Thursday, December 22, 2005

 

MENGIMBAU KENANGAN LAMA

berada di Kuala Lumpur selama dua hari pada 19 dan 20 Disember mengimbau kenangan lama bersama teman sekuliah semasa di Universiti Malaya pada tahun 1969 - 1972. Selepas menamatkan pengajian pada Januari 1972, aku tidak lagi bersua dengan Rahani Jamil (kini Datuk Hajah). Kerana tugasnya sebagai Ketua Pengarah Arkib Negara membawa aku menemuinya pada 19 Disember bagi menjalin muafakat dan kerjasama untuk satu projek Kerajaan Negeri Johor, iaitu Projek Dato' Onn Pengasas Sebuah Negara Bangsa. Dia masih tetap seperti dahulu - cergas, becok dan ceria walaupun perkhidmatannya sudah dilanjutkan sebagai pegawai kontrak seperti aku. Dia begitu ghairah bercerita tentang rancangan dan projek-projeknya.

Semasa kami sama-sama mengambil Kursus Drama di bawah pimpinan MKY pada tahun 1971, dia pernah berlakon drama arahanku, dan berjaya melakonkan wataknya sebagai Cik Hendon yang berpasangan dengan Zakaria Ahmad yang membawa watak Pak Karim (Tak dengar khabarnya kini. Sudah jadi ketua Setiauahakah? Atau sudah pencen?). Turut berlakon dalam drama Jahanam ialah Mohd. Zin Idros, Kalthom Mohamad dan Noraini (anak siapa dah lupa). Kami sama-sama bersyukur kerana dalam usia emas ini kami diberkati Allah dengan kesihatan dan ketahanan bagi terus memberikan sumbangan kecil kepada kelangsungan warisan bangsa dan negara. Alhamdulillah.

Esoknya pada 21 Disember, aku ke Batu Pahat dan berpeluang bertemu pula dengan dua orang teman yang sama-sama bertugas di Semerah pada akhir tahun 1960-an. Sungguh ceria mengimbau kembali kenangan lama sambil menikmati nasi baryani Mohd. Shah di pinggir Sungai Batu Pahat. Kami mengharap sekiranya dapat diaturkan pertemuan semula antara bekas-bekas guru di Sekolah Menengah Semerah, alangkah baiknya! Bayangkan, ada yang sudah menjadi imam masjid, wakil rakyat, pakar motivasi, pelukis, usahawan dan sebagainya selepas meninggalkan dunia pendidikan. kami berpisah dan membawa haluan masing-masing.

"Negara kita sungguh cepat berubah. Bayangkan zaman kita dahulu, baru berapa tahun? Sekejap sangat rasanya. Zaman kita di universiti dulu, cuma ada Universiti Malaya, kini dah semacam tak terkira banyaknya IPTA dan IPTS," ujar Mohd. Zin pada suatau hari.

"Demikianlah nikmatnya sebuah negara merdeka. Dapatkah kita terus bertahan?" jawabku.

"Anak cucu kitalah yang akan menentukan. Kita mewariskan kepada mereka."

"Semoga anak cucu kita terus selamat dan terhormat."

Friday, December 16, 2005

 

SYUKUR TAK TIDUR

Pada 13 - 14 Disember ini aku mengasingkan diri di Hotel Compact, Johor Bahru kerana diberi tugas menyediakan ucapan penggulungan YB Ahmad Zahri untuk Persidangan Dewan Undangan Negeri Johor kali ini. Ini merupakan tugas biasa yang memang aku lakukan setiap kali sidang dewan berkenaan sejak tiga empat tahun yang lalu. Tapi pengalaman kali agak berbeza daripada yang lalu. Malam kelmarin aku tidak tidur biarpun sesaat. Sebabnya ialah kerana kesibukan YB Ahmad Zahari menyebabkan dia hanya dapat melihat draf ucapannya itu pada jam 11.30 malam. Aku tidak boleh menjadikan draf itu terus kepada teks sebenarnya, takut-takut ada pindaan pada peringkat akhir. Kerana itu, keputusan daripadanya diperlukan. Pada pukul 12.00 tengah malam dia meninggalkan aku meneruskan tugas menyempurnakan teks ucapan bersama-sama dua orang teman lain. Malangnya teman yang seorang ni tidak larat hendak terus berjaga, menjadikan aku hanya bekerja berdua sahaja sepanjang malam itu.

