Wednesday, May 30, 2007

 

MENGENANG KAWAN-KAWAN BERDRAMA

Pagi ini aku menerima SMS daripada Mahaya Yasin, Ketua Satu PEN (Persatuan Penulis Negeri Sembilan) memaklumkan Abdul Rahman Sidek yang menggunakan nama samaran Wagiman S kembali ke rahmatulllah kerana sakit jantung. Abdul Rahman ialah salah seorang Ahli Jawatankuasa PEN dan pernah menerima anugerah Tokoh Seni Negeri Sembilan tidak berapa lama dahulu. Moga-moga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya.

Abdul Rahman kukenali semasa aku bertugas di Jabatan Pelajaran Negeri Sembilan. Ketika itu dia bertugas sebagai kerani di sebuah sekolah di Johol. Kami akrab kerana mempunyai minat dan aktif dalam aktiviti yang sama iaitu berdrama. Pada ketika itu di sekolahnya - Sekolah Kebangsaan Nuri - Abdul Rahman berjaya mendidik murid-murid berdrama sehingga kumpulan sekolahnya berjaya menjadi johan dalam Pertandingan Drama Sekolah Rendah Negeri Sembilan pada awal tahun 1970-an.

Pada masa itu aku adalah Pengerusi, Kumpulan Drama PERKESAPP (Persatuan Kebudayaan dan Sukan Anggota Perkhidmatan Pelajaran Negeri Sembilan). Bersamaku yang bergerak cergas dalam aktiviti kumpulan ini ialah seorang guru siswazah yang amat kreatif dan sangat kuat bekerja, bernama Abdul Manaf Ibrahim, mengajar di Sekolah Menengah Tunku Durah, Seremban. Bersamanya aku pernah menerbitkan sebuah antologi drama kanak-kanak berjodol Pengemis Kudung terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka. Bersama Abdul Manaf juga aku telah diberi tugas mengelolakan persembahan drama keselamatan di seluruh daerah di Negeri Sembilan anjuran Majlis Keselamatan Negeri Sembilan. Berkaitan dengan ini, satu kenangan pahit ialah sewaktu kami mengadakan persembahan di Rembau sehari sebelum Hari Raya Aidil-Adha pada tahun 1977, pada malam i tulah rumah sewaku di Gedung Lalang, Ampangan telah digeledah pencuri yang sempat mencuri barang-barang kemas isteriku dan sejumlah wang tunai.

Kumpulan Drama PERKESAPP tidak besar dan tidak mempunyai ahli yang ramai. Kami dianggotai oleh beberapa orang yang memang benar-benar berminat dan berbakat. Selain Abdul Manaf Ibrahim dan Abdul Rahman Sidek, kawan-kawan lain termasuk Dahlan Tunggal, Hamzah Yasin, Suria Kadis, Zulkifli Maulud dan Sulaiman Habib. Kenangan manis kami ialah apabila PERKESAPP menjadi johan negeri dalam Pertandingan Drama anjuran Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan pada tahun 1976, dan Suria Kadis diangkat sebagai Pelakon Wanita Terbaik peringkat kebangsaan. Dia membawa watak perempuan tua dalam drama Perempuan Di Persimpangan, sebuah drama muzikal. Tahun berikutnya sekali lagi bertanding tetapi sekadar menjadi naib johan peringkat negeri. Pada tahun 1978 sekali lagi berjaya sebagai johan negeri melalui drama Jantung arahan Dahlan Tunggal dengan Abdul Rahman Sidek sebagai watak utama. Lima orang berlakon dalam drama tersebut, kesemuanya lelaki. Drama Jantung ini kemudiannya terpilih sebagai sebuah daripada empat buah drama terbaik di peringkat kebangsaan dan diberi penghargaan untuk mengadakan pertunjukan dalam program teater keliling anjuran Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan. Tiga kumpulan yang lain ialah dari Kedah, Perak dan Wilayah Persekutuan yang mengenengahkan beberapa aktivis drama seperti Hashim Yassin (Allahyarham), Megat Saifulbahri dan Sidek Hussein.

Aku juga bergiat dalam PEN sebagai Penolong Setiausaha (1975 - 1979) membantu Abdul Manaf sebagai Setiausaha. Ketua Satu pada ketika itu ialah Jaaman Abu. Kami mengadakan kursus drama dan dari situ muncullah beberapa orang yang berbakat dalam bidang ini seperti Zainuddin Bujang, Siti Hawa Jadid, Hayati Sharif, Norwati Mahat, Sharif Taha, Noreha Baba dan lain-lain. Kami sempat mementaskan tiga drama serentak dalam satu persembahan Malam Tiga Drama yang dirasmikan oleh Dato' Taha Talib, Pemangku Menteri Besar Negeri Sembilan pada tahun 1976. Satu daripada drama itu ialah hasil karyaku berjodol Jahanam, dan sebuah lagi berjodol Teraniaya Zaman, hasil karya peserta-peserta kursus. Drama sebabak Malam Jahanam karya Mustapha Kamal Yasin juga turut dipersembahkan.

Sebenarnya pada awal tahun-tahun 1970-an itu aku memang aktif dalam aktiviti kemasyarkatan, terutama yang melibatkan penulisan, seni visual, pementasan dan kerja-kerja kebajikan. Apatah lagi pada waktu itu aku masih bujang sebelum aku mendirikan rumah tangga pada 30 Ogos 1975. Jadi, pergerakanku agak bebas sedikit.

Minatku dan penglibatanku dalam bidang drama ini mungkin hasil daripada didikan guruku yang bernama Mustapha Kamal Yasin (MKY atau Kala Dewata) di Maktab Perguruan Bahasa (MPB) dan kemudian di Universiti Malaya(UM). Di MPB dia pensyarah subjek Kebudayaan dan pada masa yang sama menjadi Penasihat Kumpulan Seni Drama (KUSED), sementara di UM dia adalah pensyarah subjek Penulisan Kreatif (Tahun Dua) dan Drama (Tahun Tiga). Semasa di MPB aku berpeluang mengarahkan drama karyaku sendiri Bulan Oh Bulan, sementara di UM aku mengarahkan drama skripku sendiri berjodol Jahaman, sebagai memenuhi tugasan kerja kursus subjek Drama itu pada tahun 1971. Aku masih dapat bayangkan kemeriahan dan sambutan hangat penonton yang penuh sesak di Dewan Kuliah Fakulti Pendidikan UM ketika Jahanam dipentaskan pada tahun 1971, yang turut disaksikan oleh beberapa bintang filem yang dijemput khas oleh MKY. Aku ingat kehadiran Jamil Sulong kerana dia memberikan komen positif terhadap drama itu selepas pementasan. Drama Jahanam kemudian kupertaruhkan di dalam pertandinganMalaysian Drama Festival (Kategori Drama Bahasa Melayu) anjuran Majlis Drama Malaysia, dan menobatkan Noraini Mohamad sebagai Pelakon Pembantu Terbaik.

Antara teman-teman yang sama-sama mengikuti subjek Drama yang masih kuingat termasuk Rahani Jamil (kini Datuk), Kalthom Mohamad, Tan Ah Wang (setelah tamat pengajian di UM, memeluk agama Islam, menukar namanya kepada Atan Awang bin Abdullah dan berkahwin dengan Kalthom Mohamad), Mizan Adillah Ahmad Ibrahim (kini Profesor Datin), Shamsiah Sahar, Md. Ismail Zamzam (Zam Ismail), Sudin Kamari (kini Dato'), Md. Zain Idros, Zakaria Ahmad, Ahmad Janor, Noraini Mohamad dan Baharudin Adam Beh.

Di Negeri Sembilan aku juga dipilih menjadi Setiausaha Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Negeri Sembilan (1973 - 1979). Persatuan ini pernah mengadakan aktiviti berdrama di sekolah-sekolah, termasuk mengadakan Pertandingan Menulis Skrip Drama Sejarah dan Pertandingan Pementasan Drama Sejarah peringkat sekolah rendah dan sekolah menengah. Kenangan manis dalam aktiviti ini ialah kejayaan Persatuan buat pertama kali mementaskan persembahan pelbagai muzik tradisional Negeri Sembilan dalam satu persembahan cerita yang bersepadu, yang disaksikan bersama oleh pemimpin-pemimpin utama negeri, khususnya DYMM Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan dan DYMM Tuku Ampuan Negeri Sembilan. Kepujian dan penghargaan tinggi sewajarnya diberikan kepada Pengarah Pelajaran Negeri Sembilan ketika itu, Idris Haji Tain (sekarang Dato') yang mencetuskan idea memerkasakan semula muzik tradisional seperti caklimpung, dikir rebana, tumbuk kalang, randai, bongai dan tarian piring.

Beberapa orang yang terlibat aktif dalam Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Negeri Sembilan ketika itu termasuk Abas Ahmad (Allahyarham), Haji Asli, Mohd. Said Radzi, Mohd. Nor Long, William Jaleh, Tan Ghee Peng, Shariff Fakeh Hasan (Allahyarham), H. S. Tan, Abdul Malek Yatim, Abdul Rahman Yeop (kini Dato'), Musa Wahab (kini Dato' Undang Luak Jelebu), Ahmad Janor, Zainal Abidin Yusof, Sulaiman Samad (kini Dato'), Abu Samah Katas, Mokhtar Zakaria, Noraini Ali, Abdul Malek Ahmad, Mahzan Hamzah (kini Dato'), Ahmad Affendi Johan (kini Dato'), Syed Jaafar Abdul Rahman, Vicky Mutthu, Nordin Awal (kini Dato'), Jalil Bulat, Shamsudin Hamidan, Basir Othman (Allahyarham), Amirullah Ismail, Ahmad Saleh (Alahyarham) dan Adam Amin. Turut terlibat dalam aktiviti berdrama ini ialah Abdul Hamid Abdul Kadir, Pengetua, Maktab Perguruan Raja Melewar, terutama melalui keizinan yang diberikan bagi membolehkan pelajar-pelajar maktabnya mengambil bahagian. Itu yang seronoknya.

