Wednesday, August 23, 2006

 

BERKUMPUL KELUARGA

Pada 18 Ogos yang lalu, berkumpul seluruh ahli keluarga Ismail-Siti Khadijah di Seremban. Semuanya tujuh orang anak dengan dua orang menantu lelaki dan seorang menantu perempuan serta tiga orang cucu - dua perempuan dan seorang lelaki. Meriah dibuatnya. Izwan yang baru menamatkan pengajiannya di UTM menolong ibunya di rumah berbelanja di pasar dan menyediakan BBQ. Aku pulang dari JB bersama Ilia, sampai Seremban sebelum Maghrib. Yang lain menjelang tiba selepas Maghrib.

Sebelum makan bersama, Am yang bercuti dari pengajiannya di Moscow membacakan doa selamat. Riuh rendah dibuatnya dengan kerenah cucu yang belum reti bahasa itu. Di penghujung makan-makan itu, aku dan isteri diberi hadiah oleh anak-anak dengan telefon bimbit. "Telefon ibu dan ayah dah teruk dah. Ini kami semua pakat ganti yang lebih baik," ujar Am yang mewakili adik beradik yang lain. "Juga hadiah untuk ulang tahun perkahwinan yang ke-31 tahun," sambungnya lagi.

Dan aku menunggu tarikh 30 Ogos, tarikh aku melangkah ke alam baru.

Wednesday, August 09, 2006

 

MUAFAKAT

Minggu lepas berlalu dengan program rasmi yang membanggakan. Pada 5 Ogos berlangsung Semnar Pemikiran Dato' Onn Jaafar di Galeri Mawar, Johor Bahru. Buku susunanku berjodol Dato' Onn Jaafar dan Perjuangan Kemerdekaan dilancarkan, mengandungi tiga bahagian, iaitu Bahagian Perjuangan Dato' Onn, Bahagian Perjuangan Kemerdekaan, dan Bahagian Apresiasi Sajak Dato' Onn. Kira-kira 500 peserta terdiri siswa siswi IPTA di Johor dan pelajar sekolah menengah hadir. Dua pembentangan dan satu forum dijalankan. Biarpun ada satu dua kelemahan dalam pelaksanaan, namun keseluruhan seminar itu aku anggap berjaya. Pembentangan Datuk Profesor Dr. Ramlah Adam amat berkesan dan penuh dengan motivasi. Terima kasih kepada semua yang memainkan peranan masing-masing menjayakan program ini. Inilah nikmat apabila ada semangat muafakat.

Seleasi program, aku lantas pulang ke Seremban, bergerak dari Johor Bahru jam 6.30 petang dan sampai di rumah sua setengah jam kemudian. Esoknya pada 6 Ogos aku menghadiri majlis perkahwinan anak seorang teman sekolah sejak Tingkatan Satu hingga Tingkatan Enam. Seperti aku, dia sudah bersara dan menetap di Taman Tun Dr. Ismail. Namanya Hussein Mohamadiah, berasal dari Serom, Muar. Di situ aku bertemu teman-teman lama yang sudah sekian lama tidak berhubungan seperti Hairi Abdullah, Ibrahim Yunos, A. Rahim Lambak, Abas Kasan dan Abdul Wahab Johar. Tak sangka aku bertemu dengan Tembun, orang kampung yang sudah menetap di Taman Tun Dr. Ismail juga. Di majlis tersebut, aku mendapat perkhabaran Hassan Khamis sudah meninggal dunia. Mudah-mudahan rohnya sentiasa dalam golongan roh orang-orang beriman.

Aku tidak dapat lama di situ, kerana terpaksa ke Cyberjaya menjenguk anak bungsuku yang belajar di Sekolah Seri Puteri. Bulan Oktober ini dia akan menghadapi PMR. Kalau tunggu lama sedikit, besar kemungkinan aku akan bertemu dengan teman-teman lain seperti Halimah Ali, Mohd. Fadzli Mahyuddin (Datuk), Abdul Rahman Yeop (Dato,), Kapsah Jaafar, Hafsah Abdul Rahman dan lain-lain.

Esoknya, 7 Ogos, jam 3.00 pagi, aku sudah bangun tidur, dan setengah jam kemudian sudah berada di dalam kereta bergerak menuju ke Johor Bahru. Sebaik sahaja tiba di Johor Bahru jam 6.00 pagi, aku terus solat Subuh dan bersiap-siap untuk bertugas. Hari ini ada perhimpunan pagi, dan bahagianku sampai gilirannya untuk menguruskan perhimpunan tersebut. Alhamdulillah, Pengarah memuji bahawa inilah perhimpunan terbaik selama ini yang dia hadiri. Syukur, berkat muafakat dan perundingan bersama. Turut mengesankan dalam perhimpunan itu ialah keupayaan Ilham Sanip, seorang PRA mendeklimasikan sajak ciptaannya berjodol Aku Mengisi Kemerdekaan.

Sesungguhnya setiap manusia mempunyai kekuatannya yang tersendiri. Kekuatan itulah yang perlu ditonjolkan dan digilap. Dan sesungguhnya juga budaya muafakat dan bekerja sebagai satu kumpulan banyak manfaatnya. Maatilah bersama kita hidupkan semangat kumpulan - sentiasa berprasangka baik dan elakkan perpecahan. Muafakat itu berkat. Bersatu teguh, bercerai roboh.

Tuesday, August 01, 2006

 

MAJLIS ILMU

Majlis ilmu terakam dalam pelbagai bentuk sama ada secara formal atau tidak formal. Bengkel, kursus, seminar, perbincangan, ceramah, forum, bahas dan sebagainya merupakan sebagai majlis ilmu.

Menghadiri majlis ilmu dituntut dalam Islam. Tetapi sekadar menghadiri tidak menyebabkan kehadiran kita sempurna sekiranya kita tidak menghormati, menghargai dan menghayati majlis tersebut. Tedapat orang yang berada dalam majlis ilmu sekadar memanaskan tempat duduk. Lebih malang lagi sekiranya dalam majlis ilmu itu, ada di kalangan orang-orang yang hadir itu berbual semasa sendiri ketika penceramah sedang menyampaikan ceramahnya.

Tidak banyak orang yang bersedia untuk mengikuti majlis ilmu. Terutama majlis-majlis ilmu yang diadakan di surau atau masjid. Ramai yang hadir sekadar mendengar, tetapi tidak mencatat. Tidak ada buku catatan dan pen dibawa bersama ketika menghadiri majlis ilmu itu. Kerana itu, apabila pulang ke rumah, apa yang didengar di surau atau di masjid tadi tidak lekat dalam minda - masuk teliga kiri, keluar telinga kanan.

Sekiranya kita menghadiri majlis ilmu, seelok-eloknya kita mestilah melengkapkan diri dengan kesediaan - fizikal, mental, rohani dan jasmani. Catatan perlu dibuat supaya kita boleh merujuk kembali sekiranya kita lupa. Jadikanlah ini satu amalan.

Bagi kaum lelaki, elok juga sentiasa bersedia dengan buku catatan sekiranya hadir dalam sembahyang Jumaat. Mungkin ada perkara-perkara yang penting dan berfaedah yang khatib sebutkan dalam khutbahnya. Elok kalau kita catat. Sesungguhnya banyak maklumat penting dalam khutbah Jumaat. Jadi, tidaklah kita tidur sewaktu khatib membaca khutbah.

This page is powered by Blogger. Isn't yours?

Subscribe to Posts [Atom]