Wednesday, January 31, 2007

 

APA ORANG LAIN KATA


Apa yang menarik pada gambar di sebelah?
Apa yang kelihatan berlainan?
Apa yang anda fikirkan?

Yang menarik, empat imej yang sama disandingkan. Soalnya, walaupun kelihatan sama, tetapi adakah serupa?

Yang berlaianan, kedudukan gambar ini kelihatan seolah-olah terbaring. Soalnya, walaupun terbaring, adakah menunjukkan tidur (atau tertidur)?

Yang anda fikirkan, sejak bilakah janggut (sebutan orang Jawa, "jenggot" sebab dalam bahasa Jawa, "janggut" itu bererti "dagu") memutih di dagu? Bagi saya, keakraban yang tulen boleh diumpamakan bagai janggut dengan dagu, yang tidak boleh dipisahkan. Biarpun beberpa kali bulu yang tumbuh di dagu dicukur, namun bulu baru akan terus tumbuh dan tumbuh. Kalau begitu, biarlah usah dicukur. Namun janggut yang tidak dicukur seharusnya dipelihara dengan rapi supaya kelihatan kemas dan terurus.

Gambar ini dirakamkan pada 11 Januari 2007, pada ulang tahun hari kelahiranku. Dan pada esoknya, atas pandangan beberapa orang teman (termasuk teman sebilikku terutama pada waktu malam yang bergelar isteri), janggut ini terbang melayang meninggalkan daguku. Dan untuk itu, seperti hari-hari sebelum berjanggut, aku terpaksa hampir setiap hari mencukur bulu di dagu yang kalau dibiarkan akan mengaundang janggut. Selamat tinggal janggut!

Tuesday, January 30, 2007

 

ANAK

Kalau benar anak yang jaya
Anak yang kenal asal jadinya
Anak yang tahu membalas guna
Anak yang tajam mata hatinya
Dalam santun menegak budaya
Duduk muafakat dalam keluarga
Menjunjung akhirat menatang dunia
Maruah keturunan sama dipelihara.

Kecilnya sekecil padi
besarnya sebesar padang
Kecilnya duduk mengaji
Besarnya tegak sembahyang



Kalau benar anak beradat
Kuat mengeratkan muafakat
Setia memegang amanat
Berdiri tahu maruahnya
Duduk tahu pendiriannya
Bergaul tahu asal usulnya
Baiknya berpada-pada
Buruknya berpatut-patut
Besarnya tidak melanda
Tingginya tidak mengacau
Cerdiknya tidak menjual
Gagahnya tidak membebankan
Boleh ke tengah boleh ke tepi
Bila ke atas menjejak ke bumi
Sederap mengangkat berkat
Sama sebaya diajak berpakat
Yang tua dihormati
Yang muda dikasihi
Mengagungkan Ilahi.

Berdada lapang berfikiran panjang
Bermuka jernih berlidah fasih
Pekerti mulia berhati bersih
Amanah memegang janji
Berani menegakkan keadilan
Teguh mempertahan kepercayaan
Taat mengapungkan kebenaran
Tidak berharap takdir dan suratan
Bukan timbulnya kerana sabut
Bukan tenggelamnya kerana batu.

Thursday, January 25, 2007

 

ILMU ... ILMU ... ILMU

Kita sering mengaitkan proses mencari ilmu ini semata-mata dengan pendidikan formal. Apabila kita ditanya tentang kejayaan anak-anak, soalan yang sering dikemukakan ialah, "Berapa orang masih belajar?" Kita pula secara sepontan menjawab dengan menyatakan sekian-sekian banyak bilangan anak yang masih berada di sekolah, di maktab atau di universiti. Ertinya, anak-anak yang sudah melalui sistem pendidikan formal itu seolah-olah sudah tidak belajar lagi. Mereka sudah tidak menuntut ilmu lagi.

Persepsi mencari ilmu ini mesti diperbetulkan selaras dengan ungakapan: "Tuntutlah ilmu dari buaian hingga ke tiang lahad". Nabi juga pernah bersabda, "Tuntutlah ilmu walaupun hingga ke negeri China." Ertinya, menuntut ilmu merupakan aktiviti berterusan sepanjang hayat tanpa ada tokhtah penamat. Allah sendiri dengan jelas menerangkan dalam Al-Quran tentang perbezaan antara yang berilmu dan yang tidak berilmu.

Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud dan Al-Tarmizi, Nabi Muhamad pernah bersabda, "Sesiapa melalui jalan untuk mencari ilmu pengetahuan, maka Allah akan memudahkan baginya jalan ke syurga, dan sesungguhnya malaikat mengembangkan sayapnya ke atas orang yang menuntut ilmu, reda dengan apa yang dilakukannya. Sesungguhnya orang yang berilmu akan dipohonkan keampunan baginya oleh makhluk yang berada di langit dan di bumi ... Sesungguhnya padar ulamak adalah pewaris para nabi dan sesungguhnya para nabi tidak mewariskan wang dinar dan dirham, akan atetapi mereka mewariskan ilmu. Sesiapa yang mengambilnya sesungguhnuya dia mendapat habuan yang banyak."

Ilmu adalah kepnuyaan Allah. Marilah kita terus menuntut ilmu, kerana Allah memang menyayangi hamba-Nya yang berilmu. Tetapi itu belum mencukupi sekiranya kita tidak mengamalkan ilmu yang kita tuntut itu. Dan itu juga masih belum mencukupi sekiranya ilmu yang kita tuntut dan amalkan itu belum kita sebarkan kepada orang lain. Jadi, tuntut, amal dan sebar ilmu. Percayalah, ilmu bagai pokok dari benih yang baik yang perlu disemai, dibajai dan dibelai bagi membolehkannya membesar, berbunga dan berbuah supaya pada akhirnya buah pokok itu dapat dinikmati oleh orang lain jua.

Wednesday, January 24, 2007

 

PERGI DAN TINGGALKAN AKU

PERGI DAN TINGGALKAN AKU

Pergi dan tinggalkan aku
kalau sungguh itu yang kaumahu
usah lagi berpaling ke belakang
memandangku menghampar harapan
hasrat tidak mungkin kesampaian.


Kau pasti tahu apa yang aku mahu
bukan sekadar mengharapkan kehadiran

sepasang tangan ramah terhulur
mencabut segala onak dan duri
yang mencucuk dan menyusuk
jauh dalam ke lubuk hati
mengundang nanah dan barah
sakitnya bertambah parah.


Aku tidak sanggup melapangkan dada
membariskan lafaz-lafaz pujuk rayu
menangis meratapi pemergianmu
kalau sungguh itu mahumu
pergilah dan tinggalkan aku.

Sajak di atas nukilan Khairil Idham yang telah kusunting hari ini. Aku baru kembali dari menghadiri seminar tentang rasuah dan integriti di Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dan di situ bertemu sahabat lama, Ashaari Noh yang kini menjawat jawatan Pengarah Radio IKIM. Banyak kenangan lama diungkapkan kembali. Tetapi yang menarik apabila dia berkata, "Budak-budak sekarang kerja tak macam kita dulu. Pukul lima petang pejabat dah lengang ... Tak ada kerja-kerja rakaman dibuat ... Tak ada kajian dijalankan ... Tak ada!"

Dua berita penting di akhbar hari ini. Pertama, berita tentang dua orang bekas pegawai kanan Tabung Haji dijatuhi hukuman penjara 16 tahun kerana menyalahgunakan kuasa dan wang jabatan. Kedua, berita tentang kembalinya ke rahmatullah Datuk Dr. Syed Hussein Al-Attas, tokoh akademik, politik dan pemikir bangsa dalam usia 79 tahun. Tiga kali sepanjang tahun lepas IKLAS menggunakan khidmat kepakarannya dalam pengkisahan sejarah perjuangan Dato' Onn Jaafar di Batu Pahat, di Seremban dan di Johor Bahru. Sekali lagi beliau diundang berkisah tentang perkara yang sama dalamPersidangan Kebangsaan Mengenai Dato' Onn di Persada, Johor Bahru pada 1 - 4 Disember 2006. Beliau sungguh bersemangat dan bertenaga.

Yang menariknya, Allahyarham Datuk Dr. Syed Hussein sempat mengadakan kunjung hormat YAB Menteri Besar Johor dan isteri di Saujana dan sama-sama bersarapan. Khabarnya dalam bertemuan enam mata selama empat jam itu banyak perkara yang dibincang bersama. Kena merisik khabar YAB Dato' Abdul Ghani Othman sekiranya ingin mengetahui apakah gerangan yang mereka bincangkan itu. Al-Fatihah!

Tuesday, January 16, 2007

 

HUJAN OH HUJAN

Hujan berpanjangan menyababkan negara dilanda banjir sekali lagi, terutama di negeri Johor. Banjir kali ini memang teruk. Begitupun, pada kali ini tidak kedengaran hal-hal yang boleh dikaitkan dengan cerita Bangau Oh Bangau, kisah bagaimana orang atau organisasi cuba mengelakkan tanggungjawab terhadap sesuatu keadaan dan meletakkan tanggugan setiap kesilapan yang berlaku kepada pihak lain. Nampaknya kebanyakan raykat Malaysia berpadu dan bersatu bagi mengatasi bencana yang Allah turunkan ini. Bantuan dihulurkan, sumbangan diberikan, khidmat bakti dicurahkan, dan kewangan disediakan. Alhamdulillah. Ini merupakan satu pertanda baik bagi kehidupan negara yang lebih aman, harmoni dan bersatu padu. Dalam pada itu, masih juga ada orang yang cuba mengambil kesempatan daripada penderitaan orang lain melalui pelbagai cara.