Persatuan ini pernah terlibat dalam Pentomen Sejarah yang dipentaskan oleh Kerajaan Negeri Sembilan pada tahun 1974 di kawasan terbuka di Taman Tasik Seremban sempena Sambutan 200 Tahun Sistem Beraja di negeri berAdat Perpatih ini. (Mengikut sejarah, pada tahun 1774, pembesar-pembesar Negeri Sembilan yang terdiri daripada penghulu-penghulu luak sepakat menjemput Raja Melewar dari Minangkabau untuk diangkat menjadi Yamtuan Negeri Sembilan.) Pendokong utama pementasan ini ialah Majlis Belia Negeri Sembilan yang dipimpin oleh Abdul Rahman Ali. Beberapa orang teman dalam aktivti kali ini yang masih kuingat termasuk Abdul Rahman Ali, Hasan Malik (sekarang Dato' dan seorang Wakil Rakyat - kini jiranku di Bukit Chedang), Nor Hayati Ghazali, Mokhtar Ahmad (sekarang Dato'), Ibrahim Che Mat (sekarang Dato'), Siti Norjani Ahmad, Halimah Sharif (Allahyarhamah), Jamil Mukmin (sekarang Dato'), Ayob Mohamadiah (Allahyaraham), Siow Min Shin dan lain-lain lagi. Dalam aktiviti ini aku menjadi Pengurus Pentas, melibatkan kira-kira 300 orang pelakon, termasuk pasukan tentera dari Port Dickson. Oleh kerana pentas itu terapung di atas tasik, ada masa-masa tertentu aku trpaksa terjun ke dalam air bagi menguruskan pentas itu.

Tidak berapa lama selepas itu aku menyertai rombongan Kerajaan Negeri Sembilan mengadakan persembahan kebudayaan di Sarawak. Kumpulan kami dipimpin oleh Abdul Rashid Abdullah, Penolong Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan ketika itu. (Kini Abdul Rashid bergelar Datuk dan bertugas sebagai Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang). Seminggu kami berada di Bumi Kenyalang, dan sempat mengadakan tiga kali persembahan mengandungi pelbagai muzik tradisional Negeri Sembilan yang dirangkaikan dalam satu persembahan yang bersepadu - sekali untuk majlis jamuan makan malam untuk orang-orang kenamaan dan dua kali di padang terbuka di Kuching untuk orang ramai. Sambutannya sungguh hebat dan mengagumkan.

Selepas itu, sempena pengisytiharan Seremban sebagai sebuah Majlis Perbandaran pada tahun 1977, sekali lagi pementasan terbuka dibuat di Taman Tasik Seremban. Kali ini drama hasil karyaku berjodol Seremban Oh Seremban telah aku arahkan bersama-sama Mokhtar Haji Meon, seorang jurulatih drama di Pejabat Kebudayaan, Belia dan Sukan Negeri Sembilan. Aku tak ingat siapakah yang berlakon ketika itu, tetapi yang pasti Amirullah Ismail mencipta sebuah lagu khas, dan bahagian tarian dijayakan oleh pelajar-pelajar Sekolah Menengah Tunku Durah di bawah pimpinan Sofiah Ismail.

Sebuah lagi dramaku berjodol Alam Beraja Luak Berpenghulu turut dipersembahkan pada tahun 1976 di Dewan Bandaran Seremban. Kebanyakan pelakon drama ini ialah pelajar-pelajar Tingkatan Enam, Sekolah Menengah Tunku Durah, Seremban di bawah bimbingan Abdul Manaf. Seorang daripada mereka yang kukira berbakat ialah Awasilahati Katajariah Baharom, adik kepada Rasanubari Asmaramah (sekarang Datin) dan Barupawati Utamaju. (Bapa mereka Baharom adalah seorang penulis vateran dan ahli PEN yang setia.) Awasilahati kemudian turut mengambil bahagian dalam persembahan tablo Adat Perpatih berjodol Cicir Dipungut, Hilang Dicari di kediaman Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato' Mansor Othman sempena Mesyuarat Agung Tahunan PEN. Tablo tentang adat menjemput ini disesuaikan daripada tulisan seorang tokoh adat di Kuala Pilah bernama Hasan Ahmad.

Apabila aku bertugas di Jabatan Pelajaran Johor (1979 - 1982) aku sekali lagi turut terlibat dalam aktiviti berdrama ini, terutama apabila jabatan ini ditugaskan oleh Kerajaan Negeri Johor di bawah Menteri Besarnya, YAB Dato' Othman Saat, mengadakan persembahan tablo setiap sambutan Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos dan Perhimpunan Perkhidmatan Awam pada 1 Januari. Selain menjadi Panel Penulis Skrip, aku juga turut berlakon dan penyelaras teknikal. Perhimpunan ini diadakan di Stadium Terbuka Tan Sri Haji Hassan Yunos di Larkin.

Pada ketika itu beberapa orang yang aktif, berbakat, kuat bekerja dan melibatkan kerja dalam bidang ini termasuk Nasron Masjidin (Allahyarham), Ahmad Sameon (Allahyarham), Musa Abdul Hamid, Ayob Haji Nor, Daluis Sadini dan Ahmad Hashim (bapa pengarah filem Yasmin Ahmad). Kerana penglibatanku inilah aku menerima anugerah darjah kebesaran Johor PIS (Pingat Ismail Sultan) Kelas Kedua pada tahun 1981. Aku juga sempat menyelaras penerbitan dan berlakon drama sejarah untuk TV Pendidikan berjodol Sejarah Johor Lama arahan Mahmud Yaacob. Turut berlakon pada ketika itu ialah Ahmad Semeon sebagai Laksamana Bentan, dan aku pula menjadi Sultan Melaka yang menjadi tawanan Acheh. Beberapa pelakon dari Taman Seni Johor turut mengambil bahagian, termasuk Abdul Jalil Hamid, Ismail Atan dan Shukor Mohd. Nor.

Inilah sebahagian catatan tentang aktivitiku dalam bidang drama di samping teman-teman yang sama-sama bergelumang siang dan malam memeriahkan aktiviti berkaitan drama. Sebenarnya banyak lagi kawan yang sama-sama terlibat dalam aktivitiku ini, namun faktor umur memungkinkan aku tidak upaya mengemaskinikan maklumat dalam memori. Hasilnya memori menjadi kabur untuk mengingat kembali nama kawan-kawan yang lain itu. Fail-fail maklumat dalam komputer mindaku mungkin sudah kacau bilau oleh kurangnya usaha untuk menyusun kembali dan mengemakinikan secara sistematik.

Apapun, terima kasih kepada guru-guru dan kawan-kawan yang turut mendidik, mendewasakan dan mematangkan aku dengan pengalaman, pengetahuan dan kemahiran dalam bidang drama.

Tuesday, May 29, 2007

 

SEBAB PULUT SANTAN BINASA

Kejadian ini berlaku kira-kira jam 11.00 malam, bertempat di Terminal Bas Larkin, Johor Bahru. Sewaktu aku turun daripada bas ekspres yang kunaiki dari Seremban larut malam tadi, pandanganku terpikat kepada sekumpulan orang dalam gelap tidak jauh dariku. Oleh kerana kumpulan itu berada memang dalam perjalananku mendapatkan teksi untuk membawaku pulang ke rumah, aku tidak dapat mengelak daripada menghampiri mereka. Rupa-rupanya ada dua orang pemandu teksi sedang bertengkar. Aku tidak pasti apa yang mereka tengkarkan itu, tetapi mendengar kata-kata yang mereka lontarkan antara satu sama lain, aku pasti yang menjadi punca perbalahan itu ialah soal penumpang. Aku tidak menghiraukan mereka lantas masuk ke dalam sebuah teksi yang sedang menanti gilirannya lalu membawaku ke Jalan Mariamah.

Peristiwa di terminal bas itu mengingatkan aku satu kisah yang menarik berlaku kira-kira 50 tahun yang lalu di kampung. Pada masa itu usiaku masih belasan tahun. Ada seorang ibu duduk berjiran dengan anak lelakinya yang sudah berumah tangga dan mempunyai seorang anak. Menantu perempuannya itu masih ada hubungan persaudaraan denganku.

Pada suatu malam, si ibu mendengar cucunya di sebelah rumah menangis. Dorongan hati seorang nenak, dia turun dari rumahnya berjalan dalam gelap ke rumah anaknya, ingin mengetahui apakah yang terjadi ke atas cucunya itu.

Sampai di rumah itu, dia mendiamkan diri seketika di luar rumah. Cucunya masih tetap menangis. Puas dipujuk tidak juga berhenti menangis. Tiba-tiba dia mendengar menantunya menjerit dengan kuat dari atas rumah, "Hai, apa nak jadi kau ni, hah? Diam tak? Aku campak kau ke bawah, baru kau tau. Biar babi betina kat bawah rumah tu makan kau. Baru kau tau!"

Si ibu yang di bawah terperanjat besar. Hatinya berdebar-debar. Darahnya naik ke kepala. Badannya rasa menggigil. Marahnya sudah tidak dapat ditahan-tahan lagi. "Menantu aku kata aku babi? Tak sedar diri punya menantu!" fikirnya dalam hati.

Marahnya meluap-luap. Tanpa berfikir panjang si ibu tua ini menjerit dari bawah, "Hei, berani kau kata aku babi? Kau ingat aku ni apa? Perempuan tak guna?"

Menantunya terperanjat. Pintu rumah dibuka. Dalam samar-samar cahaya lampu minyak tanah, dia melihat ibu mertuanya tercegak depan tangga. Lalu tuduhan mertuanya dinafikan, tetapi si menantu tidak kuasa menghalang kemarahan mertuanya. Maka terjadilah pertengkaran besar. Pergaduhan berlarutan sehingga suami menantunya pulang, dan cuba menenangkan keadaan. Namun kedua-dua ibu mertua dan menantu perempuan masih tetap dengan pendirian masing-masing, tidak ada yang mahu mengalah.

Sejauh mana seriusnya pergaduhan itu tidak sampai ke pengetahuan aku. Namun pada esok paginya berangkatlah keluarga muda ini membawa diri meninggalkan ibu tua sendirian. Aku tidak pasti ke mana mereka "minggat", tetapi berita yang diterima beberapa tahun kemudian, pasangan ini sudah menjadi peneroka Felda.

