Saturday, October 29, 2005

 

GABRA

Jam 4.30 petang. Aku sedang bersiap-siap hendak mencari makanan bagi tujuan berbuka puasa. Kata Zam, "Kita pergi ke Kotaraya. Sana da nasi ambeng yang sedap." Aku akur. Tiba-tiba telefon bimbitku berdering.
Kudengar suara isteriku di cuping teligaku. "Adik tadi telefon, angah belum sampai lagi. Dia janji datang jemput jam 4.00."
"Tunggu ajalah. Kan dia habis kerja jam 5.00."
"Tapi dia janji jam 4.00." jawabnya cemas.
"Tak apalah. Mungkin ada hal. Dah hubungi angah?"
"Tak boleh hubungi. Telefon bimbitnya rosak. Telefon pejabat tak angkat."
"Kalau ada hal, tentu dia beritahu."
"Adik tinggal seorang. Kawan-kawannya semua dah balik."
"Tak apa. Dia selamat. Jaga sekolah ada. Cikgu pun mungkina da yang belum balik."
"Hari dah makin gelap. Itulah, I nak jemput adik, angah kata dia boleh jemput. Dah jadi macam ni, susah." isteriku mula merungut.
"Yang dah lalu tu, jangan sebut lagi. Sekarang apa nak buat?"
"Tulah, adik seorang-seorang."
"Cuba tanya Hazly." aku mencadangkan.
"Dia mana tau?" bentak isteriku. Aku merasakan ada semacam rasa cemas yang dihadapinya.
"Cubalah tanya, Hazly kan suami angah. Kalau ada apa-apa, tentu dia beritahu suaminya."
"Ha, macam mana ni?"
"Ha, macam I cakap tadilah, nak apa lagi?" aku meninggikan suaraku. Sudah lama bercakap, tindakan tidak ada, fikirku. Diam.
"Halo, halo, halo ..." Senyap, tiada jawapan. Barangkali dia marah, kata hatiku. Barangkali juga dia risau.

Selepas itu, beberapa kali aku telefon isteriku semula, tetapi tiada sambutan terhadap deringan dari telefonku. Memang betullah dia marah. Memang benarlah dia cemas. Aku pula yang mula risau. Tapi kemudiannya aku memujuk diriku sendiri. Ah, pandailah dia mengurus dirinya. Dia sudah dewasa, dia berpelajaran, dia sudah belajar psikologi, sudah belajar kaunseling, tahulah mengurus stres yang dihadapi. Jangan dia sendiri garba, sudah. Jangan dia sendiri buat dirinya stres, sudah. Itulah harapanku.

Untuk dapat kepastian, aku telefon Hazly.
Hazly menjawab, "Angah kemalangan dekat sekolah adik."
"Kemalangan macam mana?"
"Tak apa. Sikit aja. Tapi dia agak terperanjat.Saya suruh dia rehatkan diri dulu, Lepas tu baru balik."
"Dia dah jumpa adik?"
"Dah."
"OK"

Demikianlah dua situasi dalam komunikasi. Satu dalam keadaan tegang, satu lagi dalam keadaan tenang. Satu garba, satu selamba. Manakah yang menjadi pilihan anda? Untuk mengelakkan stres, uruslah masalah dengan tenang.

Friday, October 28, 2005

 

RAMADAN MENGHILANG, SYAWAL MENJELANG

Tinggal beberap hari lagi Ramadan akan menghilang, digantikan dengan kedatangan Syawal. Ada orang suka kerana Ramadan pergi dan suka menyambut Syawal menghadirkan diri. Tetapi ada juga orang duka kerana Ramadan pergi. Ramadan mengajar kita erti keinsafan,mengajak kita mengejar keberkatan, membebaskan kita dari godaan syaitan, mengajak kita meningkatkan kecemerlangan, dan mendorong kita mengenal muafakat. Kerana itu, walaupun Ramadan sudah pergi, janganlah kita pula riakan Syawal dengan perlakuan tidak sedar diri - berbelanja tanpa berhemat, bergembira tanpa beringat.

