Malaysia bagi mempromosi negara kita kepada pelancong, terutama pelancong asing melalui budi bahasa, pemanduan berhemah, dan integriti yang tinggi.
Memang banyak yang dapat kukisahkan tentang pemandu teksi ini. Ada pemandu yang cdekap Ada pemandu yang banyak cakap, tanya itu dan ini, atau cerita itu dan ini. Cerita pemandu teksi ini tidak kurang menariknya. Entah betul, entah temberang, aku dengar sahajalah. Ada juga pemandu teksi yang pendiam, kita tanya sepatah dijawabnya sepatah, malah ada juga yang kita tanya pun kadang-kadang malas dia nak menjawabnya. Ada juga pemandu yang membawa teksinya dengan cermat, tetapi tak kurang juga yang kelihatan agak ganas dalam pemanduan hingga membuatkan kita merasa cemas berada di dalam teksinya. Ada yang mukanya manis berseri, ada juga yang garang macam hendak makan orang.
Ada pada suatu ketika aku menaiki sebuah teksi yang dipandu oleh seorang pemandu tua. Aku naik takut melihat tangannya menggigil-gigil berterusan sewaktu memandu, menyebabkan dia kelihatan kurang kawalan terhadap teksinya. Tetapi yang mencemaskan aku ialah pada suatu ketika apabila pemandu teksi yang kunaiki itu terlelap semasa memandu dan teksinya bergerak ke tepi jalan. Nasib baik dia dapat mengawal semula teksinya dan meneruskan perjalanan.


Pada hematku, banyak pemandu yang ingin mengenakan penumpang, terutama pada waktu malam. Misalnya, mereka meminta bayaran RM 10.00 bagi perjalanan dari Terminal Bas Larkin ke Jalan Mariamah, sedangkan bayaran sebenar ialah RM 8.00. Kalau meter digunakan, bayaran yang perlu dibayar hanya sekadar RM 7.00, sebagai gandaan RM 3.50 yang tercatat pada meter.

Aku pula mempunyai satu perangai yang tersendiri. Ketika banyak pemandu jual mahal dan menekankan bayaran RM 10.00, aku terus berusaha hingga bertemu pemandu yang sanggup dibayar dengan RM 8.00. Biasanya aku tidak kecewa. Mesti ada yang sanggup menghantar aku ke tempat yang aku kehendaki, sebab harga yang aku tawarkan itu memang harga biasa. Dan sepanjang perjalanan itu, aku berbual-bual dengan pemandu teksi itu, melihat dan menilai reaksinya.

Aku akan membayar tambang teksi menggunakan not RM 10.00. Sewaktu pemandu teksi itu hendak memulangkan RM 2.00 baki tambang itu, aku akan berkata, "Tak apa, simpanlah duit itu. Aku suka kamu, sebab kamu pemandu yang baik. Bawalah teksi dengan jujur dan ikhlas." Biasanya pemandu itu merasa riang dan berkali-kali mengucapkan terima kasih. Malah kalau hatiku cukup senang dengannya, aku akan tambah RM 2.00 lagi. "Ini bonus," kataku.

Apa yang ingin kunukilkan di sini ialah kisah berkenaan seorang pemandu teksi yang pernah kutemui beberapa tahun lalu semasa aku bertugas di Kementerian Pendidikan.

Pada suatu ketika aku telah ditugaskan untuk menghadiri satu mesyuarat di Mersing. Mesyuarat itu bermula jam 8.30 pagi. Aku jenis orang yang malas hendak memandu bersendirian ke tempat-tempat yang jauh perjalanannya. Jadi aku pun mengambil keputusan untuk menaiki teksi terus dari Seremban ke Mersing sehari sebelum mesyuarat. Pada ketika itu, perkhidmatan bas ekspres terhad menghubung bandar-bandar utama sahaja dan tidak sekerap sekarang. Jangan harap ada bas ekspress dari Seremban ke Mersing.

Sewaktu di Perhentian Teksi Seremban, aku diberitahu perkhidmatan teksi terus ke Mersing tiadk ada. Aku dicadangkan mencubanya di Melaka. Maka naiklah aku teksi ke Melaka. Di Melaka aku dikhabarkan bahawa teksi ke Mersing banyak di Muar, lalu aku pun menaiki teksi ke Muar. Aku sampai di Muar jam 5.00 petang, dan dimaklumkan bahawa semua teksi ke Mersing sudah meninggalkan Muar jam 4.00 petang bagi mengelakkan bergerak pada waktu malam. Maklumlah jalan dari Kluang ke Mersing sunyi melalui celah-celah hutan tebal.

Setelah aku menceritakan hajatku ke Mersing, seorang pemandu teksi mencadangkan supaya aku mengambil teksi ke Kluang, dan bermalam di Kluang. Esok paginya baharu aku bertolak ke Mersing dari Kluang.

"Encik tak perlu risau," kata pemandu teksi itu, seolah-olah dapat membaca apa yang sedang berligar dalam kotak fikirku, "Malam ini Encik tidur di White Swan Hotel, depan taxi stand. Pagi esok encik cari Pak Mat di taxi stand. Dia bertolak ke Mersing jam 6.00 pagi. Ada ke tak ada penumpang, dia jalan terus." Untuk kemudahanku, dia memberitahu sekali nombor teksi Pak Mat.