Begitulah satu kisah yang diakibatkan oleh mulut. Orang tua-tua kita selalu mengingatkan kita tentang betapa perlunya kita menjaga mulut sebaik-baiknya. Beberapa peribahasa Melayu jelas menunjukkan hal ini, seperti:

Sebab pulut santan binasa
Sebab mulut badan binasa

Cakap siang pandang-pandang
Cakap malam dengar-dengar

Terlajak perahu boleh berundur
Terlajak kata nyawa padahnya

Sebuah pantun lama yang popular merupakan contoh yang baik menggambarkan tentang betapa pentingnya mulut dipelihara sebaik-baiknya demi keselamatan diri sendiri dan diri orang lain:

Siakap senohong gelama ikan duri
Bercakap bohong lama-lama mencuri

Malah pantun ini juga, antara lain dijadikan alasan untuk orang mengatakan mengapa seorang Naib Cencelor sebuah institusi pengajian tinggi awam tidak dilanjutkan kontraknya tidak berapa lama dahulu. Pantun ini diubahsuai oleh pemimpin universiti berkenaan menjadi sebagai berikut dan diungkapkan dalam satu majlis rasmi:

Siakap senohong gelama ikan duri
Cakap bohong lama-lama jadi menteri

Jadi, ingatlah bahawa mulutlah satu-satunya pancarindera manusia yang Allah jadikan sebagai tunggal, tidak seperti mata, telinga, tangan dan hidung. Walaupun tunggal, berbeda dengan pancaraindera yang lain yang hanya satu fungsi, mulut menjalankan pelbagai fungsi - bercakap, bernafas, makan minum, malah menguap jika mengantuk. Bahkan lidah yang ditujukan untuk bercakap pun disembunyikan. Maknya KURANGKAN BERCAKAP kecuali hal-hal yang baik-baik dan berfaedah sahaja. Apatah lagi jikalau mengumpat!

Monday, May 28, 2007

 

SI TANGGANG MODEN

Kebelakangan ini manusia kelihatan semakin kejam, zalim, tidak berperikemanusiaan dan tidak bertimbang rasa. Kematian bukan sekadar di medan perang, tetapi di jalanan melalui kemalangan jalan raya yang semacam sukar dikawal.Nyawa manusia seolah-olah sudah tidak penting lagi. Pembunuhan berlaku di sana sini - dari pembuangan bayi yang baru dilahirkan tanpa ikatan perkahwinan hinggalah kepada orang dewasa yang dicabut nyawanya sekadar sengketa kecil bersalut amarah, dengki dan dendam. Wahai manusia, apalah nasib kamu!

Kini terdapat ibu dan bapa yang bukan sahaja dikasari oleh anak-anak, malah dicederakan dan dibunuh tanpa rasa bersalah, simpati dan belas kasihan. Namun hal ini masih juga ada maafnya, kerana biasanya, seperti yang lazim diberitakan dalam media, anak yang zalim itu adalah kurang siuman kerana di bawah pengaruh dadah atau akibat kemurungan.

Sebenarnya kisah ibu bapa yang menderita oleh perlakuan anak-anak tidak lagi menjadi kisah yang luar biasa pada masa ini. Ibu bapa yang lari atau dipungut ke rumah-rumah perlindungan atau dihantar ke situ oleh anak-anak sendiri bukan kisah yang menghairankan. Tetapi entah mengapa, kisah terbaharu ini amat menyentuh perasaanku.

Seorang ibu berusia 71 tahun dihantar ke pusat penjagaan orang tua oleh dua orang anaknya, seorang daripada pensyarah sebuah institusi pengajian tinggi. Yang menyedihkan pusat tersebut diurus oleh bukan Islam, dan ibu itu satu-satu penghuni beragama Islam di situ. Hal ini menyebabkan ibu tua yang sudah mengerjakan haji itu tidak berpeluang melakukan ibadatnya sebagai seorang yang beragama Islam seperti bersembahyang dan sebagainya.

Perbuatan tidak bertanggungjawab dua orang anak ini dikesan oleh adik kepada perempuan tua ini apabila dia gagal menemui kakaknya. Justeru dia menyiasat hingga menemui kakaknya berada di pusat penjagaan tersebut.

"Aku lebih rela mati daripada berada di sini," ujar perempuan tua itu. Aku tidak pasti apakah yang berlaku kepada perempuan tua itu kini, tetapi khabarnya usaha sedang dijalankan untuk mengeluarkannya dari pusat penjagaan tersebut, terutama melalui campur tangan Jabatan Agama Islam. Moga-moga berjaya. Khabarnya juga ada orang-orang yang simpati yang ingin menjaga perempuan itu.

Inilah kisah si Tanggang anak durhaka pada zaman moden. Memang si Tanggang kisah lama tentang seorang anak lelaki yang tidak mengaku ibunya setelah dia berkahwin dengan seorang anak orang kaya dan hidup senang lenang. Dalam kisah ini, si Tanggang disumpah menjadi batu, dan kesan sumpahan itu dikatakan terdapat di satu dua tempat di Malaysia. Namun si Tanggang moden kini tidak menjadi batu, tetapi terus diuji Allah dengan kehidupan yang senang lenang, rezeki yang melimpah ruah dan penghormatan yang menjulang tinggi, hingga menjadikan tahap penderhakaan itu terus meningkat dan meningkat. Bagi mereka, apalah erti ibu dan bapa yang tidak dapat memberi sumbangan apa-apa kepada kehidupan anak-anak kecuali membawa kesusahan dengan karenahnya sebagai warga emas yang dianggap cerewet, tidak produktif dan berpenyakit.

Moga-moga tidak ada si Tanggang di kalangan anak bangsaku dan anak-anakku. Ya, Allah! lindungi mereka dengan rahmat dan taufek hidayat-Mu. Amin.

Friday, May 25, 2007

 

BUDAYA AL-QURAN

Al-Quran memberikan asas tentang ilman nafia atau ilmu yang bermanfaat dan yanfaunnas atau sesuatu yang memberi manfaat kepada manusia. Sejarah perkembangan ilmu dalam tamadun Islam jelas membuktikan bahawa Al-Quran merupakan rujukan utama dalam memanfaatkan faedah membangun umat. Tetapi sejauh manakah umat Islam memanfatkan kitab suci ini dalam kehidupannya sehari-hari? Berapa orang Islam yang menjadikan Al-Quran seperti akhbar harian, yang tidak pernah lupa dibaca saban hari? Jawapannya, tepuk dada, tanya diri sendiri. Kebanyakan kita menyimpan kitab suci Al-Quran sebagai perhiasan, berdiri sepi di dalam alamari.

Hari ini hari Jumaat. Seperti kebiasaan pada setiap hari Jumaat, kami menjalankan Program Membudayakan Al-Quran selama sejam mulai pukul 8.00 pagi. Dalam program itu, setiap warga kerja beragama Islam akan berkumpul membaca Al-Quran beramai-ramai secara beriringan yang dipimpin oleh seorang warga yang dikenal pasti, diikuti dengan terjemahan ayat-ayat yang dibaca itu. Malangnya kehadiran warga kerja tidak seberapa. Setengahnya pula datang ke majlis agak lewat dan mencari tempat duduk jauh di sudut-sudut ruang berkumpul. Alangkah malangnya! Ke manakah perginya yang tidak hadir itu? Adakah masih tidur di rumah? Atau duduk-duduk bersembang di warong sambil bersarapan? Ingat, kerajaan sudah mengumumkan kenaikan gaji, jangkaan orang ramai terhadapmu terlalu tinggi, kerja wajar ditingkatkan prestasi. Ingatan Wahid Senario dalam program Melodi terbitan TV3 pataut dijadikan ingatan: Tingkatkan prestasi, kurangkan kontrovasi.

Program Membudayakan Al-Quran adalah program Kerajaan Negeri Johor di bawah pimpinan YAB Dato’ Haji Abdul Ghani Othman, dimulakan sejak beliau bertugas sebagai Menteri Besar Johor. Program ini merupakan program rasmi, terutama bagi jabatan kerajaan. Tahniah Dato’! Adakah negeri-negeri lain di Malaysia yang berbuat sedemikian? Kalau ada, betapa indahnya.

Pengarah Yayasan Warisan Johor pernah mengingatkan “anak buahnya” tentang pentingnya program ini dalam suatu perhimpunan jabatan. Katanya, “Betapa untungnya kita menjalankan program ini. Kerajaan menjadikannya sebagai tugas rasmi kita. Kita sepatutnya bersyukur dengan mengikuti sepenuhnya program ini. Sekurang-kurangnya seminggu sekali kita membaca Al-Quran berserta terjemahannya. Besar faedahnya bagi kita orang Islam. Jadi, janganlah cari alasan untuk tidak hadir dalam majlis ini. Bukannya lama, cuma sejam.”

Setiap kali aku membuka Tafsir Quran Karim oleh Profesor H. Mahmud Junus – membaca ayat-ayat suci dan terjemahannya – aku selalu diingatkan oleh sebuah sajak yang aku pernah karang yang tertulis di halaman pertama buku itu:

Sentiasa Kau menyapa aku
Biar aku dalam durhaka
Atau sekali sekala aku alpa
Kau membelaiku dengan mesra
Hingga aku lena dalam dosa
Dan Kau tetap terus datang
Menggamit aku ke jalan pulang.

Betapa bisa aku lari
Kenyataan telah terselah
Kau Maha Pemurah
Kau Maha Mengasihani.

Thursday, May 24, 2007

 

HARI GURU

Guru Hari tahun ini sudah berlalu 16 Mei yang lepas. Kerana pada hari itu aku sibuk mengikuti Kursus Pengukuhan Integriti Sektor Sosiobudaya anjuran Institut Integriti Malaysia, aku tidak berpeluang mengikuti siaran langsung sambutan tersebut seperti yang lazim aku lakukan sebelum ini selepas aku bersara. Namun begitu, aku sempat menghantar SMS kepada beberapa orang yang kukenali dan kebetulan nombor telefon bimbitnya ada dalam simpananku.