Di Yayasan Warisan Johor kami sudah mulakan satu tradisi, iaitu memasak bubur lambuk untuk diagih-agihkan kepad orang ramai dan rumah-rumah kebajikan dan anak-anak yatim. Hari ini merupakan hari terakhir kerja-kerja sukarela selama 19 hari itu. Orang ramai kata Bubur Warisan sedap sebab dimasak oleh chef terkenal dari Hotel Selesa Johor Bahru. Memang kami menjalin perkongsian pintar dengan Hotel Selesa Johor Bahru dan Persatuan Wartawan dan Juru Gambar Johor Bahru untuk program ini, yang dilancarkan oleh Exco Kebudayaan, Keseniand an WarisanJohor, YB Haji Ahmad Zahri Jamil pada petang 10 Okltober yang lalu.

Kepada semua, selamat hari raya. Maaf lahir batin.

Thursday, October 27, 2005

 

MERANCANC MANUSIA, MENENTUKAN YANG MAHA ESA

Benarlah bahawa manusia hanya merancang. pada akhirnya Tuhan menentukan sama ada yang dirancang itu dapat dilaksanakan seperti yang diharapkan. Atau jika dapat dilaksanakan, adakah hasil pelaksanaan itu selaras dengan apa yang dirancang. Walaupun apa keadaannya, merancang dan melaksanakan apa yang dirancang adalah tugas manusia. sesudah melakukan segala yang patut, kita berdoa dan berserah kepada Allah mohon hidayat-Nya.

Seorang lelaki sepupuku sudah 40 tahun usianya. Barangkali kerana memikirkan ibunya yang tua dan uzur, dia tidak bercerita fasal keinginannya untuk berkahwin. Atau mungkin fasal lain. Puas adik beradik dan saudara mara memujuk, namun jawapannya hanya senyuman. Dia sendiri yang faham erti senyumannya itu.

Tiba-tiba pada bulan lepas dia menyatakan hasratnya untuk berumah tangga. Kami sambut dengan gembira. Pertunangan pun disempurnakan dan majlis perkahwinan dirancang pada 18 November, selepas hariraya. Tidak berapa lama selepas majlis pertunangan, ibunya yang dikasihi itu meninggal dunia.

Tiba-tiba pada hari Sabtu, 22 Oktober, satu kemalangan jalan raya berlaku. Tunangnya yang sedang dalam perjalanan kerana menguruskan persediaan majlis perkahwinannya itu terkorban. Dan perkahwinan tidak dapat dijalankan.

Aku harap Ahmad, sepupuku itu cekal, tabah dan sabar menghadapi dugaan Allah. Demikianlah, manusia merancang, Allah menentukan.

Thursday, October 20, 2005

 

MERANCANG

Satu aspek penting dalam kehidupan ialah perancangan. Dalam bidang pengurusan, perancangan perlu direkodkan atau disuratkan. Ini penting sebab perancangan bukan perkara main ingat-ingat atau agak-agak. Ia merupakan sesuatu yang serius. Secara mudah, tulis apa yang dirancang. Lakukan apa yang ditulis. Dan tulis apa yang dilakukan. Dengan cara ini, kita banyak menyelesaikan masalah. Pertama, kita tidak membuang masa. Kedua, kita mengatur kehidupan secara sistematik. Ketiga, kita membuat janji dan melaksanakan janji itu. Keempat, kita menyediakan rekod untuk rujukan. kelima, kiga mengurus masa dengan baik.

Allah mengajar manusia untuk merancang kehidupannya, sama ada jangka panjang atau jangka pendek. Rukun Islam yang lima adalah satu kaedah perancangan yang amat jelas. Harian - sembahyang lima waktu, mingguan - sembahyang Jumaat, tahunan - puasa ramadan dan zakat, sekali umur hidup - haji. Kejadian siang dan malam, air pasang dan surut merupakan satu iktibar tentang betapa pentingnya perancangan.

Sudahkah aku merancang hidupku dengan baik?