Yakin dengan penjelasan itu, aku setuju mengikutnya ke Kluang, dan seperti yang dicadangkan, aku bermalam di White Swan Hotel. Dan esoknya, jam 5.30 pagi aku sudah tercegat di perhentian teksi Kluang menanti ketibaan Pak Mat. Memang benar, kira-kira jam 5.40 sebuah teksi yang bernombor seperti yang dinyatakan padaku semalamnya muncul di perhentian teksi itu.

Selepas pemandunya memberhentikan teksinya dan keluar dari kenderaannya, aku terus menyapa, "PakMat, bila nak jalan?"

"Macam biasalah, jam 6.00. Pergilah minum dulu," jawabnya spontan. Mungkin dia mengagak bahawa aku adalah penumpangnya yang ragular. Aku pun pergi sarapan di restoran mamak tidak jauh dari perhentian teksi itu.

Tepat jam 6.00 bergeraklah teksi Pak Mat menuju ke Mersing membawa aku sendirian sebagai penumpang. Sepanjang perjalanan, kami berbual-bual mesra, seolah-olah kami sudah kenal lama. Sesungguhnya Pak Mat memang seorang yang peramah dan berbudi bahasa. Dia juga memandu dengan cukup cermat melalui jalan yang berliku-liku dari Kluang ke Mersing itu.

Apa yang menarik perhatianku ialah cerita tentang peribadi Pak Mat. Kalau dilihat dari susuk badannya, jangkaanku dia berusia tidak lebih 50 tahun. Tetapi menurutnya, dia seorang pesara polis sejak dua tahun sebelum tarikh kami bertemu. Anak-anaknya sudah berumah tangga dan bekerja, dan setiap bulan mereka akan mengirim wang kepadanya. Tetapi dia merasa tidak selesa hanya dengan duduk di rumah tanpa membuat apa-apa kerja. Falsafah hidupnya mudah dan praktikal. Katanya, "Kita menyimpan wang untuk orang lain. Sebab itu wang yang kita perolehi kita belanjakan untuk orang lain. Rezeki Allah akan sentiasa ada di mana-mana."

Katanya, sebab itu dia terus memandu teksi selagi badannya sihat dan kudratnya berupaya melakukannya. Dia akan bertolak dari Kluang ke Mersing setiap hari jam 6.00 pagi biarpun tidak ada penumpang. Selepas waktu Zohor dia akan pulang ke Kluang walaupun teksinya kosong.
Dan sepanjang perjalananku dari Kluang ke Mersing, tidak ada orang lain yang jadi penumpang teksi Pak Mat kecuali aku seorang. Tepat jam 8.00 pagi teksi Pak Mat sudah sampai di hadapan hotel tempat mesyuarat diadakan. Sewaktu aku tanyakan tambangnya, dia spontan berkata, "RM 8.00!" Aku terperanjat kerana bagiku terlalu murah tambang bagi satu perjalanan menaiki teksi bersendirian dari Kluang ke Mersing.

Aku pun hulurkan wang tunai RM 30.00 kepada Pak Mat.

"Eh, kenapa banyak sangat ni? RM 8.00 saja," katanya dalam nada terperanjat.

"Tak apa, Pak Mat. Saya ikhlas. Terimalah," ujarku sambil terus menghulurkan wang tersebut. Dia akhirnya menerimanya sambil mengucapkan terima kasih.

Rupa-rupanya RM 8.00 itu adalah tambang satu tempat duduk dalam teksi bagi perjalanan dari Kluang ke Mersing pada ketika itu. Aku amat kagum dengan Pak Mat, seorang manusia yang ikhlas dan jujur, yang tidak mementing diri sendiri dan tidak mengambil kesempatan ke atas orang lain. Bagiku, Pak Mat seorang pemandu teksi contoh yang boleh menjadi teladan kepada semua pemandu teksi di Malaysia. Kalau ada Anugerah Pemandu Teksi Misali, bagi aku Pak Matlah orangnya.

Berapa orangkah pemandu teksi kita seperti Pak Mat?

Friday, June 08, 2007

 

KONTRAK SOSIAL

Kebelakangan ini terlalu banyak persoalan ditimbulkan oleh orang-orang bukan Melayu berhubung dengan hak orang Melayu dan perkara-perkara yang menyentuh sensitiviti orang-orang Melayu berkait dengan ketunanan Melayu, agama Islam, bahasa Melayu dan hak-hak istimewa orang-orang Melayu. Walaupun beberapa kali ditegaskan kaitan perkara-perkara yang diungkitkan itu dengan kontrak sosial, namun kelihatan mereka masih tidak faham, atau sengaja tidak mahu faham.


Wikipedia memberi pengertian bahawa kontrak sosial merupakan istilah yang digunakan dalam bidang falsafah, sains politik dan sosiologi bagi menjelaskan wujudnya persetujuan bersama secara sukarela di kalangan rakyat sesebuah negara berkaitan hak dan tanggungjawab mereka sebagai rakyat. Dalam konteks Malaysia, kontrak sosial merujuk kepada perjanjian yang dibuat oleh para pengasas kemerdekaan negara dalam penggubalan Perlembagaan Persekutuan 1957.