Pada ketika itu, ada satu nama guru yang amat kuat dalam ingatanku. Aku ingin sangat menghubungi dan bertanyakan khabar, namun kebetulan nombor telefonnya tiada dalam simpanannku. Memang dahulu ada nombor telefonnya, tetapi setelah beberpa kali menghubungi nombor yang dimaklumkan telah ditamatkan perkhidmatannya, aku langsung mengeluarkan nombor itu dalam senarai simpananku. Apakah khabar berita guru itu, aku kurang pasti. Kali terakhir aku bertemu dengannya sewaktu dia bertandang ke rumahku kerana menghadiri majlis perkahwinan anak perempuanku lebih lima tahun yang lalu. Ketika itu dia sudah kelihatan kurang sihat. Kebetulan menantu aku yang berkahwin itu adalah anak saudaranya.

Aku menghormatinya kerana dialah guru pertama yang "mengajar" aku banyak perkara tentang kehidupan, terutama sebagai seorang anggota perkhidmatan awam yang tulen. Memang dia bukan seraca rasmi guru aku di kelas, tetapi tunjuk ajarnya sepanjang aku bekerja di bawahnya di Jabatan Pendidikan Negeri di Negeri Sembilandan di Johor serta di Kementerian Pendidikan, mendorong aku menganggapnya sebagai guru aku. Dalam hal ini, memang dia seoerang guru yang baik dan berkesan. Dan kerana "didikannya" itu, aku kini antara lain dapat menguasai kemahiran menulis teks ucapan. Itu amat aku banggakan; hingga aku dapat menghasilkan sebuah buku berjodol Pengucapan Awam (Tenkik Penulisan Teks Ucapan).

Program kursus agak padat, termasuk membuat lawatan ke Penjara Kajang. Di sana juga banyak perkara yang dapat aku pelajri, biar pun tempoh masa lawatan itu terlalu singkat. Bagi aku, penjara adalah juga sekolah di mana banduan sepatutnya belajar. Apabila mereka keluar penjara, mereka seharusnya sudah banyak belajar untuk kembali dalam masyarakat menjadi sebagai warga yang berguna.

Kepadatan program itu tidak membolehkan aku membuat yang lain sepanjang kursus sehinggalah kursus itu berakhir. Oleh kerana tugas rasmi yang tersedia diatur, selepas kursus aku terus bergegas ke Segamat kerana pengurusan kursus kepimpinan yang aku kendalikan. Jadi, pada hujung minggu lepas aku berada di Pusat Latihan dan Rekreasi Felcra Tebing Tinggi bersama-sama 64 orang pemimpin pelajar Tingkatan Empat sekolah-sekolah menengah Segamat dan Muar.

Dalam terus bergelumang dengan tugas rasmi yang tidak pernah surut itu pada minggu ini, aku menerima SMS dari isteriku. Aku juga menerima SMS yang sama dari anakku Lin. SMS itu berbunyi: "Dpd Hazly: Dato' Idris sedar tak sedar je. Dia tanya mak dtg dng anak Mail ke? I ckp tak. Bilik dia no 41 Tingkat 5, Hospital Ampang Puteri."

Itulah berita terkini yang aku terima tentang "guruku" yang bernama Dato' Haji Idris Tain. Dialah guruku yang mengajar aku banyak perkara bukan sahaja sebagai anggota awam yang baik, tetapi juga dalam menjalani penghidupan yang bererti. Aku tidak pernah melupainya. Aku tetap menyanjung jasa budinya kepadaku.

Aku mendoakan semoga Allah memerliharanya dengan taaufek hidayat-Nya disembuhkan dia dari penyakit yang dihidapi. Insya-Allah, jika tidak ada aral melintang, aku akan menziaharainya di hospital hujung minggu ini.

Selamat Hari Guru. Nampaknya agak terlambat ucapan ini. Tetapi tak apalah. Kata pepatah Inggeris, "Better late than never".

Tuesday, May 22, 2007

 

HARI INI DALAM SEJARAH

Berita utama dalam media hari ini ialah tentang kenaikan gaji kakitangan awam. Kelmarin dalam ucapannya di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Pak Lah mengumumkan kenaikan gaji kakitangan awam dari 7.5% - 35% serta PDRM dan ATM dari 9% - 42% mulai bulan Julai hadapan. Pengumuman itu disambut dengan sorakan gembira 5,000 orang kakitangan awam yang menghadiri Perhimpunan Hari Pekerja Sektor Awam itu.

Malah Presiden Cuepacs, Omar Osman, turut gembira walaupun permintaan kesatuannya tidak ditunaikan sepenuhnya oleh kerajaan. Katanya, Cuepacs amat berpuas hati dengan kenaikan itu, sambil menggesa kakitangan awam membuat perubahan drastik dalam kerjaya masing-masing dengan menghasilkan kualiti kerja kelas pertama.

Aku sendiri pasti turut gembira dengan pengumuman ini. Aku akan dapat kenaikan gaji tidak berapa lama lagi. Malah aku juga akan dapat kenaikan bayaran pencen aku. Aku bersyukur. Aku terbayang sewaktu aku mula-mula bekerja dengan kerajaan pada tahun 1967 dengan gaji permulaan sebanyak RM 310.00 sebulan. Kini? Alhamudulillah ... setelah lebih 33 tahun dalam Perkhidmatan Awam, aku masih terus menyumbang bakti kepada negara walaupun sekadar secara kontrak tahun demi tahun. Dalam diam tak diam, sudah lebih tujuh tahun aku terus berkhidmat dengan kerajaan.

Selain kakitangan awam, siapakah yang bergembira dengan pengumuman ini. Seperti biasa, aku yakin para peniaga sudah pasti tumpang gembira. Mereka ada peluang untuk menaikkan harga barang yang mereka jual. Entah-entah hari ini pun, tanpa kita sedari, sudah ada harga barang keperluan kita yang naik harganya.

Hari ini aku ke Hospital Besar Sultanah Aminah, Johor Bahru untuk pemeriksaan kesihatan oleh doktor pakar. Inilah rutin aku setiap tiga bulan sejak tujuh tahun yang lalu. Tetapi hari ini amat berlainan daripada kebiasaan yang lepas-lepas. Hari ini aku anggap sebagai "Hari Ini Dalam Sejarah" bagiku. Hari inilah buat pertama kalinya sejak tujuh tahun yang lepas, pemeriksaan kesihatan berjalan dengan lancar dan segala urusan selesai sebelum jam 10.00 pagi. Bukankah itu dalam sejarah namanya, kalau sebelum ini aku terpaksa menunggu sehingga jam 12.00 tengah hari baru dapat meninggalkan hospital.

Segala-galanya berjalan dengan cepat dan teratur. Bermula dari pendaftaran, pengambilan darah dan air kencing, pemeriksaan tekanan darah dan kandungan gula dalam badan hinggalah kepada pemeriksaan oleh doktor pakar dan pengambilan ubat, semuanya memuaskan hati. Pada suatu ketika aku merasa agak geli hati juga apabila doktor pakar wanita berbangsa Cina memarahi seorang jururawat di hadapanku kerana teman sekejanya masih belum muncul. "Ai, dah pukul berapa ni? Dah puku sembilan tau? Dia tak datang lagi. Tak kan sarapan lagi? Nak sarapan pukul tujuh tadi, bukan sekarang," kata doktor itu.

Dan sebelum dia menaeyerahkan preskripsi ubat kepadaku, doktor itu bertanya dalam senyuman, "Nak cuti tak?"

"Tak payah, doktor. Terima kasih," jawabku spontan.

Sewaktu aku sampai ke Bahagian Farmasi, aku agak terkejut. Kawasan menunggu untuk mengambil ubat yang selalunya penuh dengan pelanggan yang memerlukan perkhidmatan, pada kali ini agak lengang. Dan aku sendiri tidak perlu menunggu begitu lama seperti kebiasaan untuk mendapat bekalan ubat. Kelihatan ada . seorang memantau perjalanan enam kaunter pengambilan ubat itu. Memang cukup cekap dan berkesan, kataku dalam hati.

Sebelum pukul 10.00 pagi aku sudah tercegak di pintu masuk hospital menunggu kedatangan teman untuk mengambilku membawa pulang ke pejabat. Sementara menanti ketibaannya, aku sempat melihat orang keluar masuk bangunan, dan kenderaan berhenti dan berlalu di hadapanku. Sekali lagi aku dikejutkan dengan perlakuan yang dipamerkan oleh Pengawal Keselamatan. Dia sentiasa ceria dan membantu orang-orang yang keluar masuk yang memerlukan bantuan, terutama orang-orang tua yang terpaksa berkerusi roda. Hebat dan mengagumkan layanan yang diberikan.

Apakah sebenarnya yang berlaku menyebabkan kelainan dan perubahan mendadak ini? Pak Lah tentu suka sekiranya melihat keadaan ini berlaku di semua jabatan kerajaan. Integriti sudah meresap ke dalam hati dan jiwa anggota perkhidmatan awam. Semangat Pelan Integriti Nasional (PIN) semacam sudah dihayati. Adakah semuanya ini terdorong oleh pengumuman tentang kenaikan gaji? Aku tidak pasti. Apa pun keadaannya, yang pasti, hari ini merupakan hari yang bersejarah bagiku.

Apakah sejarah itu? Pertama, layanan cepat dan cekap di hospital. Kedua, sepanjang aku mengukur kandungan gula dalam badanku selama ini sejak tujuh tahun yang lalu, hari inilah kandungannya yang terendah. Berapa? 3.9. Ha? 3.9? Ya, 3.9. Dan jururawat yang memeriksa aku cepat-cepat memintaku mengambil gula-gula, takut menjadi hyper pula. Kebetulan memang tersedia gula-gula dalam saku seluarku.

Itulah dia, hari ini dalam sejarah!

Monday, May 21, 2007

 

HATI IBU, HATI BAPA


Beberapa ketika yang lalu, aku sering digamit gusar mengenang perihal anak-anak. Walaupun mereka sudah besar panjang, aku masih tetap risau apabila mereka keluar rumah dan tidak pulang-pulang pada masa yang mereka janjikan. Lebih-lebih lagi apabila dihubungi melalui telefon bimbit mereka, jawapan sekadar mesej bersuara. Pada ketika itu, kotak minda akan bergelut dengan pelbagai persoalan.

Itulah gelodak hati seorang lelaki yang bernama bapa. Bagaimanakah debaran dada yang ditanggung oleh seorang wanita yang bernama ibu pula? Jauh lebih dari itu.