Dalam keadaan sedemikian, aku terkenang betapa kerosakan dan kemusnahan yang besar akibat banjir ini boleh dikurangkan sekiranya kita rajin menyelak lembaran sejarah. Kalau kita kembali kepada sejarah, orang Melayu membina rumah bertiang tinggi. Malah orang Asli membuat rumah di atas pokok. Tujuannya ialah untuk mengelakkan kerosakan sekiranya banjir melanda atau melindungi dari serangan binatang buas. Dalam dunia moden ini, setiap inci di atas muka bumi ini digunakan sepenuhnya. Malah hutan ditarah, sungai dikambus, bukit diratakan. Rumah-rumah moden yang menghasilkan hutan batu di bandar-bandar tidak lagi bertiang tinggi. Jabatan-jabatan kerajaan termasuk sekolah-sekolah tidak memanfaatkan teknologi orang-orang tua bagi mengelakkan masalah akibat bencana alam. Aku pernah ke Thailand dan melihat dewan sekolah dibina di atas tiang tinggi. Di bawah dewan itu kawasan lapang tidak berdinding yang boleh digunakan sebagai tempat bermain, berhimpun atau menjalankan aktiviti kokurikulum. Alangkah praktikalnya. Aku juga melihat di negara jiran Singapura membina kondo dan apartmen yang bertiang. Bolehkan kita belajar daripada sejarah atau keluar dari kepompong? Bolehkah kita mengelakkan diri dari tamak dan gelojoh?

Aku juga sering membayangkan, betapa keadaan kita sekiranya hujan turun berterusan. Bagaimana kita rakyat Malaysia menguruskannya? Seperti juga aku pernah membayangkan, betapa agaknya kehidupan kita sekiranya negara kita mengalami cuaca empat musim - panas (summer), dingin (winter), bunga (spring) dan luruh (fall). Rakyat Malaysia mungkin menjadi umat yang paling berjaya di dunia.

Hujan oh hujan ...

Thursday, January 11, 2007

 

TAHUN BARU

Sudah terlalu lama aku tidak menyapa blog ini. Kesibukan dengan pelbagai tugas seringkali menybabkan seseorang membuat pilihan berdasarkan keutamaan. Dalam kesibukan tugas rasmi yang bertimpa-timpa pada akhir ltahun lepas, mengemaskinikan blog ini tidak menjadi keutamaanku dalam rutin harian.

Hari ini bukan sahaja aku berada dalam tahun baru 2007, tetapi juga merupakan ulang tahun kelahiranku yang ke-62. Esok aku melangkah ke usia 63 tahun. Bagi sesetengah teman, usia 63 ini dianggap kritikal. Bagi mereka, seseorang yang menempuh umur 63 tahun mempunyai dua ciri hidup yang bertentangan. Kata mereka, orang itu usianya lingkungan 60-an tetapi hatinya lingkungan 30-an. Luarnya kelihatan tua tetapi dalamnya tetap muda. Betulkah begitu? Alangkah baiknya kalau perbandingan demikian dapat kuterjemahkan dalam semangat bekerja dalam mencapai kerelaan dan keberkataan daripada Ilahi. Bekerja sebagai satu ibadah. Itulah harapan yang aku apungkan sempena kehadiran usia baru ini.

Tahun 2006 diakhiri dengan cabaran bencana banjir yang hebat. Satu malapetaka yang tidak terjangka oleh manusia. Secara tiba-tiba sahaja manusia diusung ke lembah kemurungan, kesedihan, keruntuhan dan kekecewaan. Namun rahmatanya tetap ada. Semangat kesukarelaan, bersatu padu, muafakat dan bantu membantu tumbuh kembali dengan suburnya. Bantuan datang mencurah-curah dalam pelbagai bentuk - fikiran, tenaga, kewangan dan kebendaan. Alangkah baiknya semangat ini terus berkembang subur selama-lamanya dalam jiwa rakyat Malaysia. Alangkah .....

Kepada semua, selamat tahun baru. Semoga Allah sentiasa memberkati dan melindungi kita semua dengan rahmat serta taufek hidayat-Nya.

This page is powered by Blogger. Isn't yours?

Subscribe to Posts [Atom]