Dalam masyarakat Melayu, pernah dikisahkan dalam Sejarah Melayu (Salalatus Salatin) hasil tulisan Tun Seri Lanang pada tahun 1612 tentang wujudnya perjanjian yang bersifat semacam kontrak sosial antara raja dan rakyat yang diwakili oleh Sang Sapurba dan Demang Lebar Daun. Dalam kontrak itu ditegaskan betapa perlunya rakyat patuh kepada raja selagi raja berlaku adil. Tetapi dalam sejarah tamadun Melayu, ada beberapa peristiwa yang menunjukkan kontrak sosial itu tergugat oleh cabaran-cabaran semasa seperti yang digambarkan dalam kisah pertikaman Hang Tuah dan Hang Jebat, kisah pembunuhan keluarga Bendahara Tun Mutahir, kisah Sultan Mahmud mangkat dijulang dan sebagainya. Dalam hubungan ini, Laksanama Megat Seri Rama yang membunuh Sultan Mahmud di Kota Tinggi dikatakan mengungkapkan kata-kata, “Raja adil raja disembah, raja zalim raja disanggah.”


Dalam sistem demokrasi moden, kontrak sosial diungkapkan melalui pilihan raya. Pilihan raya merupakan satu daripada ciri-ciri penting dalam amalan sistem demokrasi berparlimen. Di Malaysia pilihan raya diadakan setiap lima tahun bagi pemerintah menyerahkan kembali kuasa kepada rakyat. Untuk memperoleh semula kuasa, pemerintah perlu mendapat mandat baru daripada rakyat melalui proses pengundian sulit oleh mereka yang layak mengundi.

Pada umumnya kontrak sosial mempunyai kepentingannya yang tersendiri. Dalam konteks masyarakat majmuk di Malaysia, kontrak sosial penting untuk mewujudkan masyarakat yang kental, utuh dan kukuh berasaskan kesedaran terhadap pentingnya faham memahami, hormat menghormati, harga menghargai dan bertolak ansur. Manfaatnya terjelma dalam kehidupan sebauah negara yang aman damai dapat dinikmati bersama. Justeru kontrak sosial adalah semangat dalaman yang kepentingannya tidak semata-mata dihujahkan dengan bersandarkan perundangan dan perbincangan ilmiah, tetapi juga dari segi hakikat sejarah dan keikhlasan hati menjunjung hasrat murni sebuah negara.


Secara ringkas, antara lain kepentingan kontrak sosial ini dapat dirumuskan sebagai berikut:


- Untuk melanjutkan kelangsungan pentadbiran yang cekap;
- Untuk mewujudkan keadaan politik yang stabil;
- Untuk menjamin keselamatan, keamanan dan kesejahteraan rakyat;
- Untuk memupuk semangat petriotisme dan cintakan tanahair;
- Untuk mewujudkan masyarakat yang bebas dan adil;
- Untuk mencapai integrasi nasional; dan
- Untuk menjamin hak-hak istimewa orang-orang Melayu.


Kontrak sosial di Malaysia lebih merujuk kepada permuafakatan dan perkongsian hidup bersama secara aman harmoni antara penduduk dalam masyarakat majmuk di negara ini. Seperti dalam mana-mana kontrak atau perjanjian, walaupun ada sebahagiannya yang tidak disuratkan dan boleh dipinda mengikut keadaan, namun segala perubahan itu mestilah merupakan persetujuan bersama atau keizinan bersama. Kontrak atau perjanjian tidak boleh diubah secara satu pihak sahaja. Semua yang terlibat dalam perjanjian itu mesti setuju kepada perubahan dan pindaan. Apatah lagi kontrak sosial itu telah diinstitusikan dengan menyuratkannya ke dalam Perlembagaan Persekutuan.


Di samping itu, asal usul dan rintitan sejarah kontrak sosial ini mesti didedahkan, diperturunkan, dipelajari dan dihayati oleh setiap lapisan masyarakat, terutama generasi muda daripada kalangan anak-anak Melayu, Cina dan India. Mereka mesti memahami dan menghargai apa yang tersirat dan yang tersurat dalam kontrak sosial itu. Hal ini amat penting kerana kontrak sosial dapat diertikan sebagai resipi kehidupan masyarakat Malaysia yang bersatu padu, aman makmur dan harmoni. Penyebaran luas maklumat mengenai kontrak sosial perlu dijalankan secara sungguh-sungguh, terutama melalui sistem pendidikan di pelbagai peringkat – rendah, mengenah, kolej dan universiti.


Sebagai kesimpulan, kontrak sosial adalah satu formula mewujudkan satu cara hidup yang dinamik, aman dan terus membangun melalui perpaduan dalam kepelbagaian berasaskan prinsip berkongsi, bekerjsama, toleransi dan bersatu padu. Formula ini sebahagian besarnya tersurat dalam Perlembagaan Persekutuan, yang diamalkan secara bijaksana dalam satu pakatan agung negara dengan inspirasi untuk membawa Malaysia muncul dalam peta dunia sebagai sebuah negara maju.

Tugas rakyat Malaysia ialah menghayati semangat kontak sosial ini dengan menolak keganasan, perkauman, ketaksuban dan ekstrimisme; dan pada masa yang sama terus memperkukuhkan ikatan masyarakat majmuk ini dalam satu ikatan yang erat dan padu serta mengadunkannya dalam acuan tersendiri yang unik dan menyenangkan. Dalam kata-kata yang ringkas, kontrak sosial menjunjung semangat keadilan dan perpaduan berasaskan kepada prinsip “duduk sama rendah, berdiri sama tinggi”. Dan inilah semangat kontrak sosial yang perlu kita pertahankan bersama dalam sebuah masyarakat majmuk di Malaysia.