Kira-kira 35 - 40 tahun yang lalu, apa yang aku rasai sudah terlebih dahulu dirasai oleh ibuku. Ketika bujangku di kampung, aku selesa keluar rumah selepas Maghrib - bertemu dan bersembang dengan kawan-kawan di kedai runcit berdekatan, dan apabila kedai itu ditutup, kami berpindah pula ke cakruk hingga larut malam. Pada peringkat awal, aku sering berbual-bulan dan bertukar-tukara fikiran dengan Ithnin Hassan, yang dikenali dengan panggilan Yat. Dia sekadar berpendidikan setakat Darjah Enam, tetapi mempunyai semangat perjuangan yang tinggi. Seperti kebanyakan orang kampungku, dia adalah seorang penoreh getah, tetapi kemudian dapat bekerja dengan kerajaan sebagai Tukang Kebun di Sekolah Menengah Seri Menanti dan kini sudah lama bersara. Khabarnya semasa dalam perkhidmatan, dia aktif dalam Persatuan Tukang Kebun Malaysia dan dia menjadi Pengerusi Kebangsaan.

Bersama-samanya kami menubuhkan Persatuan Belia Parit Bulat - dia Pengerusinya dan aku Setiausahanya. Dan pertemuan pada waktu malam itulah kami berbincang bagaimana kami harus merancang dan melaksanakan program untuk belia-belia kampung.

Apabila Yat semakin dewasa dan punya beberapa orang anak kecil, dia sudah sukar untuk keluar malam. Teman karibku berpindah kepada adik Yat yang bernama Minhad bin Hassan. Di kampung dia sekadar dipanggil Mat. Ke sana ke mari aku bersama-sama dengan Mat, terutama pada hari-hari minggu. Pada ketika itu dia tidak lagi bekerja, tetapi melanjutkan pelajaran peringkat menengah di sebuah sekolah swasta di bandar Maharani. Mat kemudian bekerja sebagai guru agama Kerajaan Negeri Johor, dan jawatan terakhir sebelum bersara ialah Guru Besar.

Sebagai anak muda dan bujang, aku sering memandang remeh tentang keprihatinan ibuku terhadap kegemaranku keluar malam ini. Bagiku, apalah yang perlu dirisaukan oleh seorang ibu kepada seorang anak lelaki yang menganggap dirinya pandai berdikari dan tidak berhasrat mencemar nama baik keluarga. Ibu tidak perlu risau. Ibu tak wajar gusar. Ibu tak patut cemas.

Aku sering pulang rumah tengah malam. Namun ibuku masih belum tidur lagi sewaktu aku pulang. Biasanya dia duduk di dapur sambil menghirup kopo O. Kadang-kadang dia duduk di anjung bergelap seorang diri.

"Mak belum tidur lagi?" aku sering menyapanya.

"Macam mana nak tidur, kau tak balik lagi!" jawabnya semacam hiba.

"Ala, bukan ke mana pun. Saya duduk-duduk di simpang saja. Mak tak perlu susah."

"Kau cakap senang. Nanti bila kau tua macam aku, kau rasalah sendiri."

Rupanya apa yang aku anggap enteng suatu ketika dahulu kini menjadi sesuatu yang berat kepada diriku sendiri. Kata-kata ibu rupanya menjadi doa untuk diriku. Rupa-rupanya apa yang aku rasai kini sudah lama dialami oleh ibuku.

Adakah aku juga akan berkata kepada anak-anakku,"Kau rasalah nanti apabila kau tua macam aku." Aku tidak pasti. Namun, apa yang pasti, seorang ibu dan ayah sentiasa mendoakan yang terbaik untuk anak-anaknya. Seorang ibu dan ayah juga tidak pernah menyimpan dendam terrhadap anak-anaknya. Seorang ibu dan ayah juga bersedia melakukan apa sahaja demi kebahagiaan anak. Lebih dari itu, seorang ibu dan ayah tidak pernah mengharapkan kemewahan daripada anak-anaknya kecuali kebahagiaan yang anak-anaknya kecapi. Itulah hati ibu. Itulah hati bapa.

Orang sering juga menyebut bahawa soerang ibu dan ayah sering boleh membaca isi hati setiap anaknya melalui naluri keibuan dan kebapaan yang kuat. Aku tidak pasti. Mungkin anak-anak boleh memberi jawapan.


Yang pasti bagiku kini, isteriku yang menjadi ibu kepada tujuh orang anak sudah tentu mempunyai jawapan yang terbaik. Sesungguhnya dia amat mengerti tentang diri anak-anaknya - meneliti dan memahami.

 

KASIH IBU

Pengisian blog aku kali ini dimulai dengan memetik sepotong ayat Al-Quran dalam Surah Al-Ahqaf, ayat 15 yang bermaksud, "Kami wasiatkan kepada manusia supaya berbuat baik kepada kedua ibu bapanya. Ibunya mengandung dia dengan susah payah dan melahirkannya dengan susah payah juga ..."

Memang sukar untuk menghuraikan secara terperinci tentang pengorbanan ibu terhadap anaknya. Bagiku, pengorbanan ibu tidak dapat terhurai hanya dengan kata-kata, sebab seorang ibu sanggup berkorban segala-galanya untuk anak-anaknya, waima nyawanya sendiri. Pengorbanan ibu hanya boleh dihuraikan melalui penghargaan dan pengiktirafan yang ikhlas dan jujur daripada anak-anaknya.

Kasih ibu berterusan tanpa berpenghujung. Sehebat mana pun seorang wanita yang bergelar ibu, setinggi mana pun pangkat dan jawatan yang digenggamnya, seperkasa mana pun kekuatannya melampaui halangan dan rintangan, sebanyak mana pun harta benda yang melimpahi hidupnya, hatinya tetap cair dan air matanya tetap mengalir apabila mengenangkan hal anak-anak. Sesunggunya Allah telah menganugerahinya dengan naluri keibuan terhadap anak-anak yang tidak ada galang gantinya. Justeru kasih ibu tiada bertepi, kasih ibu tidak bersempadan, kasih ibu tidak berkesudahan.

Sempena sambutan Hari Ibu pada awal minggu lepas, aku terkenang ibuku yang sudah kembali ke alam baqa pada tahun 1980. Aku memang amat merasakan betapa hebatnya kasih sayangnya terhadapku. Apatah lagi aku anak lelaki tunggal dua beradik. Aku juga anak bungsu. Lebih dari itu, aku dilahirkan setelah kakakku berusia 14 tahun. Bayangkan ...

Dia tidak berpelajaran. Dia tidak tahu membaca dan menulis kecuali membaca Al-Quran. Namun dia mempunyai pelbagai kemahiran yang istimewa dan unik. Tetapi yang lebih penting, dia amat menginginkan aku menjadi orang pandai, mengubah hidup keluarga daripada sekadar petani miskin di kawasan pedalaman.

Dia amat mementingkan pelajaran. Di rumah aku belajar mengaji Al-Quran. Pagi-pagi lagi dia sudah bangun menyediakan bekalan untuk aku bawa ke sekolah. Paling kurang nasi berlaukkan sambal tumis dan ikan kering goreng yang dibungkus dalam upeh. Dia menghantar aku ke rumah bapa saudaraku - seorang guru lepasan SITC - setiap cuti sekolah untuk mengulang kaji pelajaran daripadanya. Malah dia mengarahkan aku mengikuti kelas bahasa Inggeris kelolaan Cikgu Zaiton (seorang kerani di majlis Tempatan Parait Jawa) pada setiap hari Sabtu di Parit Pechah, lima kilometer dari rumahku. Pada masa itu sekitar awal tahun 1950-an, bahasa Inggeris tidak diajar di sekolahku, Sekolah Melayu Parit Nawi. Dia juga mengantar aku ke sekolah agama pada sebelah petang. Membaca berzanji, berkhasidah dan bernasyid, dihantarnya aku ke rumah seorang penduduk kampung yang aku kenbali bernama Ibong. Nama sebenar Ibong tidak kukektahui hingga kini.

Aku masih ingat satu peristiwa yang melucukan. Sewaktu aku Darjah Empat, dia membawaku menemaninya ke pekan Parit Jawa, kira-kira 12 kilometer dari rumahku. Dia membeli barang keperluan untuknya menyediakan ubat-ubatan tradisional, terutama untuk keperluan wanita yang bersalin, seperti bedak, parem, pilis dan sebagainya.

Selepas selesai tugasnya, dibawanya aku ke kedai buku. Kalau tak silap aku kedai buku itu bernama Mohamadiah Book Store. Dia minta aku cari apa-apa buku yang aku minati. Aku pun melihat keliling. Akhirnya aku amat tertarik dengan sebuah buku yang dipamerkan dalam almari.

"Mak, saya nak buku tu," kataku sambil menunjukkan jari telunjuk ke arah almari cermin itu.

Ibuku pun lantas menyatakan keinginanku kepada tuan punya kedai.

Tuan punya kedai menggeleng kepala.

Aku hendak juga buku itu.

"Tak boleh nak," katanya. "Anak beli buku ni. Buku ni bagus. Ada cerita," sambungnya lagi sambil menghulurkan sebuah komik.

Aku tetap bergedil. Aku tidak mahu yang lain kecuali buku yang sebuah itulah yang aku idamkan. Pada hemat aku pada ketika itu, ceritanya mesti menarik kerana jodolnya juga amat menarik. Jodol buku itu berkaitan dengan apa yang sering guru agama aku ceritakan dalam kelas, iaitu tentang syurga.

Aku tetap tidak dapat memiliki buku itu walaupun aku menangis. Kami balik tetapi aku menyimpan rasa hampa yang berpanjangan kerana gagal memiliki buku itu.

Dan apabila menjelang dewasa, barulah aku faham mengapa aku tidak diizinkan memiliki buku itu, kerana buku itu dikhaskan untuk orang dewasa. Tajuk buku itu ialah "Syurga Dunia".

Itulah antara imbauan aku terhadap seorang wanita yang bernama ibu.

Sunday, May 20, 2007

 

DI MANA PEMIMPIN MELAYU?

Maybank pada 4 Mei yang lalu telah membuat keputusan bahawa mulai 1 Julai, panel peguam bank mestilah mempunyai sekurang-kurangnya tiga rakan kongsi Bumiputera dan pemilikan kepentingan minimum 50%.