Alhamdulillah, jam 6.30 pagi 15 Disember, teks sebenar siap dicetak dan akan diambil oleh YB Ahmad Zahri jam 8.00 pagi. selepas solat Subuh aku langsung tidur hingga jam 9.00 pagi, lalu berkemas untuk check out dan pulang ke pejabat kerana menyediakan persiapan untuk satu mesyuarat pada jam 2.30 petang. Aku mempengerusikan mesyuarat itu. Pada ketika itu aku tidak merasa letih atau mengantuk.

Rupa-rupanya banaha mengantuk itu datang selepas Maghrib. Aku tidur sehingga jam 11.00 malam baru terjaga dan terlepas untuk menunaikan jemputan kenduri di rumah Haji Mohd. Zin pada jam 9.30 malam. Aku tidur kembali selepas itu dan hanya sedar setelah jam 7.50 pagi hari ini.

Melhait akhbar hari ini, ucapan penggulungan YB Ahmad Zahri tersiar di Utusan Malaysia. Surat khabar lain belum sempat baca, Syukur alhamdulillah, Allah memberikan aku kekuatan dan ketahanan dalam usia emas ini. Syukur.

Thursday, December 15, 2005

 

SALAH SIAPA?

Apabila berada di tempat orang ramai - pusat membeli belah atau perhimpunan tidak formal - aku sering melihat remaja perempuan Melayu dengan pakaian dan lagak yang menyilaukan. Bajunya singkat menampakkan pusat dan seluruh lengan, skirtnya pendek tunjukkan pangkal peha, matanya galak meracun jwa, bibirnya ghairah menjerat nafsu, lagaknya menggamit mata yang kelabu. Pelbagai bentuk gubahan kata-kata yang menarik terakam di atas baju menghiasai dada. Antara kata-kata yang terukir di atas dada ialah "Kiss Me", "Dare To Touch?", "Touch N'Go", "My Apple", "Follow Me" dan sebagainya. Memang banyak yang begitu. Tak larat nak memandang. Dan tidak menjadi fenomena yang ganjil. Aku sendiri sudah tidak menghiraukan lagi hal demikian. Orang lain juga begitu. Salah siapa?

Tetapi hari itu aku benar-benar terperanjat. Aku sendirian berjalan di Angsana, Johor Bahru sewaktu aku melihat seorang remaja perempuan sedang berjalan dengan seorang lelaki tua. Agakan aku remaja itu dalam lingkungan 15 atau 16 tahun, sementara lelaki di sebelahnya dalam lingkungan 50-an. Remaja manis itu sungguh sopan - bajunya T-Shirt longgar dengan jean labuh yang juga longgar. Kepalanya dilindungi tundung. lelaki itu juga sopan dengan kopiah putih menutupi sebahagian rambutnya yang juga sudah kelihatan putih. Aku meneka mereka adalah anak beranak.

Aku menghampiri pasang itu, menghulurkan tangan untuk bersalaman lalu bertanya kepada lelaki itu, "Ini anak encik?"

"Ya," jawabnya ringkas sambil memandang hairan ke arahku.

Aku pegang tangan lelaki itu dan menariknya ke tepi. Dia masih kelihatan hairan tetapi patauh.

"Boleh saya cakap sikit?"

"Silakah."

"Baju anak encik cantik. Coraknya pun cantik. Encik yang membelikan?"

"Tidak. Anak saya beli sendiri. Saya cuma beri dia duit. Katanya baju tu cantik."

"Cuma encik baca apa yang tertulis?"

"I Love Durex," dia berkata perlahan tetapi bersahaja menunjukkan dia tidak faham apa yang saya nyatakan.