 

PERKAHWINAN DAN PEMBINAAN GENERASI

Media TV, radio dan akhbar kelmarin memaparkan berita utama tentang pengumuman Pak Lah pada 6 Jun untuk menamatkan zaman dudanya pada hari Sabtu ini dengan seorang janda yang menjadi berasnya berusia 54 tahun bernama Jeanne Abdullah. Pengumuman yang disampaikan dengan penuh keriangan itu disambut dengan kegembiran oleh orang ramai. Sepatah kata Pak Lah sendiri, Perdana Menteri yang gembira boleh menghasilkan kegembiraan berganda kepada rakyat hasil kerja kuatnya.

Aku ingin rakamkan ucapan tahniah kepada Pah Lah, semoga keputusan yang dibuat ini bukan sahaja akan mengceriakan dan memeriahkan lagi kehidupan harian Pak Lah, tetapi juga turut memberi manfaat kepada keseluruhan kehidupan rakyat dan negara. Aku doakan Pak Lah diberi Allah kesihatan yang sempurna, kekuatan mental yang terserlah, ketahanan emosi yang kukuh serta keteguhan rohani yang tidak guyah.

Perkahwinan adalah satu ikatan yang sah dan diiktiraf oleh agama dan masyarakat bagi membolehkan pasangan lelaki dan perempuan menjalani kehidupan bersama-sama sebagai suami isteri, menghasilkan zuriat dan hidup berkeluarga yang aman dan bahagia. Justeru ikatan murni ini perlu dipelihara baik-baik jangan sampai terurai atau terputus oleh sengketa atau perselisihan atau peranan licik yang dimainkan oleh peranan orang lain. Sesungguhnya kehidupan rumahtangga dan keluarga yang bahagia akan menghasilkan masyarakat yang aman sejahtera sekaligus mewujudkan negara yang maju, stabil dan harmonis.

Aku menamatkan zaman bujangku pada 30 Ogos 1975 dalam usia yang bagi ibuku dianggap agak lewat. Bukan sengaja hendak berkahwin lewat berbanding dengan teman-teman lain. Bukan juga kerana tidak ada calon yang boleh dijadikan teman hidup. Tetapi kelewatan itu lebih didorong oleh keinginan untuk membahagiakan hati seorang yang bergelar ibu.

Semasa aku bujang, memang sering ibuku bertanya bilakah aku akan menghadiahkannya dengan seorang isteri. Katanya, dia sudah tua dan ingin melihat anak lelaki tunggalnya itu di atas pelamin.

"Mak carikanlah. Saya ikut saja," jawabku apabila dia mendesak.

"Kau bukan tak tahu. Mak ni kan duduk di dapur saja. Mak tau apa!" jawabnya mengelak.

"Tapi mak banyak pengalaman."

"Kau sajalah cari. Kau kan banyak berjalan. Kau dah pergi banyak tempat. Kau dah banyak jumpa orang. Tak kan tak ada perempuan yang kau minat."

Dia tidak pernah menyarankan atau menyogokkan kepadaku mana-mana perempuan yang dia sukai. Walaupun aku desak, dia tetap mengatakan bahawa dia tiada pilihan. Dia serahkan aku sendiri mencarinya. Tetapi dalam diam-diam, aku tahu ramai saudara mara yang datang menemuinya, mencadangkan itu dan ini, si anu dan di pulan, untuk dipadankan denganku. Malah setengahnya menyerahkan kepada ibu gambar perempuan itu. Tetapi ibuku tetap membisu. Gambar-gambar yang diterima terus disimpannya tanpa ditunjukkan kepadaku. Namun aku tetap dapat menghidu dan menatapnya.

Sebagai anak muda pada ketika itu, aku tidak terkecuali daripada berhadapan dengan naluri mencari pasangan ini. Malah semasa di Maktab Perguruan pada tahun 1965 - 1966 pun sudah ada pilihan hati tetapi tidak menjadi selepas masing-masing bertugas berjauhan dan membawa diri sendiri. Dan selepas itu bermulalah siri perkenalanku dengan beberapa orang gadis yang menjadi pilihanku.

Namun hatiku sendiri telah bertekad bahawa setiap gadis pilihanku mestilah mendapat persetujuan dan restu ibuku. Ini amat penting bagiku. Namun setiap kali aku bawa berjumpa ibuku, maka pasti ada sahaja komen ibuku yang aku anggap menggambarkan bahawa ada cacat celanya pilihanku itu pada pandangan matanya. Bagi, dia kurang menyenangi pilihanku itu.

Aku sendiri amat sensitif terhadap kata-kata ibuku itu. Malah pada suatu ketika sewaktu aku perkenalkan seorang gadis pilihanku, dia berkata, "Kau nak ke perempuan tu?". Aku tawar hati mendengar kata-katanya itu lantas membuat kesimpulan bahawa dia memang tidak berkenan dengan pilihanku itu.

Lantas selepas hal itu berlaku, aku terus menjalin hubungan dengan gadis-gadis pilihanku itu sebagai teman biasa sahaja. Tidak lebih dari itu. Bahkan ada setengahnya turut menjadi teman baiknya sehingga dia beranak pinak dan hidup bahagia dengan keluarganya. Aku turut bahagia. Dan aku juga terus turut bahagia apabila aku berkahwin dengan seorang gadis berusia 24 tahun pada tahun 1975 lalu kini menjadi ibu kepada tujuh orang anak. Terima kasih isteriku! Terima kasih anak-anakku! Kaulah penghibur hatiku.