Keputusan ini dikritik pemimpin-pemimpin bukan Bumiputera termasuk menteri-menteri dari MCA yang membawa perkara ini ke kabinet, lalu memaksa kabinet membuat keputusan meminta Maybank menarik balik cadangan tersebut.

Aku merasa amat hiba. Nampaknya, sementara orang-orang Cina dan India mendesak dan mengasak supaya kepentingan mereka di bumi Malaysia dipertahan dan dipertingkatkan yang disuarakan terutama oleh pemimpin-pemimpin politik mereka, orang-orang Melayu semakin hari semakin hilang hak dan kepentingannya, kononnya atas semangat perpaduan dan integrasi kaum. Adakah kuasa politik Melayu sudah hilang taring apabila dicengkam oleh kuku-kuku tajam yang menguasai kuasa ekonomi?

Dalam semangat tolak ansur ini, nampaknya orang Melayu yang tertolak, dan orang Melayu juga yang teransur undur. Inilah hakikat yang dilihat oleh kebanyakan orang Melayu, sehingga mereka perlahan-perlahan mula memandang sepi kepada kepimpinan Melayu yang mewakili bangsanya sendiri. Mereka tidak dapat melihat perlunya mereka menyokong pemimpin-pemimpin mereka sendiri, kerana pemimpin-pemimpin mereka cuma pandai mencarut dan bercakap kurang sopan tanpa ilmu dan kemahiran di Dewan Negeri, Dewan Parlimen dan Dewan Negara. Emosinya sahaja menggelegak, namun tindakannya tidak berlandasan kebijaksanaan otak. Itulah persepsi kebanyakan orang Melayu terhadap para pemimpinnya.

Aku tidak nampak silapnya Maybank mengenakan peratauran yang dicadangkan itu. Ia merupakan satu tanggungjawab sosial untuk menggalakkan perkemebangana ekonomi orang-orang Melayu supaya seimbang dengan kaum-kaum lain sekaligus menjamin keharmonian negara. Yang aku nampak hanyalah lemahnya political will pemimpin-pemipin Melayu untuk mempertahankan hak dan kepentingan ini.

Tidak lama dahulu, kabinet juga diheret untuk campur tangan dalam soal penulisan buku teks universiti berkaitan isu perpaduan kaum apabila menteri-menteri Cina mempersoalkan kewajaran Peristiwa 13 Mei dimasukkan ke dalam buku tersebut. Dan kabinet akur, dengan menugaskan Profsor Dato' Dr. Shamsul Amri Baharudin menyusun semula kandungan buku itu. Di manakah peranan yang dimainkan oleh menteri-menteri Melayu dalam perkara ini? Aku terus hiba. Sesungguhnya fakta tetap fakta, dan sejaraha tetap sejarah.

Aku juga terperanjat apabila perlakuan mencabut dan mencium keris oleh DYMM Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong tidak lagi berlaku sewaktu pertabalan DYMM Sultan Mizan Zainal Abidin baru-baru ini. Baginda sekadar mengangkat keris separas matanya. Mengapa? Adakah ini kesan dari bantahan MCA terhadap tindakan YB Dato' Hishamuddin Hussein Onn menghunus keris dalam Perhimpunan Agung UMNO? Sungguh malang! Perlakuan yang secara simblis sebagai lambang kebesaran, kedaulatan dan kekuasaan Melayu serta jati diri Melayu dipersoalkan oleh orang-orang bukan Melayu, dan kita orang Melayu akur tunduk dengan persepsi mereka. Mengapa? Aku melihat pemimpin-pemimpin Melayu begitu longlai untuk berhujah secara bijaksana dan berhemah mempertahankan hak dan kepentingan ini.

Bagi aku, kalau kaum bukan Melayu tidak sanggup menerima hakikat ketuanan Melayu di negara ini, mereka juga tidak sewajarnya menerima sebarang anugerah pingat dan darjah kebesaran yang sampaikan oleh DYMM Yang Dipertuan Agong dan Raja-Raja Melayu. Mengapa mereka tidak bantah? Mengapa mereka tidak menolak?

Tulisan ini bukan berniat memperlekehkan para pemimpin Melayu, jauh sekali daripada menimbulkan rasa kebencian. Tulisan ini sekadar ingin mengajak kita berfikir, menerungi sejauh mana kita sudah menjalankan tugas sebagai satu bangsa. Allah berperman, "Tidak berubah sesuatu kaum kecuali kaum itu sendiri mengubahnya." Dan untuk mengubah, kita perlukan pemimpi9n yang ikhlas, komited, dedikasi dan meletakkan kepentingan bangsanya melebihi kepentingan sendiri. Tetapi siapa pemimpin itu?

Samy Villu tetap memeprjuangkan kepentingan orang-orang India walaupun dia mendakwa bahawa partinya MIC adalah sebaik-baik parti politik di Malaysia kerana mempunyai semangat kebersamaan dan perpaduan di kalangan Melayu (M), India (I) dan Cina (C). Ong Ka Teng dan Lim Khiang Yik tetap memperjuangkan kepentingan orang-orang Cina, dan ini sudah jelas dilihat dari tindak tanduk mereka. Soalnya: Siapakah yang memperjuangkan kepentingan dan hak orang-orang Melayu? Kita tidak boleh bersandar kepada Pak Lah. Selaras dengan jawatannya sebagai Perdana Menteri, Pak Lah adalah pemmimpin untuk semua rakyat di Malaysia - Melayu, Cina dan India.

Jadi, siapakah pemimpin untuk orang-orang Melayu, yang sanggup ke hadapan memperjuangkan kepentingan dan hal orang-orang Melayu. Kita amat mengarapkan pemimpin-pemimpin utama UMNO tampil ke hadapan, bukan sekadar selesa sebagai tukang pukul gendang untuk Pak Lah, atau sibuk menjaga kepentingan tempat dan kedudukan diri, atau selesa berjuang untuk "memboncitkan perut"?

Aku sayang kau, wahai pemimpinku. Tapi kau juga harus sayang bangsamu. Sepatah kata Dato' Onn lebih kurang begini bunyinya: "Jangan sampai anak cucu kita meludah benci kubur kita kerana semasa kita hidup kita mengecewakan mereka."

Thursday, May 10, 2007

 

JATI DIRI

Selalu benar kita mendengar orang menyebut tentang "jati diri". Dalam kursus-kursus yang aku kelolakan, aku sering tanyakan hal ini kepada para peserta. Aku dapati banyak yang masih kabur tentang hal ini. Malah di kalangan profesional yang aku tanyakan tentang "jati diri" ini, mereka teragak-agak untuk memberikan jawapannya. Mereka pandai menyebut, tetapi tidak pasti maksudnya. Bagaimana pula agaknya tentang ahli-ahli politik kita yang banyak kali menggunakan ungakapan ini di mana-mana sahaja, pada bila-bila masa sahaja?

Mengikut Kamaus Dewan, "jati diri" adalah sifat atau ciri yang unik dan istimewa (dari segi adat, bahasa, budaya, agama dan lain-lain) yang menjadi teras atau lambang keperibadian seseorang individu, sesuatu bangsa dan sebagainya. Dalam Kamus Besar Bahasa Indonesia dinatakan "jati diri" itu sebagai (1) ciri-ciri, gambaran atau keadaan khusus seseorang atau sesuatu benda; dan (2) inti, jiwa, semangat dan daya gerak dari dalam, spiritual. Profesor Datuk Dr. Zainal Kling pula mengatakan "jati diri" itu himpunan segala warisan dan pengalaman yang dikongsi bersama-sama oleh setiap individu dengan orang lain semenjak dilahirkan mengikut kedudukan keluarga kelahiran pada masa dan tempat yang tertentu.

Soalnya: Bagaimana?

Secara mudah, aku mengajak para peserta memahami erti perkataan teras dalam "jati diri" itu iaitu perkataan "jati". Mengikut banyak kamus, "jati" itu diertikan sebagai tulen, asli, murni, tidak lancing, tidak ada campuran, dan totok. Jadi, secara mudah, "jati diri" ialah sesuatu yang tulen, asli dan murni yang ada pada diri seseorang individu itu.

Sejak dilahirkan, seseorang itu dikenali melalui pengenalan diri sama ada dari segi jantina, tempat kelahiran, nama peribadi, nama keluarga, bahasa, sejarah, wilayah dan sebagainya. Itulah pengenalan diri yang tulen, asli dan murni baginya. Misalnya seseorang itu apabila dilahirkan jantinanya lelaki. Maka jati dirinya ialah seorang lelaki. Kalau si lelaki itu tidak mahu dikenali sebagai lelaki dan berlagak tidak sebagai lelaki, maka jati dirinya sudah tercemar atau mungkin hilang. Dia sudah jadi apa dikenali sebagai lelaki lembut.

Ibu bapanya menamakan lelaki itu Johan, dan Johan itulah jati dirinya. Atau kalau perempuan, katakanlah nama yang ibu bapanya beri Siti Khadijah, mengambil sempena nama isteri Nabi yang mempunyai sifat-sifat peribadi yang terpuji itu.Tetapi kalau dia dia menyukai, menghargai dan menghormati nama itu lantas ditukar sebagai John atau Khaty misalnya, maka dia sudah hilang jati dirinya dari segi nama. Secara mudah, jikalau seseorang itu sudah tidak menerima, mengiktiraf dan menghargai apa yang asal, tulen dan murni baginya, maka secara tidak langsung jati diri orang itu sudah terhakis.

Di peringkat yang lebih tinggi, identiti atau pengenalan diri berkembang menjadi harga diri. Haraga diri berkaitan dengan maruah. Maka jati diri menjadi sudah sebati dan mendarah daging dengan dirinya dan tidak boleh dipisahkan; sebaliknya bersepadu secara menyeluruh dalam kehidupannya.

Justeru jati diri ada kaitan dengan maruah. Jati diri juga berkaitan dengan kebersamaan. Ertinya, apa yang dimiliki oleh seseorang itu sama dengan yang dimiliki oleh orang-orang lain. Maka kebersamaan itu - misalnya semua berbangsa Melayu - membentuk jati diri kelompok. Dan jati diri kelompok itu diwarisi turun temurun dari satu generasi ke generasi lain. Maka dalam hubungan ini, jati diri dilihat sebagai warisan. Jelasnya, jati diri berkaitan dengan maruah, kebersamaan dan warisan.