"Encik tau apa tu Durex?"

"Tak tahu,"

"Balik nanti mintalah anak encik jangan lagi pakai baju tu."

"Kenapa?"

"Durex ialah jenama sejenis kondom."

Slah siapa?

Monday, December 12, 2005

 

KELEBIHAN ILMU

Tidak ada siapa yang menafikan kelebihan ilmu. Kata-kata, "Tuntutlah ilmu dari buaian hingga ke liang lahad" dan "Tuntutlah ilmu walaupun sehingga ke negeri China" bukan ungkapan yang asing. Namun tidak ramai orang yang sanggup mencari ilmu. Kalau ada orang yang menuntut ilmu, tidak ramai pula yang mengamalkannya. Dan kalau ada orang yang mengamalkan ilmu yang dituntut itu, tidak pula ramai yang menyebarkan ilmu itu. Sebenarnya ilmu perlu dicari, dipelajari, diamalkan dan disebarkan.

Ilmu mempunyai kelebihan yang luar biasa. Ilmu bagai lampu yang menyinari kehidupan seseorang, malah menerangi seluruh alam ini. Ilmu mempunyai kuasa yang lebih besar daripada harta.

Ilmu warisan para Nabi, harta warisan Firaun
Ilmu tidak habis apabila diberikan kepada orang lain, harta akan berkurangan apabila dibelajakan
Ilmu dibawa ke liang lahad, harga ditinggalkan di dunia
Ilmu menjaga tuannya, harta memerlukan penjagaan daripada tuannya

Justeru, jangan lokek dengan ilmu. Sebarkan ilmu yang ada pada kita kepada orang lain, sebab ilmu yang kita miliki sebenarnya adalah hak Allah. Bila-bila masa Dia boleh menariknya semula. Bersyukurlah kita kerana Allah menganugeri kita dengan ilmu. Ingatkan bahawa semakin banyak ilmu kita berikan kepada orang, semakin bertambah banyak ilmu yang ada pada kita.

Thursday, December 08, 2005

 

INGAT SEJARAH

Inggeris menakluk Tanah Melayu dan dijadikan tanah jajahan, namun kuasa Raja-Raja Melayu masih tetap dipertahankan. Kerana itu dicadangkan Malayan Union untuk menghapuskan kuasa Raja-Raja Melayu. Namun gagasan itu ditarik balik kerana penentangan kuat orang-orang Melayu pimpinan dato' Onn Jaafar. Maka wujudlah Persekutuan Tanah Melayu. Apabila Inggeris memberikan kemerdekaan kepada Persekutuan Tanah Melayu pada 1 Ogos 1957, bumi ini diserahkan semula kepada orang-orang Melayu melalui Raja-Raja Melayu. semak balik sejarah. Siapakah yang menandatangani Perjanjian Kemerdekaan dengan Inggeris kalau tidak Raja-Raja Melayu? Ertinya, tanah ini, bumi ini adalah Tanah Melayu.

Malaysia adalah satu cara lain untuk menyebut Tanah Melayu atau Rumpun Melayu.

Ini kuliah sejarah. Jadi, belajar sejarah dan ingat sejarah.

Tuesday, December 06, 2005

 

KURSUS BELIA

Pada 2 - 4 Disember yang lalu berlangsung Kursus Kepimpinan Belia Johor di Tanjung Balau Resorts, Kota Tinggi, dihadiri oleh 33 orang peserta, dengan tema Jati Diri Johor Dalam Pembangunan Kepimpinan Belia. Seperti biasa, aku sering mengingatkan mereka dengan sepotong ayat al-Quran: "Tidak berubah sesuatu kaum itu kecuali kaum itu sendiri mengubahnya." Dan kalau hendak menjadi pemimpin yang berkesan, gunakanlah strategi SMILE dalam pengurusan:

System
Mission
Involement
Leadership
Education

Thursday, December 01, 2005

 