Inilah ceritaku berkaitan dengan perkahwinan. Bagiku, apabila seseorang itu memilih untuk berkahwin, yang menjadi pilihannya bukan sahaja pasangannya itu, tetapi juga adik beradiknya, ibu bapanya, kaum keluarganya, saudara maranya dan seluruh masyarakatnya. Itulah juga pastinya yang difikirkan oleh Pak Lah apabila dia memilih Jeanne, dengan mengambil kita sekurang-kurangnya pendapat dan pandangan anak-anaknya, adik beradiknya dan saudara maranya. Tentunya kerjayanya sebagai seorang ahli politik dan pemimpin utama negara juga turut menjadi pertimbangan PakLah.

Walau apa pun, kita jangan lupa panduan yang diberikan oleh agama kita dalam hal memilih suami atau isteri. Pertama agamanya, kedua keturunannya, ketiga harta bendanya, dan (keempat paras rupanya). Perkara ini penting diberi perhatian serius kerana daripada perkahwinan, kita akan menghasilkan zuriat sebagai kesinambungan kehidupan generasi. Dalam hubungan ini, aku amat berminat dengan sebuah pantun tradisi yang amat simbolik berkaitan dengan pembentukan generasi ini. Pantun ini sering benar menjadi rujukan oleh Profesor Diraja Ungku Aziz dalam pembicaraannya terhadap betapa bijaksananya orang Melayu zaman dahulu mengungkapkan pemikiran mereka secara berkias, terutama melalui pantun. Pantun tersebut berbunyi:

Di mana kuang nak bertelur;
Di atas lata di celah batu;
Di mana abang nak tidur;
Di atas dada di celah susu.

Renung-renungkanlah dan faham-fahamkanlah makna pantun ini yang amat mendalam dan tinggi nilainya. Nilai sebuah perkahwinan dan pembinaan generasi yang berkualiti bermula dari perancangan yang rapi berasaskan nilai-nilai murni dan tuntutan agama. Begitulah contoh yang ditunjukkan oleh burung kuang, sejenis burung luar biasa hidup di hutan rimba yang sukar dicari. Apabila burung ini hendak bertelur, maka dicarinya tempat yang paling sesuai - tempat yang aman, tenang dan selamat sebagai di atas batu rata air terjun.

Mengapa tidak kita jadikan iktibar?

Wednesday, June 06, 2007

 

BENARKAH ADA HANTU?

Kini cerita tentang hantu sedang rancak menerjak kehidupan penduduk Malaysia. Tidak berapa lama dahulu, sekurang-kurangnya tiga buah muzium di negara ini mengadakan pameran hantu sehingga menimbulkan polimek yang tidak berkesudahan. Kini cerita-cerita hantu pula sedang ranacak diterbitkan dan ditayangkan di panggung-panggung seperti Jangan Pandang Belakang, Pocong, Zombi Kampung Pisang dan Waris Jari Hantu.

Benarkah hantu wujud? Mengikut agama Islam, kehadiran makhluk yang digolongkan sebagai makhluk halus ini memang wujud, terutama golongan syaitan yang dilaknat Allah itu. Dalam masyarakat Melayu, golongan ini dihidupkan dalam pelabagai cerita dan diberi pelbagai nama seperti hantu, polong, lansuyir, pontianak, toyol, jerangkung, dan sebagainya. Hantu pula muncul dalam pelbagai jenis seperti hantu bungkus, hantu galah, hantu kopek, hantu raya dan sebagainya. Aku teringat semasa aku bersekolah rendah dahulu, sebuah cerita dalam buku teks aku ialah tentang bagaimana seorang yang bejalan malam melihat bayang-bayang pokok itu sebagai hantu.

Mengimbau kembali kenangan lama, kotak mindaku segera teringat kisah-kisah yang berkaitan yang pernah aku ketahui. Dan ini merupakan satu kisah benar, berlaku kira-kira 45 - 50 tahun yang lalu, di sebuah kampung terpencil di Muar. Semasa aku di peringkat sekolah rendah, ada satu kisah menarik yang berlaku di kampungku mengenai seorang perempuan yang dikatakan berkahwin dengan orang bunian. Ada satu keluarga yang kukira agak rapat dengan keluargaku yang diketuai oleh pasangan Sharif dan Maimunah. (Maimaunah ini menganggap diriku sebagai anak angkatnya, dan setiap kali datang ke rumah mesti dia memberiku wang sesin dua. Asal cerita, seperti yang pernah dimaklumkan oleh ibuku, Maimunah inilah yang mengurut perut ibuku sewaktu dia beria-ia inginkan anak setelah lebih sepuluh tahun tidak beranak, dan hasilnya setelah kakakku berusia 14 tahun lahirlah aku. Itulah sumbangan penting Maimunah dalam keluargaku. Moga-moga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya. Amin!)

Pasangan Sharif dan Maimunah mempunyai dua orang anak perempuan bernama Fatimah dan Zaharah. Fatimah berkahwin dengan Sattar dan mempunyai empat orang anak - tiga perempuan dan seorang lelaki. Zaharah pula berkahwin dengan Imam dan berhijrah ke Singapura kerana Imam orang Singapura, tetapi Sattar terus tinggal beranak pinak dengan keluarga mertuanya di kampung.