Kerana itu, jati diri dalam sesuatu yang unik dan istimewa dimiliki oleh seseorang atau sesuatu kelompok manusia. Justeru keunikan dan keistimewaan itu perlu dikenal pasti, dicari, digali, dihargai dan dilestarikan. Dan kita sewajarnya mengungguli jati diri itu.

Wednesday, May 09, 2007

 

GLOBAL WARMING

Beberapa bulan yang lalu, ketika aku menaiki bas ekspres dari Johor Bahru ke Seremban, duduk di sebelahku seorang perempuan muda. Aku sapa dia dan berlakulah perbualan antara kami sepanjang perjalanan. Kebetulan dia seorang perempuan yang amat peramah. Jadi Perjalanan selama lebih tiga jam itu tidak membosankan. Sesuai benarlah dengan kerjaya yang akan dia warisi dari ibu bapanya, iaitu guru. Tahun depan dia akan menjadi seorang guru bertauliah. Kini dia sedang menjalani latihan sebagai guru pelatih di Institut Perguruan Temenggung Ibrahim, Johor Bahru.

Dalam perjalanan itu, di luar keadaan cuaca tidak menentu. Pada tempat-tempat tertentu kadang-kadang hujan lebat disertai ribut yang kencang. Di setengah-setengah tempat yang lain panas terik dan kering kontang. Di setengah-setengah tempat lain keadaan sekitar kelihatan lembab sahaja. Dan apabila bas melalui kawasan antara Air Hitam dan Yong Peng, aku melihat masih terdapat kesan banjir di kiri kanan jalan.

Kami saling bertukar cerita sepanjang perjalanan itu. Antara lain kami bercerita tentang keadaan cuaca pada masa ini. Kami merasa keliru dengan keadaan cuaca yang tidak menentu itu. Kalau dahulu kita boleh meramalkan tentang musim hujan dan musim panas. Kita juga boleh menentukan bilakah berlaku musim buah yang berturutan antara satu jenis buah dengan satu jenis yang lain. Dan masa itulah yang kita tunggu-tunggu dengan penuh ghairah. Saudara mara jauh pulang ke kampung disambut mesra dengan hidangan buah-buhan, malah tidak kurang buah tangan yang dibawa pulang. Guru-guru juga meminta pelajar-pelajar menulis karangan "Musim Buah-Buahan". Sekarang tidak ada lagi.

Dia berkata, “Memang betul. Bukan di Malaysia saja. Suami saya mengaji di Masir sekarang ni mengatakan di sana sekarang amat sejuk. Tak pernah sesejuk sekarang ni. Katanya, sejuk di bawah sifar. Pelik”

Mendengar katanya, aku teringat kata-kata anakku Am beberapa hari sebelum itu sewaktu dia menelefon aku. Seperti biasa, apabila berhubung telefon, aku tidak lupa bertanyakan khabar tentang dirinya.

“Apa khabar? Sejuk lagi?”

“Hairanlah, ayah. Selalunya waktu ni sejuknya bukan main. Kadang-kadang sampai bawah sifar 15 hingga 20. Hari ni biasa saja. Snow pun tak turun.”

Ya, aku kini merasa sungguh dingin. Penghawa dingin dalam bilik pejabatku terpaksa aku matikan. Di luar yang sebelum ini terang benderang dan panas terik tiba-tiba sahaja hujan turun dengan lebatnya. Keadaan keliling menjadi gelap. Angin bertiup kuat. Petir sabung menyabung. Dan daun-duan pokok yang saling bersentuhan kerana ditiup angin yang kuat itu mengeluarkan bunyi yang memilukan, malah kadang-kadang menakutkan. Sekali sekala terdengar seperti orang menangis, sekali sekala bagaikan suara orang mengerang.

Keadaan basah dan kering, sejuk dan panas yang tidak menentu ini difahami oleh banyak orang. Kata mereka, keadaan dunia sudah banyak berubah. Secara sainstifik, mereka menyebut tentang global warming dan greenhouse effect. Dan segala-galanya tidak lain dan tidak bukan adalah angkara manusia sendiri. Manusia rakus, tamak dan ego. Manusia menjadi makhluk pemusnah.


Sesungguhnya bola dunia ini diselubungi lapisan azon atmosfera yang sangat tipis, senipis plastik lutsinar yang membaluti makanan segera yang kita beli di warong tepi jalan. Mengikut fakta sains, lapisan atmosfera itu pada siang hari ditembusi sinar matahari. Sinar menembus atmosfera, menyinari pohon, bunga, manusia, binatang dan seluruh alam sekitar, terus memantul ke angkasa dalam bentuk energi infra merah. menembus atmosfera masuk ruang antariksa. Begitulah keadaan ini berlaku berjuta-juta tahun yang lalu. Cuma pada beberapa tahun belakangan ini, atmosfera bumi berubah kerana banyak buangan karbon dioksida (CO 2) angkara kejahilan, keangkuhan, kerakusan dan keegoan manusia yang disalurkan secara langsung atau tidak langsung melalui pelbagai cara - industri, kenderaan dan sebagainya. Mereka lupa peranannya sebagai utusan memakmurkan muka bumi ini, bukannya perosak.

Lantas lapisan atmosfera menjadi kotor dan menghasilkan pencemaran. Sinar panas menghilang ke udara, tertahan dan memanaskan bumi. Keadaan demikian samalah seperti rumah kaca yang terdapat di negara bermusim dingin yang disebut greenhouse. Sinar matahari masuk ke rumah kaca, energi pantulannya tertahan. Bahagian dalam rumah kaca jadi hangat dan membuat tanaman menjadi nyaman tidak kedinginan lalu hidup subur. Kita kini berada di greenhouse Malaysia, tetapi bukan dalam keadaan yang nyaman, malahan gerah, gabrah dan resah, kerana kita bukan tanaman yang perlu pemanasan di musim dingin.

Al Gore, politikus Amerika Syarikat yang pernah menjadi calon Presiden dan menggegarkan Malaysia dengan perlakuan angkuhnya pada suatu ketika dahulu pernah membuat persembahan video bernama An Inconvenient Truth yang menunjukkan bahwa panas bumi melonjak naik dalam beberapa puluh tahun terakhir ini. Katanya, gunung salji berkurang, glacier (sungai salji) meleleh, dan angin ribut berubah pola kerana pembahagian panas berubah dan terjadi ribut seperti Hurricane Katrina dan sebagainya. Pesan Al Gore sangat menarik. Katanya, pimpinan politik dan pemerintahan Amerka Syarikat sudah lama tahu soal global warming dan mereka tahu teori itu betul. They know the truth. Tapi untuk mengatasi masalah itu memerlukan tindakan yang terlalu tinggi risikonya, misalnya harus membatasi industri dan sebagainya. Tidak praktis membahaskan berdasarkan pendekatan begitu, kata para politikus Amerika Syarikat. Not convenient.


Di negara kita, tidak banyak dibicarakan tentang global warming ini. Bahkan aku rasa masih terlalu kurang gerakan yang mencuba menyedarkan masyarakat untuk melakukan tindakan positif ke arah menyekat kemaraan, atau sekurang-kurang kalau tidak terdaya menyekat, menyediakan perancangan secara bersapdu dan menyeluruh menghadapinya dengan penuh kesedaran, persediaan dan ketahanan. Apakah kerana kita terlalu selesa? Atau kerana tidak ada political will di kalangan pemimpin-pemimpin besar kta? Atau kerana kita jahil dengan ilmu?

Cuba tanya diri kita sendiri. Bagaimana kita mendidik rakyat mencintai kebersihan, menghindarkan pencemaran? Apakah perancangan kita andainya pesisir pantai kita, malah seluruh negara kita tenggelam kesan kepansan global ini? Apakah persiapan kita sekiranya negara kita bagaikan padang pasir yang kering kontang sedangkan panas terus bahang membakar? Apakah persediaan kita jika Malaysia dilanda empat musim? Sudahkah kita bersedia? Sudahkah kita? Pelan Integriti Nasional (PIN)? Sudah berkesankah?

Malam tadi, hal inilah antara perkara yang menjadi perbualan kami di meja makan di Del Kitchen, Taman Pelangi, Johor Bahru. YB Tuan Haji Ahmad Zahri, Dato’ Abdul Karim Hassan, Zam Ismail dan aku antara yang hadir dalam bual-bual itu. Hingga jam 10.30 malam baru kami beredar pulang meningalkan pinggan dan cawan yang sudah kosong di atas meja kami.

Monday, May 07, 2007

 

PENDIDIKAN SENI VISUAL

Pada 4 - 6 Mei yang lepas aku mengelolakan Kursus Kepimpinan Sekolah Seni Malaysia, Johor Bahru di Sekolah Menengah Kebangsaan Mohd. Khalid, Johor Bahru. Seramai 72 orang pelajar Tingkatan Satu sekolah tersebut sebagai kumpulan perintis telah mengikuti kursus ini. Aku seronok menyaksikan betapa kreatifnya mereka melalui penglibatan mereka dalam aktiviti-aktiviti yang dijalankan. Pada majlis Penutupan Rasmi, cenderamata sebuah hasil seni visual salah seorang pelajar telah dijadikan cenderamata kepada Pengarah, Yayasan Warisan Johor. Lukisan warna cat air pemandangan dalam hutan itu memang sungguh cantik.

Aku teringat tarikh 27 April 2007. Pada hari itu aku diundang menutup Bengkel Pemurnian Modul Pendidikan Seni Visual Sekolah-Sekolah Johor anjuran Galeri Seni. Dalam ucapan aku, antara lain aku menyebut, "Kesenian dalam kehidupan manusia antara lain mendidik manusia dan masyarakat menjadi beradab dan bertata susila. Kesenian juga turut berperanan dalam menyusun kehidupan secara lebih teratur, aman dan harmonis. Kesenian menjadikan manusia berbudi luhur. Sejarah telah mencatat betapa kesenian memperlihatkan prestasi unggul dalam membentuk akal budi manusia, termasuk yang ditunjukkan dalam seni visual. Dalam sistem pendidikan negara, Pendidikan Seni Visual dianggap penting dan turut melengkapi usaha pengembangan potensi pelajar secara seimbang, menyeluruh dan bersepadu. Hal ini jelas diungkapkan dalam matlamat Pendidikan Seni Visual, iaitu membentuk generasi Malaysia yang celek budaya, mempunyai nilai-nilai estetik yang tinggi, imaginatif, kritis, kreatif, inovatif dan inventif melalui peningkatan rasa kesyukuran kepada Tuhan, menghargai keindahan alam persekitaran, keindahan seni dan warisan bangsa serta menyumbang ke arah pembangunan diri, masyarakat dan negara.