PEMIMPIN

Yang ikhlas dipulas
Yang jujur terbujur
Yang bijak dipijak
Yang pandai digadai
Yang cerdas dicantas
Yang tegas ditindas
Yang lantang ditendang
Ynag kuat bekerja jadi hamba
Yang "mengipas" naik ke atas
Yang berpura-pura terpelihara
Yang bermuka-muka terkemuka
Yang berbohong disanjung
Jalannya dada membusung
Hidupnya bongkak dan sombong
Matinya rakyat juga yang mengusung

Memetik kata-kata Naib Censelor UPM:
Siakap senohong gelama ikan duri
Cakap bohong lama-lama jadi menteri
 

CUTI TAK MACAM CUTI

Hari ini aku cuti rehat. Sahaja bercuti kerana cuti rehatku masih berbaki 13 hari. Kalau aku tidak habiskan cuti itu sebelum 31 Disember ini, ertinya cuti itu akan hilang begitu sahaja. Begitu antara perjanjian dalam kontrak.

Dalam bercuti begini, aku tidak ada rancangan khusus. Aku ingin pulang ke Seremban sebelah tengah hari. Kesihan isteri sendirian. Esok akan ku ajak dia menemani aku ke Hotel Tanjung Balau mengendalikan kursus belia.

Pagi-pagi lagi aku ke bilik pejabat, melihat e-mel yang diterima. Dalam seronok membaca e-mel, Pengarah minta teks ucapannya di Hotel Tanjung Balau itu. Memang tidak ada rancangan henak menyediakan teks ucapan itu, sebab selalunya Pengarah bercakap off-hand sahaja. Jadi kenalah duduk dan siapkan teks ucapan itu. Dan terlanjur membuat kerja tersebut, aku sambung dengan menyediakan teks ucapan untuk diriku sendiri. Alhamdulillah, kedua-duanya dapat diselesaikan dengan cepat.

Maklumat dari Pengarah juga mengatakan petang ini ada mesyuarat. Maklumat balas segera diperlukan untuk menyemak draf Akta Warisan Negara. Dah satu kerja lagi. Lepas itu, YB Ahmad Zahri pula memberitahu, ada mesyuarat petang ini untuk menyelaraskan kerja-kerja penggulungan ucapan di Dewan Undangan.Dah itu, nak buat macam mana? Terus cuti?

Aku teringat satu cerita seorang teman di Kementerian Pelajaran. Hari itu dia bercuti rehat dan dalam perjalanan balik kampung di Kedah. Dalam perjalanan dia singgah di pejabatnya untuk mengambil suatu barang. Dia bertembung dengan YB Dato' Hussein Onn (ketika itu Menteri Pelajaran) di lif dan memberikannya tugas penting yang perlu diselesaikan segera. Nak tolak? Nak kata, saya bercuti? Mulut tidak terbuka, lidah kelu berkata-kata.

Dia mengadap Tan Sri Hamdan (ketika itu Ketua Pengarah Pelajaran) mohon belas ihsan. Apa kata Tan Sri? "Siapa suruh datang pejabat? Dah cuti, cutilah. Dah tu, buatlah .." Dia terdiam mendengar kata-kata itu sambil memikirkan anak isteri sudah berpeluh dalam kereta menanti ketibaannya. Penantaian berakahir dengan kata-kata daripadanya, "Kita tak jadi balik Kedah. Kita balik saja Datuk Keramat."

Begitulah kisahnya. Ada lagi seorang kawan ni, dia sanggup bercuti kerana hendak membuat kerja-kerja pejabat. Sebabnya, kalau dia duduk pejabat, kerja tak siap kerana sentiasa diganggu oleh tetamu yang ingin berurusan dengannya. Kata aku kepadanya, "Tak payah cuti. Cakap aja dengan bos, kerja dari rumah."

Itulah sebenarnya yang aku katakan kepada bos aku apabila pada suatu hari dia meminta aku menyediakan teks ucapan Menteri untuk satu majlis penting dalam tempoh yang suntuk. Bos faham. Aku riang. Kerja pun dapat disempurnakan.

This page is powered by Blogger. Isn't yours?

Subscribe to Posts [Atom]