Apa yang menarik ialah cerita tentang Zaharah. Selepas berkahwin, setiap kali Imam mendekati isterinya dan hendak bersatu dengannya, si suami ini terpelanting seolah-olah ada orang yang menendangnya dengan kuat. Hal ini menimbulkan kehairanan, lalu diikhtiaarkan untuk mengenal puncanya. Akhirnya terbongkarlah rahsia apabila Zaharah bahawa sebelum berkahwin dengan Imam, dia sudah berkahwin dengan orang bunian yang ditemuinya di perigi bekalang rumahnya sewaktu dia pergi mandi. Kata Zaharah, pada setiap tengah hari Jumaat dia memakai cantik-cantik dan wangi-wangi menemui "suaminya" di tepi perigi itu.

Maka setelah itu diperbuatlah perjanjian antara Imam, Zaharah dan orang buniah ini. Menurut ceritanya, orang bunian menceraikan Zaharah dengan satu syarat, iaitu apabila Zaharah mengandung, dia berkehendakkan anak itu. Maka diceritakan yang Zaharah ini pernah dua kali mengandung, tetapi setelah cukup bulan, tiba-tiba sahaja kandungannya itu hilang begitu sahaja dari dalam perutnya. Dan hingga ke akhir hayat, pasangan Imam dan Zaharah tidak mempunyai anak, lantas mereka mengambil dua orang anak angkat yang diberi nama Ahad dan Rafeah. (Apabila keluarga ini menziarahi keluarga di kampung, Ahad dan Rafeah menjadi teman aku bermain, konon-kononnya aku pun ada hati kepada Rafeah kerana kecantikannya dan peramahnya sebagai seorang gadis kecil kota Singapura.)

Yang anihnya, ada pada suatu ketika, Zaharah tidur mati selama 24 jam. Apabila dia terjaga, dia telah memberitahu bahawa dia baharu sahaja menghadiri majlis berkhatan dan berkhatam anak lelakinya yagn cukup meriah.

Inilah kisah berkaitan dengan makhluk halus yang aku ketahui. Pelik tetapi benar.

Monday, June 04, 2007

 

MENGHARGAI ANAK













Kini anakku yang bungsu tinggal di Seremban menemani ibunya. Dia meninggalkan sekolah berasrama penuh di Sekolah Seri Puteri (SSP), Cyberjaya selepas lebih tiga tahun berada di sana, dan meneruskan pelajaran di sekolah harian biasa di Seremban. Aku terpaksa akur dengan keputusannya untuk meninggalkan sekolah itu, walaupun isteriku merasa agak kecewa dibuatnya. Bayangkan, dia meninggalkan sebuah sekolah pilihan yang menjanjikan kejayaan masa depannya. Tetapi bagiku, segala-galanya berpunca dari hati. Kalau hati tidak suka, kau longgokkanlah gunung emas depan mata, pintu hatinya tidak akan terbuka.

Semasa ditawarkan ke sekolah berasrama penuh tersebut selepas menghasilkan keputusan cemerlang dalam UPSR, kegembiraannya tidak terkata. Aku cuba melunturkan semangatnya dengan mengatakan bahawa dia akan kehilangan banyak perkara apabila berada di sekolah "bernasi kawah" ini, namun dia menyanggah, "Adik nak berdikari." Kehendaknya semacam tidak dapat ditahan-tahan lagi.

Namun selepas sebulan berada di sekolah tersebut, entah mengapa tiba-tiba sahaja dia menyatakan hasratnya ingin berpindah ke sekolah lain. Kali ini aku pula yang berkeras, dan menjanjikannya supaya dia tangguhkan dahulu hasratnya.

"Tunggu sampai PMR. Lihat bagaimana keadaannya nanti. Kau mungkin belum biasa dengan keadaan di asrama. Kalau dah selesa, tentu kau suka, macam Kak Long, Kak Ngah dan abang-abang kau tu. Kau dulu kata, nak berdikari. Kenapa tak teruskan?" aku pulangkan paku buah keras kepadanya. Alhamdulilah, aku dapat mententeramnya untuk terus kekal di Sekolah Seri Puteri selama tiga tahun.

Namun setelah keputusan PMR diumumkan dan dia layak ke Tingkatan Empat aliran Sains, dia sudah mula menagih janjiku dahulu. Aku buat-buat tidak dengar sebab aku mengharapkan dia akan terus kekal di situ hingga tamat SPM. Aku cuma berjaya menghalang selama satu semester. Dia sudah mogok tidak mahu kembali semula ke sekolah apabila semester berikutnya bermula walaupun puas dipujuk, malah "diugut". Alasannya dia ingin belajar dalam aliran Sastera kerana di SSP tidak menawarkannya.

Tidak tahan dengan karenahnya, aku segera menulis surat ke sekolah memohon kebenaran supaya dia dikeluarkan dari Sekolah Berasrama Penuh (SBP), dikuti dengan menelefon Ketua Sektor SBP di Kementerian Pelajaran, Abdul Ghafar Mahmud untuk memohon pelepasan anakku itu. Tugas itu tidak terlalu sukar, kerana kebetulan Abdul Ghafaar memang telah lama kukenali. Akhirnya kelulusan rasmi diperolehi dan kini anakku itu belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Puteri, Seremban dalam Tingkatan Empat aliran Sastera.