Dalam hubungan ini, jelas mata pelajaran Pendidikan Seni Visual amat penting dalam usaha mengimbangi pembangunan potensi pelajar secara menyeluruh dan bersepadu selaras tuntutan pembangunan pelbagai kecerdasan yang dimilik oleh seseorang pelajar itu.
Walaupun begitu, Pendidikan Seni Visual pada umumnya masih dianggap remeh dan sumbangannya dalam pembangunan potensi pelajar yang kurang dihargai dan dianggap penting. Di setengah-setengah sekolah, mata pelajaran Pendidikan Seni Visual dianggap sebagai pencukup untuk mengimbangi bilangan waktu mengajar guru atau sebagai sebagai waktu rehat guru. Justeru ada sekolah-sekolah yang memberi satu dua kelas mata pelajaran Pendidikan Seni Visual kepada guru-guru yang tidak berkelayakan, seperti guru Pendidikan Islam atau guru Pendidikan Jasmani, kononnya memberi peluang untuk mereka mengurangkan beban mengajar. Dan pastinya guru-guru ini tidak akan mengajar Pendidikan Seni Visual kecuali akan meminta pelajar-pelajar melukis bebas. Maka bebaslah jadinya!

Dari segi infrastruktur juga, terlalu kurang sekolah yang sanggup mengeluarkan belanja yang banyak untuk membina dan melengkapi stadio Pendidikan Seni Visual seperti yang dilakukan kepada Makmal Sains atau Makmal Komputer. Bagi mereka, pelaburan ke atas Pendidikan Seni Visual itu tidak mendatangkan hasil yang memberangsangkan, atau mendapat pulangan yang menguntungkan sekolah. Malah ada sekolah yang memandang rendah mata pelajaran Pendidikan Visual ini apabila pelajar-pelajar yang dianggap cemerlang, terutama dalam aliran Sains, tidak dibenarkan mengambil mata pelajaran ini. Sebaliknya pelajar-pelajar yang dianggap kurang cemerlang disogokkan untuk mengambil mata pelajaran Pendidikan Seni Visual."

Mengimbau kenangan lama, aku teringat empat orang anakku yang belajar dalam aliran Sains telah berjaya dengan cemerlang dalam mata pelajaran Pendidikan Seni Visual SPM yang mereka ambil. Aku "bergaduh" dengan seorang Pengetua sebuah Sekolah Berasrama Penuh (SBP) kerana tidak membenarkan anakku bernama Lin bersama-sama sepuluh orang temannya dalam aliran Sains untuk mengambil mata pelajaran Pendidikan Seni Visual sebagai mata pelajaran dalam SPM mereka. Pengetua berkenaan khuatir, mereka akan kecundang dalam mata pelajaran tersebut kerana tidak diberi tumpuan di sekolah sekaligus akan mencemar nama baik sekolah. Tetapi akhirnya, Pengetua itu mengalah dan keputusannya kesemua 11 orang mendapat A1 dan A2 dalam Pendidikan Seni Visual SPM yang mereka ambil pada tahun itu.

Yang lucunya ialah kisah anak aku yang seorang ini yang bernama Dino. Dia adik kepada Lin dan bersekolah di Sekolah Menengah Agama Persekutuan (SMAP), juga sebuah SBP. Dia juga pelajar alairan Sains. Di sekolahnya tidak ada pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Seni Visual, sebaliknya digantikan dengan mata pelajaran Bahasa Arab. Dino kurang yakin dengan bahasa Arabnya, lalu mengambil keputusan menggugurkan mata pelajaran Bahasa Arab dan menggantikan dengan Pendidikan Seni Visual dalam SPM. Hal ini tidak menimbulkan masalah di sekolahnya. Pengetuanya Tuan Haji Saim adalah saudaraku sendiri dan aku tidak menghadapi masalah meyakinnya untuk tujuan ini. Dino satu-satunya calon Pendidikan Seni Visual untuk sekolahnya, dan SPM yang diambilnya menanugerahkan Dino A1 untuk mata pelajaran tersebut. Yang menarik, pihak sekolah telah menerima anugerah dari Kementerian Pendidikan kerana cemerlang dalam mata pelajaran Pendidikan Seni Visual SPM pada tahun berkenaan, kerana memperoleh 100% kelulusan A1. Tetapi hal ini dihidu oleh pihak Kementerian Pendidikan sebagai menyalahi semangat SMAP yang berteraskan agama Islam itu. Mata pelajaran Bahasa Arab adalah identiti . Justeru pada tahun berikutnya, pihak Kementerian Pendidikan mengambil keputusan bahawa pelajar-pelajar SMAP diwajibkan mengambil mata pelajaran Bahasa Arab dalam SPM.

Dua orang lagi anakku - Izwan dan Ilia - juga memperoleh A1 dalam mata pelajaran Pendidikan Seni Visual SPM yang mereka ambil. Kini Izwan bekerja di sebuah firma lanskap di Kuala Lumpur setelah berjaya denganIjazah Sarjana Muda Seni Bina (Lanskap), sementara Ilia masih belajar dalam bidang Reka Bentuk Industri.

Apa yang ingin aku tegaskan di sini ialah mata pelajaran Pendidikan Seni Visual sudah jauh berubah daripada apa yang kita fahami sebagai Lukisan pada suatu masa dahulu. Sebenarnya kini Pendidikan Seni Visual sudah mempunyai kurikulum yang amat mantap dan berupaya membantu pelajar mengembangakan potensinya secara menyeluruh. IPTA dan IPTS dalam dan luar negara banyak menawarkan pengkhususan dalam bidang seni visual. Malah kini produk dalam bidang ini mempunyai nilai ekonomi yang tinggi dalam pelbagai bidang kerjaya.

Aku juga ingin menegaskan bahawa mata pelajaran ini sebenarnya bukan untuk pelajar-pelajar yang kurang menyerlah dalam akademik semata-mata. Sebaik-baiknya pelajar-pelajar aliran Sains mengambil mata pelajaran ini, kerana mata pelajaran ini bukan sahaja merentasi kurikulum, tetapi juga penting untuk mengimbangi perkembangan kedua-dua otak kiri dan otak kanan mereka secara menyeluruh.

Jadi, jangan abaikan Pendidikan Seni Visual sewaktu kita ghairah mempromosi mata pelajaran berteraskan sains dan teknologi. Jangan perlekehkan mata pelajaran ini sebab sumbangannya dalam pembangunan modal insan sama pentingnya dengan mata-mata pelajaran lain.

Sunday, May 06, 2007

 

INTEGRITY

Integrity is like a mighty tree that stands out in the forest. Its roots are deep, supporting a tall and hardly trunk, and its top is a crown of branches and green leaves. It blooms with large clusters of fruit in brilliant colours, ripe and ready to scatter its seeds. Birds and other animals find comfort perching on its scure branches.

In the horizon, a tree wrestles with the raging storm. The fierce wind challenges the tree, but fails to uproot its sturdy frame. The proud and upright tree weathers yet another storm and as each season passes, nothing can bring it down. It remains firmly rooted in the graound.

From Roots to Fruits (2007) Kuala Lumpur: Malaysian Institute of Integrity

Wednesday, May 02, 2007

 

PENGALAMAN UMRAH (4)



Aku bergambar dengan Tuan Haji Abdul Rahiman, seorang warga Arab, di hadapan Hotel Farah, tempat rombongan East Qabillah menginap sepanjang berada di Mekah. Dia berumur 55 tahun, dilahirkan, dibesarkan, bersekolah, bekerja dan berkeluarga di tanah suci Mekah. Dia pernah menjadi polis Arab Saudi sebelum melbatkan diri sebagai muassasah haji dan umrah.

Dia seorang yang kuat bekerja, rajin, prihatin dan peramah. Sepanjang kami mengerjakan umrah dialah yang menjadi orang perantara segala-galanya. Memang dia seorang yang hebat.

Tetapi aku lebih merasa kagum tentang kehebatanya sebagai keturunan Melayu. Bapanya berasal dari Pagoh, Muar berhijrah ke Mekah dan berkahwin dengan wanita Arab di sana. Dia sendiri berkahwin dengan wanita Arab. Tetapi jati diri Melayunya tetap kental. Bahasa Melayunya faseh dan lancar. Budi bahasanya tinggi, sopan santunnya terpuji. Dan aku mendengar sendiri dia bercakap dalam bahasa Melayu kepada cucunya (yang didokong dalam gambar di atas) yang berbapakan seorang Arab jati.

Aku juga berjumpa seorang lagi yang serupa dengan Tuan Haji Abdul Rahiman bernama Ahmad Zaki. Keluarganya berasal dari Kedah. Bahasa Melayu loghat Kedah sebiji seperti orang-orang Kedah di Malaysia bercakap. Katanya, ibunya memastikan dia bercakap bahasa Melayu di rumah. Malah ibunya mengajar dia menghayati sejarah negara asalnya, terutama dengan kisah-kisah tentang kiebesaran Melaka, kehebatan Hang Tuah dan sebagainya.

Cuma ada satu perkara yang menyebabkan kami gelak tentang Haji Abdul Rahiman. Sewaktu dalam van ke Lapangan Terbang Juddah, dia berkata, "Nanti kita berhenti di Masjid Teropong. Solat zohor dan makan tengah hari di situ,"

"Bukan teropong, Tuan Haji. Terapung!" Haji Salleh membetulkan kesilapan perkataan yang digunakan Tuan Haji Abdul Rahiman. Kami semua ketawa. Dia turut ketawa.

Sehingga kini aku masih kagum dengan jati diri Melayu yang dimilikinya.


This page is powered by Blogger. Isn't yours?

Subscribe to Posts [Atom]