Wednesday, October 19, 2005

 

SAJAK DARI SEBERANG LAUT

E-Mail anakku di Moscow yang aku terima hari ini menarik perhatian, kerana pertama kali aku membaca sajaknya. Bukan sangat sajaknya yang menghairankan, tetapi barangkali ada perutusan yang tersirat yang ingin disampaikan kepadaku. Katanya, dia cuba-cuba menulis sajak, dan minta aku memberi komen. Apakah yang sedang bergolak di hati seorang anak muda ini? Aku cuba memahami. Antara rangkap-rangkap sajak itu adalah seperti berikut;

Kulihat wajahnya
lembut, tenang, bahagia
mengundang tanda tanya
dalam diamnya ada cerita
dalam suramnya ada berita
dalam senyumnya seribu makna
dalam dukanya mengumpul mesra
rahsia terlukis di raut muka
adakah aku di wajahnya?

Wajahnya yang riang itu
membuatkan aku terpesona
jelingan matanya yang tajam
senyumannya manis terpancar
hilai tawanya menghalau gusar
menambat ceria dalam kalbu
lidah kelu mengucap rindu.
 

SANGGAR WARISAN JOHOR

RAMADAN

Memang terlalu lama aku tidak membuat apa-apa catatan di blog ini. Bukan kerana apa. Bulan-bulan selepas tulisan yang terakhir itu, tugas rasmi tidak mengizinkan aku berbuat demikian. Dengan kursus, mesyuarat, konvensyen, lawatan dan sebagainya yang silih berganti menghalang aku mendekati ruangan ini. Mula-mula berhasrat hendak sambung balik apabila bulan Ramadan menjelang, memandangkan tugas mungkin berkurangan. Rupa-rupanya Ramadan makin banyak kerja, dan seronok pula bekerja. Tak perlu risau hendak rehat makan minum, kerja boleh terus berjalan. Rupa-rupanya nikmat bulan Ramadan ini ialah kita diberi Allah tenaga lebih walaupun berlapar. Patutlah Nabi Muhamad dahulu pun berperang dalam bulan ramadan dan menang pula. jadi jangan takut letih atau sakit kerana berpuasa.

Terima kasih kepada Puteri Dulawarsa memberi aku dorongan menulis semula di blog ini. Sebenarnya bulan Ramadan ini memang agak sibuk sedikit bagiku. Pertama, aku terlibat dengan Projek Dato' Onn: Lahirnya Sebuah Negara Bangsa yang dicetuskan oleh YAB Dato' Abdul Ghani Othman, Menteri Besar Johor. mengikut projek ini, beberapa aktiviti sedang diatur untuk mengangkat Dato' Onn sebagai penyelamat bangsa Melayu dan negara Melayu melalui penyelidikan, pameran, konvensyen, perhimpunan, penerbitan dan sebagainya. Sesiapa yang berminat ingin turut serta bolehlah menghubungi Yayasan Warisan Johor.

Bulan Ramadan ini, Yayasan Warisan Johor membuat amal dengan memasak bubur lambuk pada setiap hari mulai 10 Oktober yang lalu dan berkahir pada 28 Oktober. Projek ini dijalankan bersama Hotel Selesa, Johor Bahru dan Persatuan Wartawan dan Juru Gambar Johor Bahru. Selain diagih-agihkan kepada orang ramai, bubur lambuk itu juga dihantar ke rumah-rumah kebajikan dan asrama anak-anak yatim sekitar Johor Bahru. Pelancarannya disempurnakan oleh YB Tuan Haji Ahmad Zahri Jamil, Exco Kebudayan, Kesenian dan Warisan Johor. Alhamdulillah, sambutan menggalakkan kerana menurut orang ramai, "Bubur lambuk Yayasan sedap." Dua periuk besar bubur lambuk habis setiap hari sebelum jam 4.30 petang. Alhamulillah.

Pagi tadi baru memberi taklimat kepada ketua-ketua bahagian tentang penggunaan Manual Prosedur Kerja dan Fail Meja, supaya kedua-dua dokumen rasmi pengurusan ini dapat diurus dengan lebih teratur.

This page is powered by Blogger. Isn't yours?

Subscribe to Posts [Atom]