Dan kerana itu, dia terpaksa berulang ke sekolah dari rumah yang jauhnya kira-kira empat kilometer. Ibunyalah yang menjadi pemandu menghantarnya ke sekolah dan menjemputnya pulang ke rumah. Dialah kini jadi teman bergurau dan "bergaduh" ibunya, di samping dua orang cucuku (berusia empat tahun dan dua tahun) yang setiap hari dititipkan kepada neneknya untuk menguruskan sewaktu ibu bapanya bekerja - seorang di Putrajaya dan selorang lagi di Kuala Lumpur. Hari-hari seterusnya menjadi hari-hari yang amat sibuk bagi seorang isteri tinggal bersama-sama anak bungsunya, sedangkan anak yang enam orang lagi tidak tinggal bersama kerana membawa haluan masing-masing bekerja atau belajar.

Mengenangkan pengalaman ini, aku teringat kisah seorang teman baikku beberapa tahun yang lampau. Pada suatu hari aku terbaca namanya tersiar di akhbar kerana dia mendapat kurniaan Justice of Peace (JP) di negerinya. Pada ketika itu dia sudah bersara wajib dari Perkhidmatan Awam dengan jawatan terakhirnya sebagai Pengetua Sekolah Menengah.

Oleh kerana kesibukan tugas, aku terlupa untuk menyampaikan penghargaanku kepadanya pada masa itu. Kira-kira sebulan selepas itu baharu aku teringat, lantas aku menghubunginya melalui telefon untuk mengucapkan tahniah.

"Apa khabar, bang? Tahniah kerana dikurniai JP bulan lepas," ujarku tanpa memperkenalkan diri. Aku membahasakan dirinya sebagai "abang" kerana dia jauh lebih tua daripada aku. Beza umur antara kami berdua lebih kurang sepuluh tahun.

"Eh, tak adalah. Salah orang ni," dia cuba mengelak.

"Tak ada dua nama seunik nama abang di Melaka. Jangan nak tipu saya, bang!"

"Ni siapa ni?" baru dia hendak bertanya siapakah yang menelefonnya.

"Ni Mail. Ismail Adnan dari Seremban."

"Ahai, kau rupanya. Terima kasih ajalah. Sebenarnya Mail, sejak namaku tersiar, aku banyak betul terima ucap tahniah. Tapi lepas tu, mereka minta derma pula. Yang telefon lain, yang datang ke rumah lain. Dia ingat aku ni banyak duit. Nak bayar yuran persatuan JP sebanyak RM 500.00 pun belum dapat lagi, lepas tu baru boleh pakai cop."

"Jadi, abang ingat saya nak minta dermalah, ya?"

"Ah, sekadar nak mengelak," katanya dalam ketawa.

Selepas itu kami pun berbual perkara-perkara lain. Memang telah lama kami tidak saling berhubugan. Jadinya banyaklah perkara yang kami bualkan. Dahulu semasa sama-sama belajar di Universiti Malaya pada tahun 1969 - 1971, kami memang akrab, terutama kerana kami mengambil subjek pengajian yang kebanyakannya sama. Kami pula membentuk satu kumpulan belajar (study group) dan sama-sama belajar, berbincang dan mengulang kaji pelajaran.

Aku tanyakan tentang keadaannya sekarang, termasuk tugasnya, kesihatannya dan keluarganya. Dia memberitahu aku banyak perkara - yang rahsia dan yang tidak rahsia. Antaranya dia memakluamkan bahawa isterinya masih bertugas sebagai guru dan menunggu masa untuk bersara beberapa bulan lagi. Anaknya yang tua sudah beberapa tahun bertugas sebagai juruterbang MAS, yang seorang lagi menjadi pegawai tentera, sementara anak perempuan tunggalnya mewarisi kerjaya dia dan isterinya sebagai pendidik.

"Anak abang yang nombor tiga tu kerja mana sekarang?"

"Oh, dia tu ukur jalan." jawabnya spontan.

"Baguslah tu, bang. Ada juga yang jadi jutera, ya!" aku membalas percakapannya itu, dengan anggapan bahawa yang dimaksudkan "ukur jalan" itu adalah bekerja sebagai jurutera awam.

"Jurutera apa nama? Tak kan kau tak tahu ukur jalan?" sambutnya dengan nada seolah-olah merasa kecewa.

"Saya tak faham, bang."

"Tak ada kerja, Mail. Duduk rumah aja. Penat duduk rumah, pergi keluar ukur jalan. Lapar dia balik. Itulah kerjanya." dia menjelas apa yang dimaksudkan itu.

"Dia tak kerjalah. Jadi dia seorang la duduk rumah dengan abang?"

"Yalah, siapa lagi? Yang lain semua dah kerja. Ada di KL. Yang perempuan ikut suami di Ipoh. Seorang lagi di PJ."

"Belum ada rezeki tu, bang!"

"Nak kata, tak ada rezeki, tak juga. Sengaja tolak tuah. Dah dua tahun dah, Mail."

"Abang jangan risau, bang. Mungkin juga ada rahmatnya tu, bang. Kalau semua kerja, siapa nak jaga abang? Nak jaga kakak. Sebab dia tak kerja, dia duduk rumah sama abang. Sakit pening abang kakak dia boleh tengok. Ada apa-apa keperluan abang, boleh abang suruh dia. Dia ada depan mata," aku juga memujuk hatinya yang semacam merajuk itu.

"Ya tak ya juga, Mail. Yang bekerja tu tunggu raya baru nak balik. Itu pun asal tunjuk muka. Hari ini sampai, esok dah nak balik. Katanya dah masuk kerja. Allah Maha Adil, Mail," dia berkata sayu tetapi memahami. Aku turut merasa sayu mendengar pengakuan jujurnya itu.

Perkara yang sama kini aku pula menghadapinya. Lebih-lebih lagi, isterikulah kini yang berhadapan dengan perkara ini. Aku jauh di Johor Bahru. Anak-anakku yang berenam tidak ada di rumah. Ada tak ada, anak yang bungsu itulah.
Aku mula memahami kebesaran Allah. Aku mula memahami erti kekuatan dan kelemahan, kecukupan dan kekurangan, kekayaan dan kemiskinan, kejayaan dan kegagalan. Aku mahu isteriku juga memahami. Malah anak-anakku juga sewajarnya memahami. Allah mengatur kehidupan manusia dengan cukup terancang, sempurna dan penuh keadilan. Sekadar sejauh mana kita menyedari dan memahaminya.

Bagi ayah dan ibu, setiap anak itu mendapat perhatian dan kasih sayang yang sama. Tidak ada seorang ibu atau seorang bapa yang mahu membeza-bezakan kasih sayang terhadap anak-anaknya. Bagi mereka, setiap anak ada keistimewaan masing-masing yang tersendiri. Dan layanan yang dianggap berbeza itu tidak lain sekadar persepsi anak-anak disebabkan oleh jarak waktu, tempat, situasi dan tuntutan persekitaran.

Menghargai anak sememangnya agenda tanggungjawab setiap ibu dan ayah.

 

CABARAN MELAYU

Aku sebenarnya bukan anti perpaduan apabila aku bercerita tentang bangsaku, bangsa Melayu. Sesungguhnya, Melayu itu asal usulku, jati diriku. Allah menjelaskan dalam Al-Quran bahawa manusia dijadikan berkaum-kaum supaya mereka berkenalan dan berbaik-baik antara satu sama lain.

Justeru bukan suatu kesalahan atau kesilapan sekiranya seseorang itu mempertahankan bangsanya sendiri selagi perbuatannya itu tidak mengugat hubungan baik dengan orang lain. Apatah lagi mempertahankan bangsa Melayu berkait rapat dengan mempertahankan agama Islam yang menjadi pegangan keyakinanku. Seperti yang diungkapkan oleh Tenas Effendy melalui kata-kata adat, bahawa jati diri Melayu amat berkait rapat dengan kualiti keimanan dan ketaqwaan kepada Allah:

Tahu asal mula kejadian
tahu berpegang pada Yang Satu
hamba tahu akan Tuhannya
makhluk tahu akan Khaliknya.

Yang agama berkokohan
yang iman berteguhan
yang sujud berkekalan
yang amal berkepanjangan
sesama manusia ia berguna
sesama makhluk ianya elok.

Di dunia ia bertuah
di akhirat beroleh berkah.


Orang Melayu kini semakin banyak menghadapi cabaran, bukan sahaja dari luar, tetapi juga dari dalam. Cabaran itu ada yang berbentuk politik dan ekonomi, tetapi tidak kurang juga cabaran yang bersifat budaya dan sosial, terutama budaya Melayu berteraskan Islam.

Antara cabaran yang ketara ialah perubahan nilai budaya yang berkaitan dengan Islam. Sekiranya perubahan itu menjurus kepada kebaikan dan tidak menyimpang dari asas keislaman, maka sudah tentu tidak timbul masalah. Tetapi dalam banyak hal, ternyata perubahan itu menjurus kepada pengikisan nilai-nilai luhur budaya Melayu Islam sehingga menimbulkan krisis moral dan pelunturan akhlak yang berpanjangan. Contohnya program-program realiti TV yang mengutamakan hiburan dan keuntungan kewangan telah menenggelamkan nilai-nilai kekeluargaan dan tradisi keilmuan serta menanggalkan jati diri yang menjadi pakaian diri seseorang yang bergelar Melayu.

Justeru dalam menghadapi masa depan yang bermakna bagi orang-orang Melayu, yang lama jangan lekas-lekas dibuang, yang baru jangan mentah-mentah ditolak. Budaya adalah manifestasi zaman, maka kerana itu kita tidak dapat melarikan diri dari semasa ke semasa daripada menerima dan menolak pelbagai unsur luar dan dalam, bergantung kepada situasi politik, sosial, ekonomi dan faktor-faktor lain yang mempengaruhinya.

Sebagai bangsa Melayu, cabaran kita ialah untuk kekal teguh dengan jati diri Melayu, kuat bersatu dengan ikatan muafakat dan bersedia menghadapi cabaran untuk menggabungkan ciri-ciri terbaik dari yang dahulu dan dari yang sekarang bagi menjamin masa akan datang bangsa yang terang benderang dengan kejayaan dan kegemilangan. Marilah kita bersama-sama terus membina dan memerkasa bangsa Melayu. Segala-galanya bergantung kepada ketahanan kita bersama, seperti kata pantun:

Rimbun mekar bunga cempaka;
Tak kan layu di siang hari;
Namun bergegar dilanda gempa;
Tak kan Melayu hilang di bumi.

This page is powered by Blogger. Isn't yours?

Subscribe to Posts [Atom]